Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan NDP untuk ibu bapa: Rasa gegaran di luar Stadium Negara
Ada lagi 10 hari sebelum Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), dan jika ibu bapa mahu membawa anak-anak menonton pertunjukan bunga api tetapi belum berkesempatan, usah khuatir.
Orang ramai masih berpeluang menyaksikannya semasa previu NDP pada 1 Ogos dan pada hari perbarisan, 9 Ogos.
Terdapat beberapa lokasi dekat Stadium Negara untuk menyaksikan pertunjukan bunga api, seperti di Kallang Riverside Park dan Stadium Riverside Walk.
Jika datang awal, sekitar 6.30 petang, keluarga berpeluang untuk menyaksikan juga terbang lalu bendera negara dan tembak hormat Presiden.
Di kawasan Kallang Basin, anak-anak boleh menjejak laluan helikopter yang membawa bendera negara, serta melihat pancaran api daripada meriam sebelum bunyi tembakan kedengaran.
Tapi, ibu bapa, jangan datang dengan ‘tangan kosong’.
Bersiap sedialah dengan fakta menarik berikut supaya tidak terkejut apabila anak-anak mula melontarkan pelbagai soalan!
– NDP 2026 diadakan di Stadium Negara bagi meraikan ulang tahun ke-61 Singapura.
– NDP kali pertama diadakan di Stadium Negara 50 tahun lalu, pada 1976.
–- NDP kali terakhir diadakan di Stadium Negara 10 tahun lalu, pada 2016.
Terbang Lalu Bendera Negara
– Ini kali pertama helikopter membawa bendera negara merentasi Kallang Basin.
– Helikopter boleh dilihat di atas Stadium Negara sekitar 6.45 petang ketika Lagu Kebangsaan berkumandang.
– Satu helikopter, Chinook CH-47, membawa bendera, diiringi dua helikopter tempur, Apache AH-64, dalam formasi ‘Vic’, yang berbentuk huruf ‘V’.
– Tiga pesawat itu terbang pada ketinggian 290 meter dari Pulau Sudong di selatan Singapura.
– Setiap bendera seberat 317.5kg, bersamaan dua ekor singa, dan bersaiz 30 meter kali 20 meter.
– Helikopter kemudian membawa bendera kembali ke Pulau Sudong.
– Ada tiga lagi helikopter (dua Chinook dan satu Apache) dan empat lagi bendera sebagai sandaran (back-up).
Tembak Hormat Presiden
– Ini kali pertama tembakan dilepaskan dari Kallang Basin.
– Segmen ini bermula sekitar 6.50 petang dan berlangsung selama sekitar 10 minit.
– Ia adalah penghormatan ketenteraan tertinggi untuk Presiden dan berlangsung ketika Presiden memeriksa perbarisan.
– Sebanyak 19 das dilepaskan semasa previu dan 21 das pada 9 Ogos.
– Tembakan dilepaskan dari empat meriam, Howitzer 25-paun.
Bunga api
– Pertunjukan kecil bermula sekitar 7.30 malam.
– Pertunjukan penuh bermula sekitar 8.10 malam.
