Subuh
5:31
Syuruk
6:55
Zuhur
12:57
Asar
4:21
Maghrib
6:58
Isyak
8:12
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Karya seni guru, pereka grafik pilihan terbaik SeniKita

Pameran di balai seni Kamal Arts@WGS rai kreativiti 40 seniman Melayu
Dec 23, 2021 | 05:30 AM



Jika anda ingin mengamati kegiatan seni visual dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura, pameran tahunan SeniKita adalah wadah yang memaparkannya. Diadakan di Balai Seni Kamal Arts di Wisma Geylang Serai (WGS), ia bertujuan menggalak seniman untuk berkarya, mempamerkan kerja seni mereka di samping menebarkan rangkaian sahabat seni. Siapakah yang terpilih sebagai penerima Anugerah Seniman Muda Berpotensi, Paparan Seni Terbaik dan Paparan Seni Kedua Terbaik dalam SeniKita? BERITA HARIAN melaporkan.




GURU seni lukis, Cik Intan Junadi teruja meninjau perincian proses pencerahan dalam manuskrip Nusantara.



Tanda tanya tentang sejarah seni Nusantara dan siapakah pelukis yang dengan gigih menghasilkan kerja seni mereka ini dengan begitu teliti sering bermain di fikirannya.



Namun, beliau hairan mengapa sukar mendapatkan jawapan tentang insan seni yang menjana teks manuskrip yang tampak indah dengan bingkai ataupun lorekan ilustrasi dari daerah Nusantara.



Kebiasaannya, manuskrip sebegini tidak bernama berbanding kerja seni kaligrafi dari China yang tertera nama pelukisnya.



Kecenderungan inilah yang membuatkan Cik Intan, 34 tahun, terdorong untuk mengkaji lebih lagi tentang sejarah seni Nusantara dengan mengunjungi beberapa pameran warisan manuskrip lama di Singapura dan Malaysia.



Daripada lawatan tersebut, beliau terinspirasi untuk menghasilkan kerja seninya yang berupa manuskrip berbingkai bertajuk Dewata Seuwae Puang Seuwae yang disertakan buat pameran SeniKita.



Tajuk tersebut merupakan kekata Bugis bererti 'Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa'.



Tanpa diduganya, menerusi kerja seni tersebut, beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Paparan Seni Terbaik (Best of Show) di dalam pameran SeniKita anjuran badan tidak mengaut untung, Kamal Arts dan Wisma Geylang Serai (WGS).



Pameran yang berlangsung di balai seni Kamal Arts (Ruang Seni Majlis Seni Kebangsaan) dari 11 Disember lalu hingga 2 Januari itu bertujuan menggalak usaha menghargai seni dalam masyarakat dengan menyediakan platform buat mereka mempamerkan kerja seni mereka.



Penganjur berharap acara seni visual itu akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nanti dalam kalendar budaya masyarakat Melayu kelak.



Walaupun SeniKita tidak bersandarkan tema, terdapat tema tempoh refleksi yang tidak disengajakan begitu ketara dalam sebilangan penyertaan, baik refleksi hubungan dengan agama atau dengan perkara sekeliling yang kerap kali tidak diendahkan.



"Kemungkinan tema ini kerap disisipkan kerana ketidakstabilan hidup dalam suasana sekatan yang kerap berubah dalam tempoh pandemik ini.



"Secara menyeluruh, kami sebagai penganjur amat gembira melihat refleksi ini beralih pada pelbagai koleksi kerja seni yang rencam dalam pelbagai medium," ujar pemilik balai seni, Encik Kamal Dollah.



Sebanyak 50 kerja seni daripada 40 seniman dipilih untuk dipamerkan kali ini.



Mereka dipilih oleh jawatankuasa kuratorial yang terdiri daripada Encik Kamal dan dua penggiat seni mapan, Encik Ahmad Abu Bakar dan Encik Suhaimi Sukiyar.



Ketika dihubungi, Cik Intan berkata:



"Saya rasa rendah hati menerima penghargaan ini. Alhamdulillah, meskipun saya lebih bersyukur kerana saya kini sebahagian daripada masyarakat seni visual Melayu di Singapura.



"Ini adalah sebab utama saya menyertai SeniKita. Saya ingin bertemu rakan seni dengan nyala rasa yang sama dan sehaluan ingin membangun dunia seni tempatan sebagai sebuah masyarakat.



"Justeru, apabila saya dipilih untuk menerima Anugerah Paparan Seni Terbaik, saya amat terharu dan ia merupakan satu bonus."



Menurutnya, lukisannya melambangkan satu penerokaan pada identiti kerohanian, di mana beliau cuba meneroka evolusi kerohanian dari sudut sistem kepercayaan datuk moyangnya yang berketurunan Bugis.



Antara yang diteroka adalah bagaimana mereka menangani dimensi lingkungan khusus mistisisme dan kedatangan Islam.



Cik Intan menggunakan simbol yang terlindung dalam corak hiasan di dalam lingkungan iluminasi yang melakar naratif visual dengan kewujudan kelahiran semula unsur spiritual.



"Semasa di Institut Pendidikan Nasional (NIE), saya belajar tentang sejarah seni Asia dan Nusantara. Keprihatinan saya adalah apabila kita tidak dapat menjejak siapakah seniman di sebalik manuskrip berbingkai yang indah.



"Pensyarah saya menyatakan, sesuatu yang diamati tentang budaya seniman Melayu silam adalah mereka tidak meletakkan nama mereka pada kerja seni yang dihasilkan.



"Kerja seni harus memenuhi sesuatu fungsi. Orang kita banyak menghasilkan ukiran penuh ketelitian, keris dengan motif serta batik yang semuanya ada peranan dan kegunaan tersendiri.



"Apabila Perpustakaan Negara membawa koleksi manuskrip Nusantara dari Muzium British, saya sangat tertarik pada koleksinya dihias cantik dengan unsur iluminasi. Saya lebih berminat pada manuskrip berteraskan Al-Quran daripada yang mencoret puisi Melayu.



"Apa yang menakjubkan adalah apabila seorang cendekiawan dari Britain, Dr Annabel Teh Gallop, diundang untuk memberi keterangan mengenai koleksi manuskrip berkenaan. Beliau memang pakar yang sekali pandang manuskrip sahaja mampu membezakannya dengan yang lain," ujar Cik Intan yang berharap lebih ramai seniman muda dapat menyertai SeniKita dan Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) agar dapat merancakkan persada seni visual dan berbincang lebih lagi untuk membawa karya seni Melayu kepada pengamat seni bukan Melayu juga.



Penerima Anugerah Paparan Seni Kedua Terbaik, Encik Rofizano Zaino (Rofi), pereka grafik berusia 51 tahun, pula menghasilkan lukisan Mix 1 sebagai satu daripada siri tiga lukisan.



"Lukisan ini dihasilkan berbeza daripada gaya saya yang biasa kerana ia adalah gabungan lukisan dan kerja seni kolaj.



"Cebisan kolaj ini pula adalah daripada lukisan pastel pada kertas yang saya palitkan sekitar 2017. Setiap satunya menggambarkan wajah individu daripada bangsa berbeza.



"Dalam lukisan baru ini, saya campurkan potongan karya pelbagai kaum ini untuk mewujudkan wajah baru. Meskipun nampak macam satu bangsa sahaja sekali pandang, sebenarnya ada ciri-ciri kacukan.



"Ia sama seperti kita sangka seseorang daripada kaum tertentu tetapi mendapat tahu mereka sebenarnya mempunyai keturunan kacukan.



"Karya ini juga simbolik mengenai kehidupan di Singapura dengan kerencaman kaum dan situasi di mana kita juga dipengaruhi budaya kaum lain," tambah Encik Rofi yang bertekad mengadakan pameran solo lewat tahun depan seandainya pandemik Covid-19 kian pulih.




"Kerja seni harus memenuhi sesuatu fungsi. Orang kita banyak menghasilkan ukiran penuh ketelitian, keris dengan motif serta batik yang semuanya ada peranan dan kegunaan tersendiri."
- Cik Intan Junadi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >