Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kemenangan Suara 2.0 buat ibu ayah

Jan 26, 2021 | 05:30 AM



RASA gementar menyaluti jiwa finalis termuda peraduan adu bakat Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0, Syah Riszuan Huslan, 15 tahun, apabila memasuki gelanggang pertandingan kelmarin.



Apa tidaknya? Dia berdepan dengan finalis lain yang bukan calang-calang termasuk tiga wakil Singapura ke pertandingan peringkat dunia, Muhammad Fairus Adam, Nadia Dean dan Shai Othman.



Fairus merupakan johan kategori lelaki Kejuaraan Karaoke Sedunia (KWC). Nadia berada di pentas yang sama dalam kategori wanita manakala Shai pula juara iSing Singapore 2018 yang mewakili negara ke Perancis bagi iSing World.



Sungguhpun begitu, rezeki menyebelahi Syah, bekas peserta peringkat separuh akhir Asia's Got Talent 2, yang dinobatkan sebagai juara Suara 2.0 kelmarin.



Dia membawa pulang hadiah bernilai lebih $5,000 berupa wang tunai dan televisyen bijak 70 inci Philips.



Tempat kedua jatuh kepada Shai, 24 tahun, manakala Fairus, 37 tahun, berada di tempat ketiga.



Ketika dihubungi menerusi aplikasi Zoom sejurus selepas kemenangannya, Syah yang menyanyikan lagu 'berhantu' Hazrul Nizam, Kaulah Segalanya, berkata:



"Saya bersyukur di atas kemenangan ini. Gembira dan tak sangka. Ia adalah hadiah hari lahir terbaik buat ayah saya yang banyak berkorban masa menghantar dan mengambil saya pulang dari WGS. Saya malah ingin menghadiahkan wang tunai yang diterima buat ibu bapa saya, sumber pendorong saya dalam bidang seni. Pengorbanan mereka terlalu besar demi memajukan kerjaya seni saya pada usia muda.



"Kemenangan ini amat bererti kerana saya bakal mengambil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' tahun ini. Sebelum menutup tirai persekolahan di peringkat menengah, saya tetapkan ingin mencapai sesuatu yang gemilang dalam bidang seni."



Penghayatan Syah bagi lagu Kaulah Segalanya dipuji juri tetap, Didicazli dan juri undangan, Mayuni Omar, yang juga merupakan pencipta lagu balada itu.



"Sebelum ini, saya tak dapat bayangkan orang lain dapat menyanyikan lagu ini sebaik atau lebih baik daripada Hazrul Nizam. Tapi nampaknya Syah membuktikan pada usia muda 15 tahun, beliau mampu menyanyikan lagu ini sebaik ini," jelas Didicazli.



Mayuni pula menambah:



"Syah pandai memilih bahagian-bahagian tertentu lagu Kaulah Segalanya bagi menekankan kekuatan vokal dan kelebihan teknik nyanyiannya, menjadikan penghayatannya baik sekali."



Ternyata, Syah meneruskan rekod keluarganya dalam bidang seni dengan abangnya Mohd Shahfiq merupakan juara Anugerah 2017 dan abang iparnya, Sunny Jackson pula pemenang tempat ketiga KWC dan naib juara SG Mania 2.



Naib juara Shai yang menyanyikan lagu Gemilang (dendangan asal Jaclyn Victor) pula berkata:



"Saya melihat Suara 2.0 sebagai ruang bagi saya mengasah kemahiran menyanyi dalam bahasa Melayu. Sebelum ini, saya banyak terdedah pada adu bakat Inggeris.



"Saya lihat semua peserta bekerja keras khususnya Syah yang selalu bersemangat, datang tepat pada masanya bagi latihan walaupun sibuk dengan sekolah dan penggambaran program televisyen. Gelaran juara memang wajar menjadi miliknya.



"Lebih menggembirakan saya adalah hadiah komputer Apple iMac yang saya terima. Dari dahulu, saya memang selalu perlu pinjam komputer riba teman-teman kalau nak siapkan tugasan sekolah.



"Kini, saya miliki komputer iMac. Saya tak sabar ingin meneroka fungsinya."



Fairus pula menambah:



"Saya sudah terbiasa melihat reaksi penonton tetapi kini kerana sekatan Covid-19, hanya pengadil yang saya lihat di depan.



"Seperti Shai juga, Suara 2.0 juga pentas bagi saya kembali mengasah kemahiran menyanyi lagu Melayu. Namun, saya lebih hargai semangat kekeluargaan dalam peraduan ini. Melihat Syah yang pernah saya adili dalam peraduan sebelum ini matang dalam nyanyiannya, ia juga satu perkembangan yang baik." 




"Saya bersyukur di atas kemenangan ini. Gembira dan tak sangka. Ia adalah hadiah hari lahir terbaik buat ayah saya yang banyak berkorban masa menghantar dan mengambil saya pulang dari WGS. Saya malah ingin menghadiahkan wang tunai yang diterima buat ibu bapa saya, sumber pendorong saya dalam bidang seni. Pengorbanan mereka terlalu besar demi memajukan kerjaya seni saya pada usia muda."
- Syah Riszuan Huslan, 15 tahun, juara Suara 2.0.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >