Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dapat bantuan, tapi masih berdikari - ZALIHA HAMID & SELAMAT SUNANI

Pasangan aktif sertai uji bakat iklan, rezeki semasa pandemik

Dec 02, 2020 | 05:30 AM



Nyala rasa beberapa bakat seni mapan ini tidak terpadam walau kehidupan meniti usia senja diuji dengan penyakit kronik seperti strok. Mereka bersyukur diberi sumbangan ihsan daripada masyarakat sebanyak $1,000 seorang menerusi Kempen Kami Peduli sebagai penghargaan mahupun habuan menampung kos rawatan. Sungguhpun begitu, semangat suka bekerja mereka dan payah duduk diam sejak muda membawa kaki mereka ingin terus melangkah berdikari dan menjalani penuaan aktif berkat doa orang ramai. BERITA HARIAN melaporkan kisah anak seni mapan yang pantang menyerah kalah.




BAGAI aur dengan tebing, pelawak Zaliha Hamid dan suaminya, pelakon Selamat Sunani, saling tolong-menolong dan mendorong satu sama lain agar kekal relevan berseni.



Dalam meniti usia senja bersama, Zaliha yang menyambut ulang tahun ke-73 hari ini dan Selamat, 74 tahun, enggan masa terbuang begitu sahaja.



Mereka malah masih gigih menghadiri sesi uji bakat iklan kesedaran sosial dan kejiranan.



Semangat menua secara aktif, suka bekerja bagi mencergaskan minda dan berdikari kerana enggan menyusahkan tiga anak mereka, cukup menebal.



Ini dikongsi pasangan bahagia itu ketika ditemui di majlis penyampaian habuan Kempen Kami Peduli di Istana Ballroom, Tanjong Katong Complex, baru-baru ini.



Selamat yang dilanda strok buat kali ketiga setelah kehilangan pekerjaan sebagai pengendali beg penumpang khidmat penerbangan Scoot beberapa bulan lalu, adalah antara 23 anak seni yang dibantu melalui kempen tersebut.



Setiap orang menerima $1,000 hasil projek amal nasi beriani dam dan double lamb shank serta nasi tomato dan bamia pada Hari Raya Aidiladha lalu.



Kempen ini diusahakan Pengarah Urusan Life Records, Encik Osman Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orange Events and Media, Encik Syah Ibrahim.



Pengurus syarikat Nazreen Catering, Syed Hafiz, turut membantu.



Ketika ditemui, Zaliha berkata ini adalah kali kedua suaminya menerima habuan Kempen Kami Peduli yang diadakan buat tahun ke-15.



Pada ketika itu, sekitar 2012, suaminya dilanda strok buat kali kedua.



Strok pertama dihadapi pada 2010.



"Kami bersyukur Encik Osman dan Encik Syah ambil peduli dengan kebajikan anak seni di Singapura.



"Sedikit sebanyak bantuan yang diberi boleh dimanfaatkan buat keperluan hari tua kami.



"Walaupun kami mempunyai anak sendiri, kami sudah biasa berdikari dan enggan menyusahkan mereka.



"Kerana itu, kami masih aktif ke sesi uji bakat iklan, malah tak cerewet terima apa jua projek lakonan termasuk yang dikendalikan pelajar jurusan filem.



"Walau bayaran tak banyak, kami bersyukur seadanya. Yang penting, minda kita cergas sebab didorong berfikir tentang watak yang dijayakan," katanya.



Selamat yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman bekerja sebagai teknisyen di Singapore Airlines (SIA) sejak 1967 di Lapangan Terbang Paya Lebar bersara dua tahun lalu.



Apabila Zaliha ditawarkan tugas mengangkat beg penumpang Scoot, beliau beri pekerjaan itu kepada Selamat yang dianggap 'kaki kerja'.



"Saya serahkan tugas kepada suami kerana tak kuat angkat beg. Suami gembira. Apakan daya, Covid-19 mendesak Scoot hentikan pekerja.



"Abang Selamat runsing dan kemudian dilanda strok di tandas rumah kami. Dia terjatuh dan terus tidak boleh jalan," ujar Zaliha.



Hasil urutan tradisional yang dilalui, Selamat kini mampu berjalan menggunakan tongkat.



"Dalam keadaan bertongkat pun, Abang Selamat masih nak cari kerja. Saya bergurau dengannya, awak dah jalan asyik tersepak batu, takkan nak kerja?" seloroh Zaliha.



Mengenai lakonan iklan, Selamat bersyukur terlibat dalam iklan Hari Raya agensi air negara PUB yang tular dengan cogan kata 'Air dicencang takkan putus'.



Iklan tentang hubungan dua beradik yang terpisah disisipkan dengan lagu asal Slam, Gerimis Mengundang, yang dinyanyikan semula Hady Mirza.



Kata Zaliha:



"Setiap kali ke sesi uji bakat iklan, saya akan bawa Abang Selamat. Nasib-nasiblah, sama ada rezeki saya atau beliau.



"Alhamdulillah, dalam tempoh pandemik, saya terlibat dalam iklan pesanan sosial tentang Covid-19. Dua lagi projek menanti pengesahan.



"Kalau Abang Selamat terlibat dalam projek iklan, saya temankannya kerana bimbangkan keadaannya dengan daya ingatan yang sedikit terjejas kerana satu urat otak halus yang terputus."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >