JUARA Gegar Vaganza 8 (GV8), Aliff Aziz, bersyukur dapat meraikan ulang tahun ke-31 di Tanah Suci ketika beliau, isteri dan ibu bapa mentuanya mengerjakan ibadah umrah.
Pada hari lahirnya 16 Februari lalu, beliau turut menyampaikan buah tangan buat peminatnya dengan klip video lagu baru berupa versi 'cover' lagu Ikhlas Tapi Jauh.
Lagu dendangan asal Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Zubir Ali, Azman Warren dan Amir Yussof itu merupakan iklan khidmat Internet jalur lebar Astro yang cukup simbolik. Ia meraikan golongan wira yang disebut sebagai 'unsung heroes', yang kisah keperwiraannya atau pencapaiannya terlepas pandang dan tidak diiktiraf terang-terangan.
"Lagu istimewa itu didedikasikan kepada mereka yang berbakti kepada masyarakat, yang sentiasa ikhlas walaupun jauh.
"Dengan visi Satu Rumah, Satu Internet, kami berharap lebih ramai isi rumah dapat dihubungkan di atas talian," jelas Astro di penghujung video tersebut.
Sejak dimuatnaikkan ke YouTube Astro Malaysia enam hari lalu, video itu sudah ditonton sebanyak 2.1 juta kali dengan 4,000 tanda 'Like'.
Kesesuaian lagu itu dapat dirasakan lebih-lebih lagi apabila Aliff berjauhan dan setiap hari memuatnaikkan klip video dan foto beliau dan isteri, Bella Astillah, di tempat-tempat bersejarah Makkah dan Madinah melalui Instagramnya.
Ramai yang memuji suara Aliff yang merdu dan menenangkan.
"Apalah yang orang tak suka tentang Aliff Aziz? Sebagai individu, beliau lembut budi bicaranya dan sangat merendah hati.
"Sebagai penyanyi, beliau memiliki suara paling menenangkan yang anda akan terpancing untuk mendengar dan dambakan berkali-kali.
"Aliff sememangnya berbakat besar. Saya adalah peminat besarnya," tulis warganet Hazdy Paradis.
Mad Soul pula menambah: "Versi lagu yang menyegarkan. Aliff tidak terlebih menyanyikannya. Beliau menjadikan lagu ini serba sederhana, sedap didengar dan 'classy'."
Penyanyi asal, Zainal Abidin, turut memuji versi Aliff itu di Instagram. Sebelum ini, beliau dikecam warganet kerana seakan mempertikai kemenangan Aliff di pentas GV8 ketika diwawancara media seberang.
Beberapa warganet pula berharap Zainal akan mendengar lagu versi Aliff ini dan menerima serta meyakini keupayaan bintang dari Singapura ini untuk bergelar juara GV8.