Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kisah sosial dari lensa sutradara S'pura

'Yi Tian' papar jerih mualaf ingin diterima ibu, masyarakat Islam
Nov 29, 2021 | 05:30 AM



Sutradara filem setempat sering mencari ruang berkarya bagi menampilkan isu masyarakat. Baru-baru ini, beberapa karya pembikin filem Melayu di Singapura terpilih bagi sajian di wadah perkongsian video Viddsee, yang banyak membuka ruang buat anak watan berseni. Ia mengenengahkan kisah masyarakat dari kaca mata pengarah berkenaan. BERITA HARIAN melaporkan.




SEAWAL usia 12 tahun, Encik Tawfik Daud sudah mula merakam video menggunakan alat perakam 'Camcorder' yang dibelikan bapanya.



Setiap kali beliau menunjukkan hasilnya kepada anggota keluarganya, mereka akan bertepuk tangan dan bersorak demi memberikannya galakan.



"Saya tahu mutu rakaman video saya ketika itu agak teruk dan sangat rendah. Namun, ibu bapa saya tidak pernah mengecam kerja seni saya, malah terhibur menyaksikannya. Mereka terus mendorong saya dan enggan saya putus asa dan matikan semangat separuh jalan.



"Kenangan melihat mereka begitu gembira menonton video saya terpahat di ingatan sebagai yang paling manis. Ia memori tidak ternilai," ujar Encik Tawfik, 33 tahun, karyawan filem dan penjana kandungan yang memulakan kerjaya profesional sebagai penolong penerbit beberapa tahun lalu.



Antara yang pernah diarahkan beliau buat Mediacorp Suria termasuk 'Percaya Lagi' (Musim Pertama dan Kedua), 'OMG' (Musim Kedua), 'Kelab J' dan 'Menantu International' (Telefilem dan Musim Kedua).



Setelah filem ringkasnya, 'Cinta', memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik bagi Pesta Filem 48 Jam Singapura beberapa tahun lalu, Encik Tawfik mula menebarkan sayap menghasilkan filem bagi platform perkongsian video Viddsee pula tahun ini.



Filem ringkas 19 minit yang dihasilkan buat Viddsee bertajuk 'Yi Tian' dan merakam jerih payah kehidupan seorang wanita mualaf di Singapura, Xin Yin.



Melalui proses memeluk agama Islam, beliau mengharapkan penerimaan orang tuanya serta agama serta masyarakat Islam sendiri.



Yi Tian turut menarik perhatian bagaimana hanya menerusi sesi makan bersama si anak dan ibu, banyak perasaan yang terpendam termasuk amarah, diluahkan.



Apa yang mendorong Encik Tawfik terus berkarya di alaf digital menerusi platform baru seperti Viddsee?



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Encik Tawfik, yang turut terlibat dalam penghasilan drama kembara masa Suria dan meWATCH, Krono.



SOALAN (S): Apakah yang mendorong anda menjadi karyawan filem?



ENCIK TAWFIK (T): Saya sebenarnya tertarik dan kagum dengan cara sutradara Tan Sri P. Ramlee, Yasmin Ahmad dan Christopher Nolan menyampaikan kisah mereka atau bercerita dalam filem yang dihasilkan.



Sesebuah kisah boleh disampaikan dengan cara berbeza. Saya sukakan cabaran ini dan ingin menjadi sebahagian daripada dunia penceritaan kisah harian.



S: Apakah yang membuatkan anda ingin menyentuh perjalanan saudara baru Islam ini dalam filem ringkas anda?



T: Inspirasi menghasilkan 'Yi Tian' diraih daripada seorang teman yang sudah dikenali bertahun lamanya. Saya hanya baru tahu tentang perjalanan hidupnya sebagai mualaf ketika saya mewawancaranya beberapa tahun lalu.



Saya mendapati kisah susah payahnya benar-benar mencetus inspirasi. Ia menandakan betapa kuatnya jiwa sahabat saya ini dalam berdepan dengan apa sahaja rintangan hidup.



S: Apakah yang anda pelajari dan cabaran menghasilkan 'Yi Tian'?



T: Saya banyak belajar tentang cara menyampaikan kisah sebenar individu dalam masyarakat menerusi filem ringkas.



Filem dapat menjadi wadah penting memupuk kesedaran ramai tentang hubungan silang kaum dan agama. Saya pelajari cara pelbagai keluarga daripada berbilang agama mengatasi kesukaran atau perbezaan pendapat serta penerimaan masyarakat sekeliling.



Secara peribadi, agak mencabar menghasilkan naskhah filem Yi Tian, khususnya apabila kita menyentuh soal agama dan budaya. Apa yang cuba saya sampaikan adalah jangan mudah menilai atau mentakrifkan perspektif seseorang dalam kehidupan.



Dalam kebanyakan situasi, makan masa untuk menyesuaikan diri, lantas sebaiknya kita buka ruang perbincangan agar lebih memahami.



S: Bagaimana anda melihat platform 'Viddsee' sebagai membuka lebih banyak ruang buat sutradara Singapura berkarya?



T: Sebagai pembikin filem, agak mencabar menghasilkan filem tanpa pendanaan atau pembiayaan dana yang sewajarnya. Dengan sokongan platform seperti Viddsee, ia memberi peluang buat kami menceritakan serta merbitkan filem.



Seronok tatkala melihat agak ramai pembikin filem muda dan kali pertama yang mengemukakan kerja seni mereka dalam Viddsee.



Saya galakkan platform sebegini agar terus berkembang bukan sahaja sebagai memberi kami ruang bikin filem, tetapi sebagai wadah untuk kami menonton filem Singapura lain.



Kami memerlukan sokongan menerbitkan filem Singapura. Apa yang kami sajikan adalah perlambangan hidup yang kami lalui.



Dalam masa 50 hingga 60 tahun, warga Singapura mendatang akan mempunyai gambaran mengenai suara kita, kisah kita dan situasi yang kita pernah lalui sebagai bahan arkib sejarah.



S: Namakan tiga filem yang memberi impak buat anda.



T: 'Inception'. Saya adalah peminat setia kerja seni Christopher Nolan. Saya menyimpan poster filem ini di pejabat sebagai inspirasi.



Ia adalah filem hebat kerana konsep yang diutarakan. Idea memasuki minda separa sedar seseorang untuk menanam idea atau mencuri maklumat adalah konsep yang menarik minat saya.



'Get Out' adalah filem menyegarkan arahan Jordan Peele. Terasa ketidakselesaannya, tetapi pada masa yang sama ia 'memancing' perhatian anda, mencungkil minda dan merupakan filem bijak di luar kebiasaan.



'Coco', animasi Pixar, menggabungkan segalanya dalam satu, baik muzik, unsur keluarga, cinta dan fantasi. Ia mengatasi Toy Story



Isu kematian memang menyedihkan untuk dibincangkan, tetapi 'Coco' memberi pendekatan selesa untuk perihal ini dikupas. Isu agama dan budaya juga sulit diketengahkan secara terbuka. Namun, 'Coco' buat isu-isu ini cukup cantik diteroka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >