Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Mantan deejay gigih asah kreativiti di media digital

Selain bantu keluarga kendali bisnes dari rumah, Hans Ashrie sibuk bangun kandungan YouTube
Sep 28, 2020 | 05:30 AM



Membangun kerjaya seni memerlukan ketekunan, pengurusan masa, jadual dan strategi yang dapat membina jenama lebih utuh. Dua bakat Singapura dalam bidang berbeza, mengacara dan berlakon, menceritakan sebab mereka memilih diuruskan syarikat pengurusan acara daripada bergerak sendiri. BERITA HARIAN melaporkan.




ASAM garam dunia seni yang kadangkala penuh janji manisnya sudah dirasakan bakat tempatan Kyrul Ashrie Hans.



Beliau pernah dilamar menjadi antara bakat syarikat penerbitan filem dan drama seberang Tambak, Metrowealth International Group (MIG).



Sayangnya, selepas terpilih dalam sesi pencarian bakat di Singapura, tiada projek pula ditawarkan buatnya.



Namun, rezekinya pula ada, berkhidmat buat stesen radio Ria 897FM selepas memenangi satu peraduan pencarian bakat deejay baru.



Sepanjang penglibatan Hans, 26 tahun, sebagai juruhebah, beliau disifatkan sebagai antara deejay yang banyak menyokong kemajuan bakat muzik tempatan.



Dengan beliau mengambil keputusan meninggalkan bidang penyiaran radio untuk meneroka cabang seni lain, apakah yang dilakukan jejaka tampan ini demi kekal relevan dalam persada seni setempat?



Beliau kini bergerak di bawah pengurusan syarikat MakBesar Pte Ltd yang dipimpin usahawan selebriti, Haryani Othman.



Kata Haryani mengenai Hans:



"Saya dan suami saya pernah melatih Hans sewaktu beliau remaja dahulu dalam arena teater serta ketika beliau memulakan kerjaya radio.



"Kami mendapatinya persis bakat yang memang ada pakej. Suara sedap didengar, wajah pun tampan dipandang mata.



"Hans sedang meneroka wadah terbaik baginya menyumbangkan bakatnya.



"Namun, saya yakin beliau memiliki potensi berkembang bukan sahaja sebagai bakat mengacara atau berlakon malah sebagai penjana kandungan dan penulis kerana beliau memiliki syarikat penerbitannya sendiri.



"Tiada yang harus dijadikan hambatan bagi Hans menghasilkan kandungan bermutu. Saya ingin beritahu kepadanya, dirinya itulah hambatan terbesar. Beliau akan faham apa yang saya maksudkan."



Ikuti apakah visi dan misi Hans dalam wawancara berikut.



Soalan (S): Apakah yang Hans sibuk lakukan kini?



Hans (H): Saya sibuk membantu keluarga dengan perniagaan dari rumah mereka. Saya juga sibuk mengusahakan saluran YouTube saya sendiri serta syarikat penerbitan yang saya bangunkan kini bersama teman-teman seperjuangan.



S: Kalau kita imbas seketika, pernahkah ada kekecewaan dalam jiwa Hans berhubung tawaran yang diharap-harapkan dari seberang Tambak?



H: Saya berharap saya tidak akan kesali apa jua perkara yang berlaku dalam hidup saya serta pilihan saya. Saya cuma terkilan ketika bersama MIG kerana tiada projek diberikan pada waktu itu.



S: Apakah yang membuatkan Hans selesa bergerak di bawah MakBesar Pte Ltd?



H: Saya memang selesa diuruskan MakBesar buat masa ini. Saya akan lancarkan pelan taktikal, atau 'fire plan', bagi kerjaya saya di tangan mereka tahun depan.



Buat masa ini, saya baru habis penggambaran bagi rancangan masakan amatur di Channel 5, Rookie and A Recipe.



S: Apakah pengamatan Hans tentang muzik Singapura buat masa ini memandangkan anda adalah penyokong muzik tempatan?



H: Hampir segalanya yang kita inginkan ada dalam diri bakat-bakat Singapura. Cuma semangat berjuang segelintir bakat kita ini agak kurang.



Saya tidak menyalahkan mereka sebab mungkin media setempat kurang buka ruang dan pentas buat mereka berkarya.



Namun, pesan saya janganlah mereka mudah putus asa atau ketandusan semangat. Manfaatkan wadah digital bagi memasarkan muzik dan diri mereka.



Jika mereka menghasilkan muzik dalam tempoh sukar Covid-19 ini dan masih ada respons yang baik, ini bermakna mereka boleh bertahan dalam apa jua kesulitan.



S: Dunia media digital 'meletup' kini dengan sesi podcast serta penstriman langsung di mana-mana. Apakah pandangan Hans tentang perkembangan ini?



H: Kita boleh lihat bakat baru ataupun mapan muncul dalam wadah podcast dan penstriman digital. Ini berita baik bagi saya!



Kita harus akur dunia media akan terus pesat berubah dalam tempoh lima tahun mendatang. Kita pun tak tahu apa perubahannya.



Kini, ramai pengguna memilih kandungan yang mereka suka sahaja. Justeru, lebih banyak ruang buat bakat kita berkembang. Lebih ramai bakat pula boleh dihasilkan dan dilahirkan menerusi wadah digital.



S: Apa pula pandangan Hans tentang usaha bakat setempat menjenamakan diri mereka semula?



H: Sebagai bakat seni, kita perlu menyemak jenama kita sendiri dari masa ke masa. Ini kerana dunia digital bergerak pantas sehinggakan kita tidak tahu berapa lama lagi kita mampu bertahan dengan sesuatu produk yang dihasilkan.



Kita perlu sentiasa tangkas dan kreatif. Keadaan sukar kini tetapi akan jadi lebih sukar lagi pada masa akan datang. Namun, jangan lupa menikmati perjalanan anda meskipun penuh onak duri.



S: Hans ramai peminat wanita dari zaman radio. Bagaimana menangani mereka?



H: Mereka tak 'segila' mana... sopan dan segan serta malu-malu nak tegur sedangkan saya ni agak kurang rasa malu! Saya jenis yang mudah didekati dan seronok dijadikan teman bersembang.



Kalau nampak saya, jerit sahaja! Percayalah... saya akan sambut jeritan gadis-gadis ini dengan menjerit balik!



S: Namakan tiga tokoh hiburan atau bidang lain yang menjadi idola.



H: Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad; penyanyi Rihanna serta pelakon dan pengacara televisyen James Corden.



S: Apakah tiga lagu kegemaran anda?



H: Pura-Pura Lupa oleh Mahen; Aku Bidadari Syurgamu oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Surrender oleh Natalie Taylor.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >