Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Mat Rok' S'pura pikat pencinta muzik sejauh Brazil, Peru

Mereka bukanlah Mat Rok 'syiok sendiri' yang memekak di kolong blok dengan petikan gitar sehingga mengganggu ketenteraman penduduk kejiranan dan menerima amaran di waktu malam. Berbekal gitar cari makan, Mat Rok ini berjaya menebarkan sayap dengan cara tersendiri untuk memanfaatkan kemahiran muzik yang ada dan mencipta nama di persada seni Singapura, serantau atau antarabangsa. BERITA MINGGU melaporkan. Album kedua muzik eksperimen Amyr Abadawn buka lebih ruang kerjasama dengan anak seni lain
Nov 06, 2022 | 05:53 AM



DIAM-DIAM ubi berisi.



Begitulah yang sering dinyatakan rakan pemuziknya tentang gitaris dan penerbit lagu setempat, Amyr Abadawn atau nama sebenarnya Amirrudin Muhammad Ayub, 39 tahun.



Beliau memang tidak banyak berbicara tetapi dalam diam sering ada projek untuk diusahakan baik untuk artis muda yang ingin diperkenalkan ke persada seni tanah air atau projek lagu instrumentalnya sendiri.



Setelah menerbitkan album metal instrumental berjudul The New Chapter yang berjaya dipasarkan sejauh Brazil, Jepun, Peru dan Amerika tahun lalu, Amyr kini dalam perancangan menghasilkan album keduanya yang mempunyai konsep berbeza.



Turut memuatkan nyanyian, ia akan diterbitkan pada 23 Disember ini.



Album ini memuatkan 12 lagu dan dihasilkan dengan kerjasama 'wira gitar' Wonder Wood dari Amerika serta penyanyi antarabangsa, Dracon dari Italy dan Cavallotto Rossana dari Sweden.



Bakat Singapura lain turut ditampilkan dalam beberapa lagu yang Amyr cipta.



Pada masa yang sama, siapa sangka berkat kegigihan Amyr, bakat 'menggentel' gitar elektriknya dikesan sehingga dipilih sebagai duta jenama gitar bermutu Earbleed Guitars baru-baru ini.



Ini bermakna sebuah gitar khusus dengan cita rasa tersendiri dan berdasarkan maklum balasnya sedang dihasilkan istimewa buatnya.



Ketika dihubungi Berita Minggu baru-baru ini, Amyr berkata:



"Konsep kali ini amat berlainan sedikit daripada album pertama saya. Ada banyak gabungan dengan bakat Singapura dan luar negara.



"Antara cabaran yang saya hadapi adalah dalam merakam suara mengikut jadual mereka. Saya juga harus berpandukan konsep mereka.



"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar."



Sambutan amat menggalakkan pada album pertamanya yang turut terjual di negara barat dan Amerika Latin serta Jepun membuatkan Amyr bersemangat menghasilkan album kedua dan selanjutnya album ketiga tahun depan.



"Ada juga yang ingin membeli cakera padat album saya dan tidak berpuas hati dengan koleksi digital sahaja.



"Ramai juga yang kongsi lagu-lagu saya dan ini memberi galakan untuk saya terus berkarya."



Antara yang mendapat sambutan dalam album The New Chapter adalah lagu As The South Sea Churned yang sudah distrim lebih 60,000 kali di Spotify, disusuli dengan The Freedom (distrim lebih 21,000 kali).



Dua 'single' The Last Sword dan It's A Trap (bersama Wander Weeds) turut dihasilkannya tahun ini.



Menurut Amyr, beliau gemar menebarkan fantasi pemikirannya untuk mengingati dunia filem zaman dahulukala yang memaparkan aksi lawan perang atau kembara ke kota ilusi.



"It's A Trap berasal daripada genre sampingan hip-hop yang dipanggil 'trap'. Ia berasal dari bahagian selatan Amerika Syarikat sekitar tahun 1980-an.



"Saya sedang meninjau laman YouTube dan terpandang satu klip video mengenai genre 'trap'. Di Singapura memang tidak ramai orang bikin lagu seperti ini.



"Ia satu proses eksperimen buat saya. It's a Trap mengisahkan tentang seseorang yang terperangkap manakala Last Sword pula menceritakan tentang pahlawan terakhir yang cuba bertahan dengan pedangnya," kata Amyr.



Ditanya apakah beliau pernah menjadi Mat Kolong Blok yang memetik gitar di malam hari sehingga mengganggu ketenteraman awam, Amyr menjelaskan memang beliau antara yang 'gila' sangat bermain gitar.



"Memang pada zaman remaja saya dahulu, sering saya petik gitar di kolong blok. Sekarang dah tak ada lagi generasi remaja macam ni yang duduk dengan gitar tong di kolong blok. Remaja sekarang minatnya dah lain.



"Di kolong bloklah 'kelas muzik' saya. Saya belajar petik gitar dengan kawan-kawan sampaikan pernah dihalau polis kerana buat bising.



"Tapi harap masyarakat tak pandang rendah kami yang petik gitar di kolong blok. Sesetengah teman saya memang 'terror' main gitar dan berjaya dalam bidang muzik. Ada yang dah jadi karyawan muzik dengan ilmu yang boleh dibanggakan," ujarnya lagi.



Amyr kini menantikan gitar jenama Earbleed Guitars yang disiapkan khusus untuknya berada dalam tangan.



"Seorang penggiat muzik Calvin Henry Lesslar adalah orang yang bertanggungjawab mengesan bakat saya. Beliau amat kagum dengan muzik yang saya jana lantas minta saya untuk bekerjasama dengan menjadi Duta Earbleed Guitars.



"Saya diberi peluang mereka cipta gitar saya sendiri. Gitar itu akan ada dalam tangan tidak lama lagi. Moga segalanya berjalan lancar," katanya.



Mengenai perancangannya bagi tahun depan, Amyr enggan berlengah-lengah lagi dan sudah ada idea untuk menghasilkan album ketiganya.



"Saya juga ingin kembali mencipta karya dan mengusahakan album untuk artis muda yang pernah saya bantu urus dahulu iaitu YK dan Chomel.



"Saya ingin terus perjuangkan karya anak seni Singapura sebab yakin kita punya bakat untuk dibawa ke peringkat antarabangsa. Walau perlukan banyak kerja keras, inilah cetusan inspirasi yang boleh bangkitkan semangat satu sama lain," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >