DISIPLIN yang diterapkan penggubah lagu S. Atan dalam diri penyanyi yang merakam lagu ciptaannya atau terbitannya terpahat dalam ingatan sang penghibur ini sampai bila-bila.
Allahyarham Halil Chik, yang pernah dihalau dari studio rakaman kerana tidak menepati permintaan Atan yang nama sebenarnya, Hashim Said, 71 tahun, pernah memberitahu saya dalam satu wawancara awal pada Oktober 2015:
"Keupayaan seseorang menyanyi itu diuji apabila masuk ke studio rakaman.
"Ramai penyanyi wanita, termasuk Datuk Sharifah Aini, yang menangis, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan penggubah dan penerbit S. Atan yang memang tegas.
"Saya dan Datuk DJ Dave pun kena hamput juga tetapi kita ni lelaki... masuk telinga kanan, keluar telinga kiri..."
Garangnya Atan juga boleh buat penyanyi muda handalan masa kini, Syamel dan Ernie Zakri, berdebar-debar ketika merakam lagu ciptaan Atan, Seru Hari Lebaran, tahun lalu.
"Dengar cerita Uncle Atan ni garang dan jenis no nonsense (tak boleh dibuat main). Jadi, kami pun berhati-hati. Kami kena cepat tangkap dan perhatikan disiplin.
"Alhamdulillah, kami dapat capai situasi di mana kami saling berkomunikasi dan lagunya pun 'menjadi'," ujar Ernie kepada saya.
Sungguhpun begitu, bakti Atan dalam industri muzik di Nusantara sentiasa dihargai.
Kerana lagu-lagunya yang 'meletup' di corong radio, ramai ingati kumpulan malar segar seperti Black Dog Bone dan Carefree hingga ke hari ini.
Orang pun tahu tentang lagu-lagu Hari Raya popular yang beliau cipta seperti Menjelang Hari Raya (DJ Dave), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Datuk Sudirman Haji Arshad) dan Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone).
Kalau tidak kerana penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia, sudah tentu satu konsert bersejarah yang menyanjung budi dan sumbangan S. Atan pada pasaran lagu Lebaran, Senandung Lebaran: A Tribute to S. Atan, diadakan di Dewan Filharmonik Petronas pada 11 Jun lalu.
Lagu Raya memang kelebihan Atan kerana tidak ramai komposer yang mahu pecah kepala bikin lagu musiman yang hanya diputarkan pada musim perayaan.
Konsert yang terpaksa ditunda itu sepatutnya dijayakan Orkestra Filharmonik Malaysia dengan konduktor Ahmad Muriz Che Rose, penyanyi Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay, Azlina Aziz, Ernie dan Syamel.
Sebelum ini, satu konsert menjunjung budi S. Atan telah diadakan di Esplanade sempena Pesta Raya 2016, Suara Hati S. Atan.
Ikuti wawancara bersama beliau yang dikendalikan menerusi sesi Facebook Live yang diselaraskan penganjur acara budaya dan artis lama, Wadah Seni Entertainment.
SEKOLAH CINA MEMBANTU...
Atan, yang dibesarkan di kampung sekitar Geylang Serai, mendapat pendidikan di sekolah Cina, Happy Garden.
Di situlah kemahiran muziknya dikembangkan menerusi kelab muzik sekolah tersebut. Katanya, teknik bermain muzik lebih dapat dipelajari secara terperinci di Happy Garden yang menekankan disiplin dalam menimba ilmu.
"Saya belajar dua cara mendalami muzik dengan menggunakan kaedah 'do re mi' serta mengikut nota.
"Teknik 'do re mi' memang tidak mengelirukan, key atau skala apa untuk dimainkan pun tak menjadi masalah," jelasnya.
Beliau bagaimanapun belajar main akordion dan alat genderang bongo daripada bapa saudaranya.
Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) yang kini Mediacorp menjadi tempat Atan mencari rezeki sebagai pemimpin Orkestra Kalungan Nada.
Beliau juga bermain piano dan akordion di hotel sekitar Johor Bahru.
Menceritakan bagaimana beliau mula dilamar label rakaman EMI sebagai penyusun lagu, Atan berkata:
"Suatu hari, Kassim Masdor jumpa saya. Beliau kata nak keluar dari EMI sebab nak bangunkan label rakaman Senada. Justeru, beliau minta saya gantikannya tetapi sebagai penyusun lagu, bukan komposer."
