Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nyala rasa 2 gitaris terus membara

Pandemik sentak gitaris Helven rajin bikin lagu, ambil kursus kemahiran

Sebelum ini, dua gitaris ini sentiasa kelihatan di balik tabir menyokong bakat setempat dengan mengiringi persembahan mereka atau sebagai pemacu semangat anak seni Singapura. Namun, kedua-duanya juga memiliki projek nyala rasa sendiri untuk diteroka. BERITA HARIAN melaporkan.
Jan 31, 2022 | 05:30 AM



PETIKAN gitar mempesona pemuzik Singapura, Romey Helven, mengiringi persembahan ramai penyanyi setempat mahupun penghibur terkenal di Indonesia, Rossa.



Setelah sekian lama berkecimpung dalam bidang seni, kedengaran berita angin bahawa Romey, 37 tahun, atau nama sebenarnya, Abdul Shahadi Abdul Rahman, tidak lagi aktif dalam dunia muzik.



Namun, beliau menjelaskan sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 sekitar 2020, dirinya fokus pada misi mencari rezeki di luar bidang muzik buat isteri dan keluarganya tatkala segala kegiatan muzik 'live' terhenti.



Itulah detik di mana Romey mengambil keputusan menjadi pengirim makanan agar pendapatannya terus bertali arus.



Wabak Covid-19 juga jelasnya, ibarat satu sentakan agar beliau juga aktif memikirkan arah tujunya dalam bidang muzik dengan menjana karya baru setelah sekian lama tidak berbuat begitu.



Romey mengambil kursus perkasa diri dan menonton video bagi mempelajari lebih lagi tentang kejuruteraan audio dan videografi.



Baru-baru ini, beliau dan bandnya Helven juga mengeluarkan 'single' sulung di platform digital Spotify dan Apple Music, Ganggu. 



Menurutnya, ia adalah berdasarkan kisah sebenar.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Romey yang diselaras agensi media MakBesar.



Soalan (S): Bagaimana laluan hidup Romey? Apakah antara kesukaran yang ditempuhi?



Romey: Kehidupan saya penuh pasang surutnya. Walau bagaimanapun, saya yakin pada ketentuan Allah. Apa yang saya doakan, alhamdulillah telah dikurniakan.



Sebelum ini, album lama saya dijual di gedung cakera padat seperti HMV, Gramophone dan Tower Records.



Saya berpeluang membuat persembahan di luar negara dan menyajikan lagu ciptaan saya secara langsung.



Saya juga diberi kesempatan berkongsi pentas dengan artis setempat dan antarabangsa serta mengeluarkan lagu yang diputar di corong radio.



Walau apa pun, saya bersyukur dapat terus mencipta lagu saya sendiri dan kekal aktif dalam industri muzik di sini.



Apabila saya dihubungi Suria bagi rancangan amal Sinaran Hati pada 2018 dengan imej yang berbeza, ia adalah permulaan yang baik untuk saya muncul lagi dalam beberapa persembahan.



Bagi saya, wabak Covid-19 ini adalah satu peristiwa yang menyentak saya tetapi dengan penuh hikmah.



Saya mula mencipta lagu semula selepas lama tidak berbuat demikian. Saya dapat meluangkan masa bersama isteri dan keluarga.



Saya mula memperkasa kemahiran saya dengan mengambil kursus dan menonton video untuk pelajari lebih lagi tentang kejuruteraan audio dan videografi bagi memperluas ilmu dan kemahiran saya.



S: Bagaimana Romey atasi cabaran hidup dan ceritakan detik pertama tembusi persada muzik setempat?



Romey: Saya cuba kekal bersabar dan memahami setiap yang berlaku pasti ada sebab dan hikmah tersembunyi.



Khususnya, dengan situasi masa kini, dengan menghasilkan muzik, saya fokuskan minda dan terlibat lebih akrab dengan proses penjanaannya.



Sokongan dan galakan isteri yang membantu saya agar sentiasa aktif dalam kerja seni saya amat dihargai.



Sebenarnya, saya bermula daripada Anugerah Band 2009. Ia pembuka jalan bagi banyak peluang lain. Saya juga pernah memenangi Anugerah Gitaris Terbaik Yamaha Asian Beat 2007 dan 2009 serta muncul buat kali pertama dalam rancangan Hari Raya, Sinar Lebaran 2009.



Video 'cover' saya di YouTube memainkan lagu hit Rossa, Ayat Ayat Cinta membuka ruang bagi saya membuat persembahan pertama di luar negara bersama Rossa sendiri di Indonesia.



S: Bagaimana perasaan Romey apabila dipelawa berlakon dalam rancangan 'Sinar Lebaran' beberapa tahun lalu?



Romey: Saya sejujurnya terkejut dan rasa dihargai. Saya memang rela menyahut cabaran baru. Terasa emosi yang pelbagai ketika itu iaitu teruja campur gementar.



Ia pengalaman baru buat saya kerana saya perlu berdiri di situ tanpa gitar kesayangan saya seperti kebiasaannya.



Alhamdulillah, sambutannya sangat baik walaupun saya hanya perlu mengucapkan dua perkataan iaitu 'Tumpang Lalu'! Ada orang luar yang terserempak saya dan sempat buat-buat malu sambil mengucapkan 'Tumpang Lalu' sebagai tanda mengusik.



Kalau diberi peluang sekali lagi, ingin juga saya berlakon. Jadi pelakon pembantu berdiri di belakang pelakon utama pun jadilah!



Tapi saya selalu yakin dengan mutiara kata penulis E.L. James bahawa 'kita harus belajar berjalan sebelum kita boleh berlari'.



Sebelum tempoh kewaspadaan dipertingkat, saya menjalani sesi uji bakat menerusi panggilan video Zoom bagi dua peranan berbeza tetapi tiada rezeki kerana situasi Covid-19.



S: Apakah kisah di sebalik 'Ganggu', lagu bersama Helven?



Romey: Ia adalah ilham yang mendatang ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19. Semua persembahan 'live' terhenti tiba-tiba. Saya mencari tugas gantian mengirim makanan untuk mencari rezeki.



Pada salah satu malam di mana saya menjalankan tugas mengirim makanan, saya melalui pengalaman menyeramkan yang membuatkan berdiri bulu roma saya.



Inilah lagu pertama kami di wadah digital. Helven ditubuhkan pada 2005.



Kini, saya selaku gitaris bersama pemain bes, Buggy, pemain dram Rafi dan pemain papan nada Zio, menggerakkan band ini.



Kami membesar bersama dan saling mengenali keluarga masing-masing. Dengan usia semakin meningkat, lebih banyak tanggungjawab untuk digalas. Ada perubahan justeru itu dari segi anggota band.



Lagu ciptaan sendiri adalah yang membuatkan kami bertahan hingga hari ini. Nyala rasa menjana muzik sendiri dengan setiap anggota menyumbang mengikut kekuatan masing-masing adalah faktor yang menyatukan kami.



Kami enggan dilihat sebagai band rok sebab kami kreatif dalam muzik kami malahan ingin sisipkan unsur muzik Sepanyol dan R&B dalam lagu kami pada masa terdekat.



Diharapkan muzik kami juga boleh digunakan sebagai runut bunyi drama dan filem ringkas.



S: Bagaimana Romey lihat masa depan dalam bidang seni?



Romey: TikTok dan Instagram membolehkan semua orang papar bakat mereka secara terbuka.



Berbeza daripada zaman Helven bermula dahulu di mana peluangnya agak terbatas pada radio, televisyen dan persembahan 'live'.



Saya percaya persada seni kita akan terus berkembang ke arah platform digital, apa lagi tempoh pandemik menjadikan proses pendigitalan lebih cepat direalisasikan.



Kalau kita tak ikut trend ini, kita mungkin ketinggalan. Bagaimanapun, saya yakin ramai masih suka dengar muzik 'live' walaupun ia hanya versi akustik.



Bagi saya, rancangan Suria, Frekuensi, adalah satu cara terbaik memaparkan persembahan sebegini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >