Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:12
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:23

Menuju ke separuh akhir GV8: Suki dipuji beri persembahan 'kelas dunia'; Aliff terima tepukan sanjungan Hetty; langkah Sa.Ya terhenti

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Menuju ke separuh akhir GV8: Suki dipuji beri persembahan 'kelas dunia'; Aliff terima tepukan sanjungan Hetty; langkah Sa.Ya terhenti

Jan 10, 2022 | 02:32 AM

JURI tetap, Datuk Ramli MS, mungkin menganggap mutu suara peserta Gegar Vaganza 8 (GV8), Suki Low, banyak terjejas dalam keadaan dirinya duduk sambil bermain piano. Beliau menyatakan banyak markah dipotong kerana faktor itu yang membabitkan perihal 'pitching' suara (kemantapan tinggi atau rendahnya nada suara).

"Suara awak bagus tapi sebab awak main piano, mutu suara ada terjejas sebab awak nak tumpukan pada permainan piano. Saya lebih suka bila awak tak main piano," jelas Ramli pada Suki yang menutup tirai Konsert Minggu Kelapan di  Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad (9 Disember).

Namun sebaliknya, tiga pengadil lain menyangkal pandangan Ramli dan memberi kata-kata pujian dan perangsang buat Suki, juara peraduan realiti One In A Million (OIAM) 2006, yang menyanyikan lagu runut bunyi drama Korea, Descendants of the Sun, You Are My Everything (nyanyian asal Gummy).

"Bagi saya, saya suka pula yang main piano tu. Maaf Datuk Ramli. Setiap orang ada pendapat masing-masing. Bahagian pertama tu, anda bermain dengan suara anda...main dengan falsetto dan sebagainya...kemudian ada 'build up' (pembangunan persembahan/vokal)...'build-up' yang baik...dan pada akhirnya, ia adalah persembahan kelas dunia." jelas Datuk Norman Halim selaku juri undangan.

Hetty Koes Endang, juri tetap dari Indonesia, pula menambah: "Bonda pernah berbicara dalam minggu yang keberapa...kalau kalian mainkan alat muzik, ia satu 'point' (tambahan) buat Bonda. Tadi Bonda lihat Suki sangat elegan, cantik dan menyanyikannya dengan sesuai.

"Ia seperti naik kereta. Ketika Suki duduk tadi, di gear 1 kemudian gear 2 dan saat berdiri tadi, masuk gear 3. Akhir sekali di kemuncaknya, menurut Bonda terus terang, 'gebrek'! Bagus. Muzik ini 'universal'. Walaupun bahasanya (bahasa Korea) tidak faham, tapi kamu menyanyikannya sampai ke hati Bonda."

Seorang lagi juri tamu, Datuk Mokhzani Ismail, pula berkata:

"Sebelum balik, nak juga komen. Tahniah kepada Suki kerana bijak mewujudkan 'moment-moment'...dinamiknya ada, penghayatan pun ada, pindaan nada juga dapat dikendalikan dengan hebat sekali."

Hasil persembahan Suki, 32 tahun,  yang menakjubkan, beliau dinobatkan sebagai yang terbaik pada konsert minggu kelapan dengan markah 78.9 peratus.

Di tempat kedua seperti minggu sudah adalah penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz, 30 tahun, dengan markah 76.8 peratus. Aliff yang menyanyikan lagu balada kumpulan Nastia, Rapuh, mendapat tepukan sanjungan Hetty yang berdiri dan memuji persembahannya.

Hetty menjelaskan: "Tidak ada yang tercela. Penjiwaan, ekspresi, intonasi dan pengucapan Aliff jelas. Menurut Bonda, satu sahaja kekurangan. Ketika diberi mikrofon berdiri, usah dipegang terus tangan kita. Mikrofon sebegitu harus memberi kita kebebasan untuk tangan itu digerakkan. Dari sudut kamera, kurang cantik.

"Namun, dari segi persembahan pentas, suara Aliff nota ke nota sempurna." 

Norman pula menambah: "Tahniah Aliff. Apabila awal masuk tadi, dah nampak macam 'superstar'. Penghayatan yang baik. Cuma penyampaian anda jangan ditahan. Cuba untuk dilontar pada penghujungnya atau sewaktu klimaks agar kita dapat rasa. Awal-awal, saya faham nak kawal suara."

Mokhzani pula meminta Aliff agar berhati-hati dalam perihal nota rendah.

"Nota tinggi, anda tiada masalah. Tapi apabila anda menyanyi tanpa dram dan hanya ada piano, nak kena jaga rentak. Suara nota rendah kedengarannya goyah. Tapi anda antara yang menghiburkan malam ini," katanya.

Rapuh merupakan lagu runut bunyi drama Malaysia, Papa Ricky.

Markah peserta lain GV8 pada peringkat suku akhir adalah Aweera di tangga ketiga (73 peratus); Nikki Palikat di tangga keempat (72 peratus); Adibah Noor di tangga kelima (68.7 peratus); Azan Scan di tangga keenam (66.2 peratus); Ani Maiyuni di tangga ketujuh (64.3 peratus); Shidee di tangga kelapan (58.6 peratus) dan duo Sa.Ya di tangga kesembilan (58.2 peratus).

Justeru, perjalanan Sa.Ya, dengan markah terendah terhenti di peringkat suku akhir.

Tugasan peserta GV8 di peringkat separuh akhir adalah menyanyikan medley dua lagu yang dipilih khusus panel juri.

Suki perlu menyanyikan lagu ikonik Black Dog Bone, Khayalan, dan lagu Agnez Mo, Tanpa Kekasihku.

Aliff pula diamanahkan dengan lagu Sam Smith, Lay Me Down serta lagu Taufik Batisah, Sesuatu Janji.

Aweera diberi lagu Amy Search, Kerja Gila dan Search, Fantasia Bulan Madu.

Nikki dicabar dengan lagu Ziana Zain, Puncak Kasih dan Jaclyn Victor, Ikut Rentakku.

Adibah pula perlu kembalikan era kegemilangan disko menerusi lagu Bee Gees, Night Fever dan beralih ke lagu Budak Baru Nak Up (BBNU), Naim Daniel, Sumpah.

Lagu syahdu Aris Ariwatan, Permaidani, serta lagu Wings, Enigma akan disampaikan Azan Scan.

Ani Maiyuni pula diberi lagu J.Lo, Let's Get Loud serta lagu Aina Abdul, Sumpah.

Akhir sekali Shidee diberi lagu Anuar Zain, Sedetik Lebih dan Yasin, Kerna Dia.

Nota: GV8 disiarkan mulai 9 malam di Astro Ria (Saluran Singtel, 608) setiap Ahad.

 

 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3