Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25
Gaya Hidup

Lima perkara tentang Rogers

Lima perkara tentang Rogers

Mar 26, 2020 | 05:30 AM

TAHUKAH anda mendiang Kenny Rogers adalah bintang antarabangsa dengan beberapa bakat terpendam?

Berikut lima perkara yang anda mungkin tidak tahu tentang kebolehan Rogers, 81 tahun, yang meninggal dunia hujung minggu lalu.

Butiran ini ditukil daripada laman The Guardian.

1. Jurugambar profesional

Jika lagu-lagunya menceritakan tentang pasang-surut emosi, keberanian, drama dan sakit hati, foto-fotonya pula menyampaikan takrifannya tentang keindahan dunia.

Rogers juga adalah jurugambar yang telah menerbitkan beberapa buku foto pemandangan indah dan potret personaliti popular merata dunia di samping memiliki ijazah fotografi dengan kepujian daripada Persatuan Jurugambar Profesional Amerika (PPA).

Presiden PPA, Encik Ralph Romaguera, berkata: "Beliau adalah penghibur popular yang juga jurugambar berbakat yang mampu membuatkan tempat-tempat tertentu menjadi ibarat dalam dunia khayalan kisah dongeng."

2. Aktivis sosial

Beliau adalah penyokong kegiatan Palang Merah dan badan amal MusiCares yang menyediakan bantuan kesihatan, kewangan dan kemudahan pemulihan kepada penggiat muzik yang memerlukan dan terlantar sakit.

3. Pemain bes jaz dan 'rocker' era hippie

Sebelum dikenali sebagai penyanyi dendang rakyat atau irama 'country', Rogers adalah pemain bes dalam kumpulan jaz, The Bobby Doyle Trio sekitar 1960-an. Selepas itu, beliau beralih sebagai penyanyi rok berambut panjang dan menindik telinga dalam era 'hippie' 1970-an.

4. Pemain tenis profesional

Selama 10 tahun, Rogers meluangkan masa bermain tenis selama lapan jam sehari. Beliau malah pernah memasuki pasukan nasional dan bermain bersama beberapa juara Wimbledon.

Kembaranya bersama kumpulan juara ini membuatnya kemaruk dengan sukan itu tetapi beliau enggan menyertai sebarang perlawanan kerana lebih tertumpu pada bidang nyanyian.

5. Reka hias dalaman

Rogers membuka studio reka hias dalaman Kenji Design Studio yang berpangkalan di Atlanta, Amerika Syarikat pada 2003 bersama rakan niaganya, Jim Weinberg.

Beliau belajar kemahiran reka hias dalaman secara sendiri dan mengusahakan reka hias bagi 20 rumah. Namun, menurutnya, beliau berhenti selepas itu kerana rekaannya selalunya kelihatan pelik dan bertentangan dengan cita rasa ramai.