Di EMI, beliau mula mencipta satu dua lagu dahulu. Apabila mendapat sambutan dengan lagunya diputarkan di corong radio, barulah beliau gigih mencipta banyak lagu dengan Ratu Dangdut, Zaleha Hamid, menjadi artis pertama yang berurusan dengannya di situ.
KOMPOSER SERBA BOLEH...
"Cuma tak ingat lagu apa yang dicipta buat Zaleha. Sejak 1972, lebih 1,000 lagu sudah pun saya cipta.
"Saya buat bermacam jenis lagu. Sebagai komposer, kita harus pelbagaikan genre yang kita hasilkan.
"Lagu-lagu nasyid Al-Mizan dan Hidayah dicipta. Saya pun pergi Taiwan dan bekerja selama dua tahun untuk cipta lagu Cina memandangkan saya faham bahasanya.
"Lagu jaz buat Datuk Sheila Majid pun tiada masalah untuk mencipta. Saya hanya tak boleh faham, hadam dan ikut rap," katanya seraya tertawa.
MENGAPA LAGU SADURAN BEGITU POPULAR PADA TAHUN 1970-AN?
Apabila diimbas balik lagu-lagu nostalgia Black Dog Bone dan Halil Chik, dapat ditemui saduran pada lagu hit dalam bahasa Inggeris ketika itu.
Misalnya, Khayalan merupakan lagu asal bertajuk Fantasy oleh Earth, Wind and Fire; Hatiku Luka Lagi pula saduran lagu The Manhattans, Kiss and Say Goodbye, manakala Lambaian Tanganmu Yang Terakhir diambil daripada lagu Angela dendangan Jose Feliciano.
Menjelaskan tentang fenomena lagu saduran itu pada tahun 1970-an, Atan berkata:
"Banyak lagu saduran dihasilkan pada waktu itu kerana artis berkenaan sukakan lagu-lagu Inggeris ini. Misalnya, Black Dog Bone sukakan lagu Fantasy yang sedap didengar, lantas merakam Khayalan.
"Sungguhpun begitu, kami tidak abaikan perihal hak cipta. Sebab kami berada dalam label rakaman antarabangsa EMI, maka kami pun menulis kepada label di Amerika Syarikat, misalnya, bagi mendapatkan keizinan merakam lagu popular itu dalam bahasa Melayu."
GARANG MACAM SINGA...
Penyanyi Eddy Ali mengingati Atan sebagai seorang pembimbing dan pemuzik yang garang tetapi berstatus papan atas kerana banyak menekankan tentang mutu dan disiplin.
Atan, yang mengakui dirinya lebih banyak bertenang kini apabila meningkat usia, berkata:
"Macam mana saya tak naik angin? Saya diberikan tarikh tertentu oleh label rakaman untuk siapkan album. Sebanyak 10 lagu perlu disiapkan dalam sebuah album.
"Sebelum rakaman atau lagi dua bulan nak masuk studio, saya sudah maklumkan kepada artis agar berlatih lagu-lagu yang diberikan. Jadi masuk studio, dah senang... boleh terus rakam.
"Ini tidak... Mereka baru nak berlatih apabila masuk studio. Memanglah di luar studio, saya boleh bergurau dan minum air bersama mereka. Tapi bab kerja saya profesional.
"Saya pernah halau Halil Chik. Minta dia nyanyi lagu saduran Angela, Lambaian Tanganmu Yang Terakhir, dia boleh buat sebab itu lagu nyanyian kelab malam.
"Tapi asal minta lagu genre lain seperti joget, dia beri alasan tak tahu. Kalau semua genre lain tak tahu, bagaimana nak bikin album?"
TEMAN SETIA DIINGATI...
Dalam wawancara tempoh hari, Atan turut mengenang dua sahabatnya, Allahyarham Kamali Hudi dan Allahyarham A. Husaini Ajmain, yang menjadi rakan dalam menghasilkan lirik lagu di studio rakaman.
"Senang bekerja dengan sahabat yang sama daya pemikirannya. Nak berbincang mudah. Justeru apabila kita beritahu tentang projek baru sahaja, cepat mereka usahakan lirik, kerap kali secara spontan di studio rakaman.
"Mereka kerja keras dan menjadi teman bekerja sampailah 2 pagi. Maklum ramai artis bekerja kelab malam.
"Dah pagi-pagi barulah ada masa rakam lagu. Itulah masa terbaik. Suara selepas 7 malam ni biasanya terbaik," sambung Atan lagi.