Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Impian 2 bakat muda tembusi pasaran antarabangsa

Karya pasang surut cinta jelajah dunia dari studio besmen

Jan 12, 2022 | 05:30 AM



Jika suatu ketika dahulu, idola remaja seperti Justin Bieber dan Greyson Chance memukau perhatian dunia, kini timbul nama-nama baru penyanyi dan penggubah lagu muda dalam industri muzik barat yang bercita-cita menembusi pasaran antarabangsa. BERITA HARIAN menemu ramah dua bakat baru, Forrest Nolan dan Justus Bennetts menerusi Zoom, baru-baru ini.



DARI besmen rumah ibunya, bakat baru dari San Francisco, California, Forrest Nolan mula mencipta lagu secara aktif sejak setahun lalu.



Awalnya, beliau bermula sebagai penyanyi di gereja yang mencipta lagu semuda usia 11 tahun.



Kini, pada umur 24 tahun, Nolan mula dikenali di pasaran antarabangsa melalui album EP pertamanya terbitan Virgin Music, You Make Me Feel Alright.



Majalah muzik dan fesyen tersohor di United Kingdom, Clash, menyifatkan muzik pop 'indie' Nolan yang dihasilkan sendiri atau DIY sebagai menyegarkan.



Laman muzik Lyrical pula menganggap Nolan sebagai bakat paling berpotensi di Amerika dan yang harus dinanti-nanti dalam industri muzik dunia.



Ikuti wawancara Zoom Berita Harian bersamanya mengenai album EP yang mengandungi beberapa lagu unik, You Make Me Feel Alright, MIA, Waste Your Time, And It Sounds Like (Ice Cream), To The Moon, No Name #1 dan Be Ur Friend.



SOALAN (S): CERITAKAN PERJALANAN SENI ANDA. BAGAIMANA SEGALANYA BERMULA?



FORREST NOLAN (FN): Saya mula menggubah lagu sendiri pada usia 11 tahun. Kemudian, saya menyanyi di koir gereja di mana saya terdedah pada banyak lagu klasik yang malar segar.



Hanya setahun yang lalu, sewaktu menangani kebosanan pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan, saya mula aktif menghasilkan lagu di studio kecil di besmen rumah ibu.



Ia adalah perjalanan seni yang menggalakkan dan menyeronokkan. Saya mengiringi penyanyi Gracie Abrams dalam konsert jelajahnya.



Kerana lagu saya sampai sejauh Korea, Singapura dan Indonesia, saya diwawancara ramai wartawan seperti anda. Kita kekal berhubung dan berkenalan walau terpisah jauh.



Saya kagum bagaimana orang Korea dan penduduk Indonesia menghadam muzik Barat dengan begitu baik walaupun bahasa ibunda mereka bukan bahasa Inggeris.



Alangkah seronoknya kalau saya juga boleh belajar satu lagi bahasa asing dan tidak setakat memahami bahasa Inggeris.



S: ALBUM EP 'YOU MAKE ME FEEL ALRIGHT' - ADAKAH IA KISAH TENTANG ORANG YANG BUAT ANDA RASA POSITIF?



FN: Ia menggambarkan sebahagian besar kerja seni saya yang melambangkan siapa diri saya yang sebenar. Ia adalah titik tolak di mana saya mula memikirkan tentang muzik yang ingin saya sajikan.



Sebenarnya, kalau ada orang kata dirinya itu 'alright', ia mempunyai bermacam pengertian.



Kadangkala, ia bermaksud ada yang masih kekurangan. Kadangkala orang itu sedang melalui tempoh pemulihan dan mencari penawar selepas mengharungi tempoh yang sangat sulit.



You Make Me Feel Alright menggambarkan pelbagai peringkat dalam hubungan anda, daripada setinggi-tinggi perasaan gembira dan tidak bersalah hinggalah kepada serendah-rendah rasa remuk tetapi masih mengharap.



Ia cerminan hubungan cinta saya dengan bekas kekasih. Kami bercinta dan putus. Emosinya pasang surut.



S: ADA LAGU YANG 'SEDAP' DIDENGAR. NAMANYA 'AND IT SOUNDS LIKE 'ICE CREAM'. APAKAH ISI LAGU INI?



FN: Saya bayangkan filem 'indie' komedi romantis apabila mencipta lagu tentang cinta tidak berbalas ini. Ia mengisahkan tentang si jejaka yang kemaruk jatuh hati dengan gadis yang tiada persamaan langsung dengannya. Ia hanyalah cinta yang bertepuk sebelah tangan. Nampak seronok tetapi biarkan anda kedinginan dilayan bak acuh tak acuh.



S: NAMAKAN SAYA TIGA PERKARA YANG BUAT ANDA RASA 'ALRIGHT' (BAIK-BAIK SAHAJA) DAN APAKAH YANG BUAT ANDA SECARA IRONI BERSEMANGAT SEMASA PANDEMIK?



FN: Tiada alasan untuk tidak bekerja keras sewaktu pandemik. Kerana kebanyakan masanya saya di rumah, saya akan gigih bikin lagu pop.



Saya membesar dengan lagu rok Led Zeppelin dan Eagles. Jadi saya ingat bikin lagu pop lebih mudah. Tidak juga rupanya. Ia mencabar.



Saya belajar memasak bersama adik saya untuk jimat wang sewaktu pandemik. Saya juga rajin bersenam kerana ia baik untuk kesihatan.



Namun, tiga perkara yang akan buat saya rasa 'alright' dan nyaman adalah aiskrim Cookies and Cream atau Oreo, manisan pencuci mulut dan gitar akustik!



S: APAKAH TIGA LAGU YANG MEMBERI IMPAK BUAT ANDA?



FN: Lagu klasik antara abad ke-19 dengan ke-20, Clair de lune ciptaan Claude Debussy. Lagu ini bertahan lama sampai ke hari ini.



Fake Plastic Cheese oleh band Radiohead. Saya berada di bilik tidur, menghadap tembok dan membayangkan diri saya menghiburkan ramai orang ketika saya berusia 12 tahun.



Akhir sekali, lagu Drake yang mempunyai banyak aliran tenaga positif lagi menyeronokkan, Moving Forward.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >