Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Misteri Gunung Jiri inspirasi drama tentang bakti renjer

Oct 22, 2021 | 05:30 AM



Pukauan drama Korea atau K-drama begitu terasa di mana-mana ceruk dunia kerana jalan cerita yang biasanya menyelongkar suasana sebenar di sebalik satu bidang kerjaya. Tidak kiralah sama ada drama itu membentangkan kehidupan harian si pekerja pengiriman, wanita dalam sektor teknologi maklumat yang dikuasai lelaki ataupun bahaya tugas renjer rimba di gunung-ganang terpencil. BERITA HARIAN melaporkan ‘trend’ K-drama mengenai bahaya dan mobiliti pekerjaan.



ANGGUN, manja dan tinggi lampai. Itulah ciri-ciri yang ada pada pelakon dan model terkenal Korea Selatan, Gianna Jun, 39 tahun.



Dek penampilan itu, Jun yang nama sebenarnya Jun Ji-hyun, sering diberi watak wirawati menawan dan 'puteri impian' sang teruna dalam drama komedi romantis Korea, atau K-Drama.



Namun, bagi watak terkininya dalam Jirisan, drama eksklusif wadah penstriman iQiyi, Jun yang mula dikenali dalam filem My Sassy Girl, bagai bertukar kulit.



Dengan kedudukannya sebagai pemenang piala Pelakon Wanita Terbaik dalam dua majlis Anugerah Grand Bell (persis Anugerah Academy versi Korea Selatan), Jun kini lebih berani keluar daripada zon selesa.



Menerusi watak renjer Taman Negara Jirisan paling cemerlang, Seo Yi-kang, Jun mengemukakan perawakannya yang lasak, tak mudah mengaku kalah dan tegas sehingga menerima julukan 'Mountain Ghost God' dan 'Devil Seo' oleh rakan sekerjanya.



Dalam satu sidang akhbar Zoom yang diadakan iQiyi buat media serantau dan turut disertai Berita Harian, Jun, ibu dua anak, berkata:



"Sebenarnya, saya tidak menerima peranan ini kerana saya ingin hidupkan watak wanita yang kuat. Sebabnya, ramai yang tahu wanita hari ini lebih perkasa dari segi perwatakan.



"Saya tak terfikir dapat bawa watak renjer taman rimba yang berdepan dengan bermacam-macam cubaan bencana alam, daripada ribut taufan, banjir, kebakaran dan kejadian berbahaya yang tidak terduga dalam fikiran.



"Semua ini pengalaman baru buat saya."



Menurutnya, tidak payah menjalani penggambaran bagi Jirisan. Sedikit pun beliau tidak terasa penat atau kesejukan. Sepanjang penggambaran, Jun gembira melaluinya dengan keinginan menyelami tugas sebenar seorang renjer.



"Memandangkan saya membuat persiapan awal, lengkap berpakaian mendaki gunung, tidak banyak kesukaran yang dihadapi.



"Malah, proses penerbitan drama ini memperbaiki tahap kesihatan fizikal dan kecergasan saya," kongsinya.



Jirisan merupakan satu lagi K-drama yang menyelongkar secara mendalam tuntutan tugas menarik yang dijalankan sekelompok individu di Korea yang kurang disanjung baktinya.



Drama misteri 'thriller' 16 episod ini akan disiarkan di aplikasi antarabangsa iQiyi dan laman iQ.com merentasi 191 daerah mulai 8 malam esok. Episod baru akan disajikan setiap Sabtu dan Ahad.



Ia diarahkan Lee Eung-bok dengan naskhah tulisan Kim Eun-hee serta membawa pesanan tentang kerjasama dan kepercayaan pada rakan sekerja.



Penonton dibawa meninjau perjalanan hidup Seo selaku renjer Taman Negara Jirisan (di Gunung Jiri) yang disegani kerana pengalaman meluasnya mengemudi taman terpencil Korea serta kecekapannya menjejak individu yang hilang di situ.



Dia kemudian dipasangkan dengan renjer baru, Kang Hyun-jo, lulusan akademi tentera yang juga mantan leftenan berpengalaman.



Kang mengalami satu kejadian yang tidak disangka-sangka di Jirisan sehingga membuatkannya ingin bertukar kerjaya menjadi renjer.



Debaran bakal terasa dengan lautan pengunjung yang membanjiri Jirisan ini tergolong daripada mereka yang menyimpan niat membunuh orang lain ataupun membunuh diri sendiri.



Watak Seo merupakan renjer tangkas yang mampu menjejak pendaki gunung yang hilang hanya dengan mengamati sehelai daun atau rumput di depan matanya.



Di sebalik bahaya tugasnya itu, wanita berani ini mengetepikan bisikan dalam hatinya untuk berhenti kerja demi janji pada neneknya.



Perspektifnya terhadap Jirisan hanya berubah setelah mengenali Kang yang lama-kelamaan menjadi tempatnya mengadu.



Dalam sidang media Zoom itu, Kim, 49 tahun, yang sebelum ini menghasilkan naskhah siri drama seram politik era kuno buat Netflix, Kingdom, mendedahkan:



"Saya tidak pernah ke Gunung Jiri sebelum menghasilkan naskhah Jirisan. Maka, saya banyak gunakan imaginasi dan kepingin ke sana.



"Saya fikir Gunung Jiri adalah tempat paling tepat bagi mereka yang impikan atau rindukan sesuatu mencari ketenangan.



"Lapisan tanah di gunung itu ibarat lapisan emosi pendaki gunung yang ada daripadanya menaiki gunung itu bagi melepaskan rindu dendam atau tatkala bersedih. Banyak perkara misteri boleh berlaku di sini.



"Jika sesuatu kemalangan terjadi di kawasan kota, ada khidmat kecemasan yang boleh dihubungi. Namun, kalau kemalangan itu terjadi di gunung, hanya renjer yang mengenali liku-liku gunung berkenaan sahaja yang dapat membantu. Saya terharu melihat perjuangan renjer yang menyentuh jiwa saya."



Pelakon drama 'hit' Princess Hours, Ju Ji-hoon, 39 tahun, pula membawa watak Kang yang menyimpan rahsia silam yang kelam di Gunung Jiri sehingga terbayang-bayangkan banyak kematian berlaku di situ.



Itulah yang mendesaknya menjadi renjer bagi menyelamatkan nyawa golongan yang disepit bencana alam, dibelenggu masalah hingga mahu bunuh diri atau tiba-tiba hilang di kawasan pergunungan.



Ju banyak berkongsi pandangannya dengan Kim bagi menghidupkan watak sebagai renjer dengan kenangan silam yang menakutkan.



"Saya sebenarnya suka panjat gunung sejak kecil malah menyimpan hasrat mendaki Gunung Jiri suatu hari nanti.



"Cita-cita ini tercapai walaupun ia banyak memerah tenaga empat kerat saya. Nak daki gunung dalam keadaan kaki yang lemah memang payah.



"Mujurlah, kecergasan saya terjaga sebab saya sudah biasa berlari-lari anak dan ada juga stamina. Kalau tidak, keadaannya tiga atau empat kali lebih sulit," katanya lagi.



Mengenai keserasian yang dibina bersama Jun, Ju berkata:



"Saya peminat Gianna Jun sejak saya muda lagi. Pesonanya membuatkan saya tak terkata-kata. Beliau memang contoh buat pelakon seperti saya. Saya berterima kasih kepadanya kerana selalu 'memberi' dalam setiap penghayatan wataknya. Mudah bagi saya pulangkan respons."



  • Jirisan disiarkan di aplikasi iQiyi mulai 8 malam esok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >