Ibu mana yang enggan melihat anaknya berjaya dalam bidang seni yang disayangi. Mempunyai seorang anak dalam dunia hiburan sudah cukup berat amanahnya, apatah lagi kalau mempunyai dua anak sekali gus menceburi bidang ini. Akur bahawa dunia hiburan penuh dengan asam garamnya, dua ibu ini sentiasa berpesan dengan si anak agar bijak menjaga diri. BERITA MINGGU melaporkan pengalaman ibu kepada artis Singapura.

SEBAGAI ibu yang ingin anak-anaknya menikmati apa yang mereka lakukan dalam kehidupan, Cik Nooris Sanat tidak pernah membayangkan dua anak lelakinya, Mohd Shahfiq Irman dan Syah Riszuan Huslan, memilih muzik sebagai kerjaya.

Sangkanya, nyanyian hanyalah hobi suka-suka si anak untuk mengisi masa hinggalah kedua-duanya cemerlang dan muncul sebagai juara dua pertandingan berasingan.

Mohd Shahfiq, 24 tahun, adalah juara Anugerah 2017 dan peserta SG Mania Musim Ketiga.

Syah, 16 tahun, yang menggunakan nama pentas Syaz Smooth, pula merupakan juara peraduan Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0, yang baru sahaja menandatangani kontrak rakaman bersama label besar, Universal Music Group (UMG).

Sebelum ini, Syah yang dianggap genius dalam bidang nyanyian oleh beberapa pengamat muzik setempat dek kawalan suaranya yang baik, mencipta nama kerana berjaya memukau perhatian pengikut program adu bakat serantau, Asia's Got Talent.

Program itu diadili komposer antarabangsa, David Foster, penyanyi Anggun dan rapper Jay Park.

Remaja berbakat ini juga seorang pelakon drama televisyen Inggeris, This Land Is Mine dan Whoopie's World.

Apakah yang sering menjadi tumpuan Cik Nooris, 45 tahun, dalam memastikan anak-anaknya berada dalam landasan dunia seni secara sihat?

Ketika dihubungi, beliau berkata:

"Saya sentiasa mencari cara untuk membantu mereka pertingkatkan mutu nyanyian dan persembahan setelah saya tahu mereka memang serius ingin ceburi bidang muzik dan kesenian.

"Selain menghantar mereka ke kelas vokal, tarian dan drama, saya juga akan pastikan mereka berdisiplin, komited dan hadirkan diri di setiap persembahan atau sesi penggambaran yang mereka perlu jayakan."

Selepas tamat persekolahan di sekolah menengah, Mohd Shahfiq, meneruskan pengajiannya dengan mengambil Diploma Muzik di Maktab Seni Lasalle. Beliau sudah tamat pengajian di Lasalle.

Syah, yang baru mendapat keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O', telah menjalani kursus pensijilan penerbitan lagu selama empat hari di institusi swasta, The Songwriter Music College (TSMC). Bulan depan, kursus Diploma Ciptaan/Penulisan Lagu dan Penerbitan Lagu di TSMC bakal dilalui secara sepenuh masa.

"Saya selalu berpesan kepada anak-anak bahawa kehidupan ini ada pasang surutnya bak roda yang berputar.

"Mereka harus menghadapi kegagalan dengan hati terbuka dan jangan cepat menyerah kalah.

"Yang penting sekali, mereka mesti sentiasa merendah hati dengan orang sekeliling sebab sentiasa akan ada orang lebih baik mutu nyanyian dan lakonannya daripada mereka.

"Kerja keras untuk buat yang terbaik juga amat mustahak. Setiap kali mereka membuat persembahan pentas, saya akan nasihati mereka agar menganggapnya ibarat persembahan terakhir mereka. Jadi mesti nak buat dengan baik dan betul-betul.

"Tapi dalam mereka bekerja keras, jangan lupa untuk nikmati setiap proses menghibur dan mengumpul ilmu seni," ujar Cik Nooris lagi.

Mengenai Syah yang bakal memulakan fasa baru dalam kerjaya seninya di bawah UMG, beliau berkata lamaran label itu memang di luar dugaan.

"Terus terang saya katakan, saya tidak pernah membayangkan Syah akan terus maju dalam bidang nyanyian sebab awalnya dia anggap nyanyian hanya sebagai hobi pengisi masa lapang.

"Sudah tentu saya rasa bangga dengan dia kini bernaung di bawah UMG.

"Sungguhpun begitu, saya tidak mahu terlalu berharap. Saya ingin bakatnya dipertingkat ke fasa selanjutnya kerana nyala rasanya dan bukan kerana dia berada di bawah naungan UMG semata-mata," jelas Cik Nooris.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti