Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU GEGAR VAGANZA 8

Menghibur sambil bercerita dalam lagu aset jaya

Juri dan juara Gegar Vaganza musim sudah sering tekankan penghadaman kandungan lagu
Dec 21, 2021 | 05:30 AM



DI sebalik bait kata yang indah dalam sebuah lagu, ada kisah sedih atau gembira yang cuba disampaikan sang penyanyi.



Si penyanyi ini malahan ibarat Tok Selampit yang membuka selingkar kisah pasang surut, suka duka mahupun jerih payah yang dilalui dirinya atau penulis lirik lagu tersebut.



Kerana formula menyanyi dengan berkesan itu ibarat bercerita, maka juri tetap Gegar Vaganza 8 (GV8), Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat sering berpesan kepada peserta agar pastikan mereka menghadam lirik sebaiknya.



Keupayaan bercerita dalam lagu disertakan dengan pentas yang diubah bak satu ruang muzikal merupakan kelebihan dan pastinya formula jaya peserta keturunan Kadazan dari Sabah, Nikki Palikat atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat, 36 tahun.



Dengan GV8 masuk minggu keenam Ahad ini, nama Nikki sudah disebut-sebut sebagai antara finalis malahan dikatakan berupaya menjadi juara pertandingan ini jika meneruskan konsistensinya di gelanggang pertandingan.



Pada minggu pertama, Nikki berada di tangga keempat sebelum mempertingkatkan kedudukannya di tangga ketiga pada minggu kedua.



Beliau kemudian memecut laju di tangga pertama dek persembahan yang berkesan (menerusi lagu Semalam) di hati panel pengadil pada minggu ketiga.



Pada minggu keempat, Nikki jatuh satu tangga dan berada di tangga kedua menerusi lagu band rok The Cranberries, Zombie.



Namun, beliau kembali memperkukuh kedudukannya sebagai peserta terbaik di tangga pertama kelmarin apabila penyampaiannya bagi lagu Salamiah Hassan, Gelombang, membuatkan Hetty terkesima dan menitiskan air mata.



Hasil pengamatan saya, Nikki adalah antara peserta bertenaga dari segi stamina dan suara yang memang bijak menggunakan pentas pertandingan ini sebaiknya dengan prop mahupun iringan penari yang sama-sama membantunya mendukung sesebuah cerita.



Meskipun berseorangan di pentas dengan penampilan yang sederhana kelmarin, beliau berupaya menyampaikan 'mood' sayu seseorang yang mengharap pada Tuhan di setiap kesulitan dan tatkala dirundung malang.



Penyampaian lagu Gelombang, mahakarya ciptaan Allahyarham Kassim Masdor yang cukup diingati ramai, sampai ke hati pengadil dan penonton.



Bercerita melalui lagu merupakan aset yang dimiliki beberapa juara GV sebelum ini.



Tatkala menjuarai GV3 lima tahun lalu, Azharina Azhar berkata beliau memilih lagu yang menyampaikan luahan hatinya.



"Apa yang disampaikan adalah kisah hidup saya. Saya telah melalui manis dan sakitnya alam rumah tangga. Maka ia ikhlas datang dari hati," jelasnya dalam wawancara bersama Berita Harian ketika itu.



Juara GV4, Aishah, yang pentingkan sebutan dan pemahaman kandungan lagu juga kelihatannya dapat menjiwai lagu peringkat akhir dendangan asal Eric Carmen, All By Myself.



Apabila ditanya Hetty mengenai perkara ini dan apakah ia mampu dikaitkan dengan kehidupan peribadinya, Aishah menjelaskan beliau pernah lalui tempoh bersendiri yang agak panjang lantas mampu mengaitkan dirinya dengan lirik lagu ini.



Juara GV7, Cliff Umar pula meramalkan Aliff Aziz akan menjuarai GV8 tetapi akan mendapat saingan hebat daripada Adibah Noor, Nikki dan Suki Low.



"Saya ada pesanan kepada semua peserta untuk bergembira selagi boleh. Jadikan pentas GV ini untuk diri sendiri dan orang yang sentiasa menyokong kita. Cintai apa yang anda lakukan," jelasnya dalam satu wawancara bersama laman Astro Gempak.



Bercerita dalam lagu seakan-akan lagu itu milik sendiri turut ditekankan Datuk Ramli MS kepada peserta dalam ulasannya.



Beliau berkata, lagu Gajah (nyanyian asal penyanyi Indonesia, Tulus) tentang seseorang yang dibuli kerana saiz tubuhnya sepatutnya dijadikan lagu sendiri Adibah di pentas GV8.



Namun, beliau merasakan ini kurang dimanfaatkan Adibah sepenuhnya.



Berbanding minggu-minggu sudah di mana Adibah berada di tiga tangga teratas, kelmarin, beliau jatuh ke tangga keenam pula dengan Aweera, Suki dan Ani Maiyuni mengatasinya.



Penyanyi dangdut, Ani, 43 tahun, mempertingkatkan kedudukannya kelmarin setelah berminggu-minggu berada di antara tangga terbawah.



Jika sebelum ini, beliau sering mendapat komen nada suaranya yang tak sampai atau terlari daripada nota asal, lagu tular tentang debaran rasa cinta, Kucu Kuca (nyanyian asal Lia Aziz) nampaknya membawa tuah buatnya.



Lagu itu bukan sahaja sesuai buatnya tetapi ditambah dengan penari yang mengiringinya dalam persembahan tersebut, segala penceritaan dalam Kucu Kuca sampai ke hati penonton dan juri.



Sama juga seperti Ani, Aliff yang berada di tempat kedua bangkit semula selepas berada di tangga keenam pada konsert minggu keempat menerusi lagu yang boleh dikaitkan dalam perjuangan seninya, Memburu Impian.



Antara lirik lagu ini berbunyi:



Ku jejak jalan yang berliku

Membara jiwaku... Memburu impian

Ku renang lautan gelora

Biarpun tersadai... Di hujung dunia

Akan ku rempuhi segala rintangan

Biarpun rebah... Ku bangun sendiri

Akan ku genggam... biarpun hitam... Menjadi milikku...



Dengan ujian kehidupan yang pernah dilaluinya, pastinya lagu ini dapat dihadam Aliff dengan baik tatkala beliau ingin kembali mengukuhkan kerjaya seninya demi mencari rezeki buat keluarga.



Ada beberapa pesanan Twitter daripada peminat Aliff yang prihatin juga berharap agar Aliff dapat pelbagaikan persembahannya agar tidak nampak sama setiap minggu.



Sebabnya, saingan sengitnya seperti Adibah, Nikki dan Suki saban minggu menyajikan kejutan dari segi tenaga persembahan dan kreativiti.



  • GV8 disiarkan di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad mulai 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >