Subuh
5:38
Syuruk
6:54
Zuhur
12:59
Asar
4:00
Maghrib
7:01
Isyak
8:10
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Ledakan duet 'Casablanca' harumkan nama bakat muda

Naufal dan Nuha papar kesucian cinta melalui lagu Melayu-Arab
Aug 07, 2022 | 06:56 AM

BAGAIKAN ada tarikan pada judul lagu Casablanca dalam dunia muzik Inggeris dan Melayu.

Jika pada 1982, lagu bertajuk Casablanca membawa rezeki buat penyanyi dan penggubah lagu legenda Amerika, Bertie Higgins, Casablanca pada 2022, turut menaikkan nama dua anak muda seberang Tambak, Naufal Azrin dan Nuha Bahrin, semalaman.

Sejak dimuatnaikkan ke YouTube dua bulan lalu, klip video rasmi Casablanca sudah ditonton lebih 14 juta kali di YouTube.

Lagunya pula distrim lebih 8.6 juta kali di gedung digital Spotify dan berada di tangga ketiga Carta Viral 50 Singapore gedung tersebut.

Kerana ramai begitu sukakan lagu cinta dalam campuran bahasa Melayu dan Arab ini, timbul juga perdebatan dalam kalangan warganet mengenai kekata 'denyut' jantung dalam lirik lagu ini yang dikatakan tidak sesuai dan harus digantikan dengan kekata 'degup'.

Ingin tahu siapa Naufal, 23 tahun, dan Nuha, 21 tahun? Ikuti wawancara Zoom Berita Minggu bersama mereka yang diselaras label rakaman Universal Music Singapore.

Casablanca hasil tulisan lirik Daqmie dari Malaysia dan Abdulkarim Al Ali dari Syria.

Muzik disusun Wan Saleh manakala penerbitnya adalah Amir Hufaz, Khairul, Wan Saleh dan Daqmie.

Soalan (S): Apa perasaan Naufal dan Nuha apabila 'Casablanca' meletup di Nusantara?

Nuha: Alhamdulillah, ia satu pencapaian besar. Paling menggembirakan lagu ini bukan sahaja dikenali di Malaysia tetapi di Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kami masih baru dalam industri muzik Melayu dan pastinya amat terharu dan bersyukur. Secara peribadi, saya sudah sangat bersedia mempelajari banyak benda baru dan teruja meneruskan perjalanan seni saya.

Naufal: Tak tahu bagaimana nak mengungkapkan perasaan dalam hati apabila Casablanca dapat diterima ramai orang.

Kami memang tidak meletak harapan yang tinggi. Ada pasang surut kehidupan. Kami nyanyi seikhlasnya. Mungkin itu yang sampai di hati pendengar.

S: Apakah antara cabaran menyanyikan lagu ini?

Nuha: Pastinya dalam memastikan sebutan bahasa Arab kami tepat. Salah sedikit sahaja, maknanya boleh terlari jauh. Itu yang membimbangkan.

Bahasa Arab yang digunakan bahasa pasar. Ia berbeza daripada bahasa Al-Quran tetapi kami tidak boleh ambil mudah perkara ini.

Naufal: Kami memang ada jurulatih bahasa Arab bagi pastikan sebutan kami tepat. Beliau memang aslinya orang Arab yang fasih dan membantu kami menghayati bahasa Arab dalam lagu ini.

S: Ceritakan apakah pengertian lagu 'Casablanca' ini?

Naufal: 'Casa' bermaksud rumah manakala 'Blanca' bererti putih. Ia perlambangan ibarat rumah itu cinta manakala putih itu suci.

Lagu ini memang sesuai untuk sesiapa sahaja yang ada perancangan mendirikan rumah tangga atau baru nak berkenalan secara serius. Ia luahan rasa cinta sesama sendiri.

Nuha: Memang kami sasarkan lagu ini untuk mereka yang menyimpan hasrat cinta buat seseorang secara tulus dan ikhlas.

S: Apakah perkara paling manis yang anda dengar daripada peminat mengenai lagu ini?

Nuha: Saya paling suka dengar maklum balas daripada kaum lain atau yang bukan Melayu. Misalnya seorang peminat Cina kata, "Saya Cina dan saya sangat suka dengan lagu Melayu-Arab ini!" atau "Saya India dan jarang dengar lagu Melayu tetapi Casablanca buat saya mampu menghargai lagu Melayu akhirnya!"

Maknanya, lagu ini mencapai matlamat mendekati yang bukan Melayu juga. Ia mengandungi pesanan cinta yang sejagat. Ia pencapaian yang membanggakan.

S: Boleh kongsi tentang tengkarah 'degup' dan 'denyut' yang dihebohkan di media sosial?

Nuha: Semua orang ada pandangan sendiri. Bagi saya, kededua perkataan betul dan boleh digunakan mengikut kesesuaian konteks. Tapi kami masih pilih 'denyut' mengikut kemahuan penulis lirik. Kalau ada yang nak gunakan 'degup', silakan.

S: Bagaimana jelaskan keserasian anda berdua?

Naufal: Saya dan Nuha berkongsi minat yang sama. Kami memang boleh 'klik' dan 'ngam' serta ada keserasian. Mudah nak rakam lagu dan bikin video muzik dengannya sebab beliau tidak berkira.

Kalau minta kami duet lagi, saya pasti tak fikir dua kali.

S: Apa pengajaran yang anda pelajari selepas 'Casablanca' meletup?

Nuha: Saya harus lebih berhati-hati kini dengan apa yang saya cakap atau tulis di media sosial sebab semua mata sudah mula memandang. Lebih risiko...bukan secara negatif.

Saya banyak asah vokal dengan lebih banyak berlatih. Ada jerih payahnya. Saya juga berusaha atasi gementar di pentas.

S: Apa yang dipelajari ketika masuk peraduan realiti 'Vocal Mania' pada 2020?

Nuha: Walaupun ada kecaman, saya gagahkan semangat saya untuk terus buat apa yang saya sukakan dan bina keyakinan diri saya.

Peraduan itu menambah keyakinan diri saya. Saya belajar daripada kesilapan saya dahulu dan banyak berdoa agar saya dapat buktikan keupayaan saya.

S: Anda bermula dalam genre nasyid bersama kumpulan Zayne. Bagaimana ia mencorak hidup anda?

Naufal: Saya belajar banyak perkara baru sebagai penyanyi nasyid seperti bunga-bunga dalam nyanyian serta bagaimana membuat improvisasi pada lagu dan cara menunjukkan rasa.


SUARA DI SEBALIK 'CASABLANCA'

NAUFAL AZRIN

- Nama sebenar: Ahmad Naufal Azrin

- Usia: 23 tahun

- Bermula dalam genre nasyid dan menyertai kumpulan nasyid Zayne pada 2019. Dididik kumpulan legenda Inteam.

- Lagu 'cover' Ya Badratim yang dinyanyikan Zayne mendapat sambutan menggalakkan. Kebetulan, lagu ini pernah didendangkan Naufal bersama kumpulan Qasidah Nurul Musthofa sewaktu masih kanak-kanak. Sehingga kini, video lagu itu yang dimuatnaikkan pada 2014 sudah ditonton hampir 42 juta kali di YouTube.

NUHA BAHRIN

- Nama sebenar: Nuha Sakina Saiful Bahrin

- Usia: 21 tahun

- Antara 24 peserta amatur Vokal Mania pada 2020 dan melancarkan 'single' pertama pada 2021, 'XSEMPURNA'. Lagu ciptaan Ezra Kong itu menceritakan tentang pengalaman peribadi Nuha dikecam warganet.

- Mulakan kerjaya seni ketika video 'cover' lagu Christina Aguilera, 'Hurt' menarik perhatian ramai termasuk Aguilera yang memuatnaikkan klip video itu di Instagramnya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3