Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kris Dayanti kembali hibur peminat S'pura selepas 14 tahun

Apr 26, 2023 | 05:30 AM



SINGAPURA kekal dalam ingatan penyanyi dan penghibur Indonesia, Kris Dayanti, kerana di sinilah bermulanya kerjaya seninya tiga dekad lalu menerusi rancangan adubakat Asia Bagus.



Dengan hanya berpakaian sederhana sesuai dengan usia remajanya ketika itu iaitu dengan kemeja-T dan berseluar 'jeans', Kris yang kini berusia 48 tahun, tampil memberikan yang terbaik dalam sesi uji bakat tersebut yang diadakan pada 1992.



Setapak demi setapak beliau melangkah dan akhirnya dinobatkan sebagai juara peraduan itu. Beliau kemudian diberi kesempatan ke Jepun untuk pusingan akhir Grand Champion yang lebih gemilang.



Meskipun kenangan itu sudah lama berlalu pergi, Kris yang dikenali menerusi lagu 'hit' seperti Menghitung Hari dan Mencintaimu akan sentiasa menganggapnya sebagai memori manis yang tidak akan luput lebih-lebih lagi di kala konsertnya yang akan berlangsung di Teater The Star mulai 8 malam pada 24 Mei ini.



Konsert Kris Dayanti Mencintaimu Menampilkan Erwin Gutawa Band itu akan menyajikan penonton dengan lagu-lagu Indonesia kegemaran ramai serta lagu-lagu dari Singapura



Ia dianjurkan Berkat Entertainment.



Ketika dihubungi Berita Harian, Kris menjelaskan:



"Saya sudah lama tidak mengadakan konsert di Singapura. Kali terakhir adalah pada 2009 di mana saya diiringi anak sulung saya, Aurel Hermansyah yang sudah memberi saya cucu kini. Kali ini, saya bawa adiknya pula, Amore Lemos.



"Pastinya konsert kali ini memberi saya kesempatan menyapa kembali pencinta muzik di Singapura yang sudah lama merindukan lagu-lagu saya serta lagu Indonesia yang boleh mereka nyanyikan bersama.



"Selepas kita tersepit dalam satu situasi mencabar iaitu Covid-19, kita perlu melepaskan tenaga dan semangat yang luar biasa dalam teater yang sangat gah ini nanti."



Kalau diimbas semula detik kemenangannya dalam Asia Bagus, Kris mempelajari erti menjadi diri sendiri apabila dikelilingi peserta lain yang berpakaian cantik dan bersuara hebat.



"Saya hanya seorang remaja 16 tahun yang datang dengan kemeja-T dan seluar 'jeans'. Para juri mengatakan saya dipilih kerana saya menjadi diri saya sendiri yang hanya mahu menyanyi dan berpakaian sesuai dengan usia remaja saya," jelasnya lagi.



Bagi konsert akan datang ini, Kris gembira kerana urusan muziknya dikendalikan pengarah muzik yang juga sahabat karibnya, Erwin Gutawa.



Menurutnya, Erwin mempunyai kerendahan hati meskipun dianggap sangat cemerlang dalam industri muzik dan banyak mencipta sejarah.



"Erwin juga adalah penerbit muzik pertama yang menawarkan saya untuk menjadi artis wanita sulung mengadakan konsert solo di Pusat Ruang Persidangan Jakarta pada September 2011.



"Belum ada penyanyi solo wanita pertama yang dipelawa menghiburkan 5,000 penonton pada waktu itu. Konsert itu merupakan tunggak bersejarah dengan kedudukan saya diletakkan pada satu tahap tinggi dalam industri muzik Indonesia.



"Erwin juga pengarah muzik yang mendidik saya tentang erti tanggungjawab moral seorang penghibur, dan kami mengadakan konsert demi konsert selepas itu. Kami memiliki keserasian. Usia kami jauh beza tetapi muzik itu menyatukan kami," tambah Kris mengenai Erwin yang terkenal sebagai pemain bes di Indonesia.



Sebanyak 19 lagu akan dipersembahkan dalam konsert di Singapura kelak.



Satu album mini versi lanjutan daripada konsert itu akan diterbitkan dengan lagu baru bertajuk Tak Mungkin Sempurna serta dua lagi lagu lama yang diberi nafas baru, Mencintaimu dan Ku Tak Sanggup.



Katanya:



"Lirik lagu baru ini ditulis oleh saya dengan iramanya dicipta Erwin. Ia memberi kita semangat untuk terus kuat. Allah baru beri kita sedikit cabaran dalam bentuk virus Covid-19. Sebagai satu bangsa, kita diuji.



"Saya sendiri kehilangan bapa saya kerana Covid-19. Bagaimana wabak ini membuatkan kita menjadi resah, dan perlu mengubah gaya hidup kita seperti bekerja dari rumah. Lagu ini berbentuk kemanusiaan. Kita harus bersyukur seadanya dalam ketidaksempurnaan ini."



Sebagai penyanyi yang peka tentang isu semasa, setiap lagunya mempunyai kaitan tentang isu yang berlegar di sekitarnya.



Mencintaimu pula merupakan lagu yang diterbitkan pada 2000 dan melambangkan sambutan 'Y2K' di mana transformasi dijangka. Ia dihasilkan ketika beliau hamil anak kedua.



Ku Tak Sanggup, seperti judulnya, pula menggambarkan situasi di Indonesia yang terkena tempias krisis kewangan sedunia pada 1997 di mana masalah inflasi perlu ditangani. Ia juga tercipta ketika Kris hamil anak sulungnya.



"Dalam 30 tahun berkarya, saya melihatnya sebagai tempoh yang ada pasang surut.



"Berbanding dahulu, kini orang mudah mendapat akses kepada kehidupan kita melalui kemajuan teknologi. Peminat boleh masuk sahaja ke 'dapur' kita untuk menyapa kita.



"Ribuan artis yang menantikan masa untuk bergelar bintang, dilahirkan pada satu masa di serata dunia. Segalanya cepat berubah. Mencintaimu dahulu boleh bertahan berminggu lamanya dalam carta. Tapi kini lagu 'hit' datang silih-berganti.



"Tapi saya percaya dengan keikhlasan dan keinginan untuk berbuat baik dalam apa jua yang kita usahakan, yang baik akan datang semula dalam hidup kita. Saya hanya mohon dapat menjalankan amanah sebagai isteri, ibu dan sahabat kepada anak-anak saya. Begitu juga menggalas amanah sebagai wakil rakyat yang dapat memberi senyuman buat ramai di musim Lebaran ini dan selanjutnya," ujarnya.



  • Tiket antara $118 dengan $288 (pas VIP untuk bertemu Kris) boleh ditempah di talian, kaunter dan laman Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >