Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kembara karya seni artis berpotensi dari diari ke kanvas

Dec 23, 2021 | 05:30 AM



TAHUN 2021 adalah tempoh di mana pelukis muda, Cik Sarah Nadia Aidil Tamzil, kembali bertatih dalam dunia seni visual setelah sibuk bertugas sebagai barista atau pembancuh kopi.



Ternyata, belia berusia 23 tahun ini mengambil keputusan tepat untuk aktif semula kerana rezekinya menyertai pameran seni dan mengetengahkan kreativitinya datang satu persatu.



Setelah karyanya Modern Membawang dipamerkan di pameran Rewang anjuran Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) dua bulan lalu, karya bertajuk Fresh Start 1 dan Fresh Start 2 pula terpilih bagi pameran SeniKita kendalian Kamal Arts dan WGS.



Cik Sarah malahan dipilih sebagai penerima Anugerah Seniman Muda Berpotensi bagi pameran ini.



Menceritakan tentang perasaannya meraih anugerah tersebut, beliau berkata:



"Saya sebenarnya berbesar hati dan gembira dianugerahkan hadiah yang bermakna ini.



"Saya baru sahaja kembali berseni. Lantas, anugerah ini akan menggalakkan saya untuk hasilkan lebih banyak karya seni dalam masa akan datang."



Lulusan Diploma Seni Halus daripada Maktab Seni Lasalle ini pada awalnya keliru apa yang dekat di hatinya.



Beliau bermula sebagai pelajar Sekolah Sukan Singapura dan kemudian beralih ke Politeknik Republic (RP) untuk mengambil Diploma Sains Bioperubatan.



Namun, hanya sepenggal menelaah kursus itu, beliau merasakan ia bukan kecenderungannya, lantas mengambil keputusan ke Maktab Seni Lasalle untuk mengambil Diploma Seni Halus pula.



Mengenai karya seni kemenangannya itu, beliau menjelaskan ia telah diubah suai daripada karya asal.



"Saya pernah melukis dua halaman diari peribadi saya untuk projek sekolah pada 2017.



"Diari ini adalah ruang peribadi saya di mana saya boleh jadi diri saya sendiri dan mencoret atau melukis apa yang saya harungi dalam tempoh sukar.



"Kali ini, saya cabar diri saya sendiri untuk lukis pada kanvas raksasa dan belajar untuk meluahkan diri saya secara bersahaja dan jujur," kongsinya.



Selepas menyimpan lukisan asal selama empat tahun, Cik Sarah dapati dirinya lebih mampu melahirkan perasaan yang terbuku secara lebih lagi dengan palitan berus cat minyaknya.



Ini adalah untuk melambangkan kebebasan yang dirasakan dalam meluputkan segala kenangan silam yang enggan diingat-ingatkan lagi.



Proses ini cepat sahaja dibereskan. Namun, beliau akur untuk memulakannya memakan masa juga.



"Begitulah keadaan kita dalam melepasbebaskan segala rasa takut dan kenangan silam yang tidak ingin kita kenang.



"Memandangkan saya biasanya melukis karya 'still life' atau alam benda di mana objeknya tidak hidup dan memberi tumpuan pada butiran objek secara terperinci, sangat mencabar untuk saya menjadi lebih ekspresif.



"Saya mahukan rasa bebas dan seperti dalam kehidupan, mudah melepaskan kenangan silam dengan memalit cat pada apa yang sedia ada pada awalnya.



"Walau kebiasaannya kita cakap tapi tak serupa buat, saya hanya impikan proses melepaskan semuanya semudah memalit cat pada kanvas," katanya.



Cik Sarah, bagaimanapun, merasakan kemajuan pada daya seninya kini yang dianggap karya abstrak pertama.



"Saya bagaimanapun biarkan sahaja lukisan ini tidak dihabiskan kerana ia lambang kebebasan. Kalau lukisan dalam diari itu lebih fokus pada butiran terperinci, kini ia kurang dikawal dan mengalir bebas," katanya yang ingin terus belajar dalam jelajah seninya di samping tidak lupa menikmati proses berseni.



"Ada ramai anak muda di luar sana yang berbakat. Saya harap persada seni Singapura akan bertambah warna-warninya untuk menggalak lebih ramai bakat terpendam agar keluar daripada kepompong mereka," jelasnya.




"Saya mahukan rasa bebas dan seperti dalam kehidupan, mudah melepaskan kenangan silam dengan memalit cat pada apa yang sedia ada pada awalnya."
- Cik Sarah Nadia Aidil Tamzil.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >