Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Muzik penawar hingga raih ijazah kepujian

Pemain genderang, penyanyi SG Ridz Razali atasi ADHD untuk lulus cemerlang dalam kursus muzik elektronik
Jul 09, 2021 | 05:30 AM



HATI ibu mana tidak sayu melihat anaknya disisihkan dan dipersenda sanak-saudara sendiri hanya kerana si kecil tidak cemerlang dalam pelajaran serta payah duduk diam dek kondisi gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD).



Inilah yang dirasakan penyanyi band legenda Singapura, Yezz, Shakhila Hamid, suatu ketika dahulu, semasa membesarkan anak tunggalnya Muhammad Ridzuan Razali yang mesra dengan panggilan Ridz Razali.



Namun, segala jerih payah membesarkan Ridz, 27 tahun, yang mula menempah nama dalam bidang seni sebagai pemuzik alat genderang dan penyanyi yang telah beberapa kali membuat persembahan di pusat seni Esplanade, ternyata berbaloi.



Anak muda yang sudah merakamkan beberapa lagu Inggeris seperti Have You Ever, Be My Forever dan Hold On To Me itu baru-baru ini tamat pengajian dalam kursus ijazah persembahan muzik elektronik di Maktab Seni Lasalle dengan Kepujian Kelas Kedua Atasan.



Sebagaimana kongsi Shakhila, 52 tahun, dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian:



"Ridz mengalami ADHD ringan dan payah memberi tumpuan di bilik darjah ketika itu. Saya dan suami sudah biasa dipanggil gurunya yang mengadu tentang keadaannya yang kurang minat belajar.



"Sebelum kami ketahui keadaannya itu, memang Ridz pernah dimarahi dan disebat bapanya kerana menduga kesabaran kami.



"Sedih juga apabila fikirkan, ada dalam kalangan saudara sendiri yang sisihkan Ridz. Dia masih budak ketika itu... tak tahu apa-apa... tapi ada pula yang tak suka kalau Ridz mendekati anak mereka yang sedang belajar. Mereka akan kata, Ridz tak boleh belajar, jadi jangan kacau anak mereka.



"Mujurlah, berkat doa dan usaha, kami nampak kecenderungannya dalam muzik. Dia sentiasa bergendang, dipalunya meja dan bermacam barangan lain... di situlah tenaganya disalurkan secara positif.



"Muzik menjadi terapi buat Ridz mengharungi dan mengatasi ADHD. Apabila bakat muziknya diiktiraf dan dia dapat mengiringi persembahan karyawan muzik lain, saya dan suami cukup bangga.



"Tahun ini, dia tamat pengajian dengan kepujian, kami lebih terharu sebab dia menemui bidang yang dicintai, sungguh-sungguh melakukannya dan membuktikan bahawa ADHD yang dialami bukan halangan mengecapi kejayaan.



"Di kala keputusan prelim Ridz bagi GCE Peringkat 'N' dan 'O' kurang memuaskan, kami dapatkan tutor yang baik untuk membantunya. Ridz juga kerja keras sampai masuk politeknik dan seterusnya ke Lasalle.



"Ini juga perangsang buat belia lain yang bertarung dengan bermacam kondisi kesihatan. Walau potensi mereka lambat berkembang, masih ada harapan cipta kejayaan berkat kesabaran," kata Shakhila.



Ridz, yang bermain muzik buat kumpulan genderang mapan The Wicked Aura mahupun band unik yang mengalunkan muzik nostalgia The Jazz Djogets, menjelaskan beliau tidak putus asa menimba ilmu kerana ingin membanggakan ibu bapanya.



"Mereka telah lalui susah payah membesarkan saya. Mereka menjadi pencetus inspirasi bagi saya ceburi bidang muzik dengan pengaruh awal mendedahkan saya pada muzik nostalgia dan motown, maka sewajarnya saya berterima kasih dan berikan yang terbaik dalam pengajian saya di Lasalle," katanya lagi.



Ridz menganggap tahun terakhirnya di Lasalle sebagai yang paling mencabar kerana perlu menyiapkan tesis yang menyisipkan unsur akademik muzik.



Beliau mengkaji kesan genre mikro muzik elektronik yang dipanggil synthwave yang biasanya dikaitkan dengan runut bunyi filem aksi, cereka sains dan seram era 1980-an.



"Walaupun tidak dilahirkan pada tahun 1980-an, saya berminat mengetahui bagaimana muzik sebegini bermain di kekotak minda kita dan membawa ingatan dan nostalgia sampai ke hari ini.



"Saya teringatkan drama sitkom 1990-an seperti Full House yang mempunyai muzik 1980-an. Pensyarah saya meminta saya memperkukuh tesis saya dengan menggunakan unsur ontologi muzik di mana saya mengkaji aspek-aspek muzik dan kaitan yang menyatukannya, dalam hal ini, muzik sebagai pengembali nostalgia," jelas Ridz lagi.



Muzik 1980-an, tambahnya, banyak menggunakan alat pensintesis dan bunyi dram yang membuat anda terasa aura di stadium.



Ridz juga perlu menghasilkan gubahan lagu sendiri untuk dipersembahkan dalam resital bersama rakan sekursusnya secara berkumpulan.



Antara pencapaian Ridz yang menggembirakan di Lasalle adalah kejayaannya meraih Anugerah Filem Belia Kebangsaan bagi runut bunyi buat dokumentari berat, Vichora.



Dokumentari arahan GurJeevan Singh Balrose, siswa jurusan perfileman di Lasalle, menyingkap bagaimana keluarga beragama Islam, Hindu dan Sikh mengharungi tempoh getir perang, konflik dan perpecahan India dan Pakistan kerana perebutan wilayah pada 1947.



Bapanya Razali Daee, 60 tahun, mendoakan kejayaan Ridz dalam arena muzik.



"Sebagai ayah, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik dan bangga dengan pencapaiannya setelah banyak kesukaran dihadapi.



"Sokongan sentiasa diberi. Saya ingat sewaktu kecil, Ridz memang pantang dengar lagu Michael Jackson. Dia akan menari. Hari ini, saya gembira melihat dia miliki kekuatan dalam bidang muzik dan moga dapat menyumbang kepada arena muzik Singapura," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >