Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelakon drama jenayah Murder, She Wrote, Angela Lansbury, meninggal dunia dalam tidur

Oct 12, 2022 | 10:55 PM



PELAKON siri drama jenayah, Murder, She Wrote, Dame Angela Lansbury, telah meninggal dunia pada usia 96 tahun.



Mendiang Lansbury yang dicalonkan tiga kali bagi Anugerah Academy memiliki kerjaya lakonan selama lapan dekad meliputi filem, teater dan televisyen.



Dilahirkan pada 1925, beliau adalah antara segelintir bintang Hollywood di era kegemilangan filem Barat yang tinggal.



Lansbury meninggal dunia dalam tidur, lima hari sebelum ulang tahun ke-97, kata keluarganya dalam satu kenyataan, lapor laman BBC.



"Anak-anak Dame Angela Lansbury sedih untuk mengumumkan ibu mereka meninggal dunia secara aman dalam tidurnya di rumahnya di Los Angeles," jelas kenyataan itu.



Mendiang dilahirkan di London sebelum bermastautin di New York dan menyertai Sekolah Seni Dramatik Feagin.



Beliau dikesan seorang eksekutif Hollywood di satu keramaian pada 1942 dan diberi watak pertama sebagai pembantu rumah dalam filem 1944, Gaslight.



Filem ini berdasarkan pementasan 1938 dengan judul serupa. Peranan yang dibawanya itu membawa pada pencalonan Anugerah Academy bagi pelakon pembantu wanita terbaik pada tahun selepas itu.



Kekata 'gaslighting' berasal daripada pementasan Patrick Hamilton yang mengisahkan tentang wanita muda yang suaminya secara perlahan-lahan menguasainya untuk mempercayai dia bakal gila.



Lansbury kemudian membintangi dua lagi watak yang membawa pada pencalonan Oscar iaitu sebagai Sibyl dalam The Picture of Dorian Gray pada 1945 dan selaku ibu gila kuasa Laurence Harvey dalam The Manchurian Candidate pada 1962.



Lansbury berlakon bersama Frank Sinatra dalam filem The Manchurian Candidate.



Selepas terlibat dalam pementasan Broadway pada tahun 1960-an, Lansbury memenangi beberapa Anugerah Tony termasuk trofi bagi peranannya selaku Nellie Lovett dalam pementasan muzikal 1979 Stephen Sondheim, Sweeney Todd.



Beliau juga muncul dalam filem 'hit' Disney, Bedknobs and Broomsticks pada 1971 dan kemudian meminjamkan suaranya bagi watak Mrs Potts dalam animasi Beauty and the Beast. Manakala yang terkini, pada 2018, beliau menjayakan filem Mary Poppins Returns.



Namun, ramai yang tidak dapat melupakan wataknya sebagai penulis yang menyiasat kes jenayah, Jessica Fletcher, dalam siri Murder, She Wrote, yang diminati jutaan penonton televisyen merata dunia.



Lansbury memegang peranan tersebut pada 1984 dan terus menjayakannya selama sembilan musim dalam tempoh 12 tahun.



Siri itu menjadikannya salah seorang wanita terkaya di Amerika pada waktu itu dengan kekayaan yang dianggarkan sekitar AS$100 juta ($143.6 juta).



"Saya bekerja lebih gigih bagi watak dalam teater berbanding watak Jessica. Jessica lebih dekat di hati saya. Orangnya santai. Saya boleh kaitkan diri saya dengan Jessica," jelas Lansbury mengenai watak Jessica Fletcher dalam satu wawancara televisyen pada 1985.



Pengiktirafan turut beliau terima bagi pencapaian sepanjang hayat dalam Anugerah Academy 2013. Ketika itu, usianya 88 tahun.



Pelakon Geoffrey Rush menyampaikan piala Oscar kepadanya dan memujinya sebagai seorang anak seni yang serba boleh.



Selepas itu, satu anugerah pencapaian sepanjang hayat daripada Anugerah Filem Akademi British (Bafta) diterimanya pada 2002 serta pencapaian sebutir bintang di Hollywood Walk of Fame.



Lansbury dianugerahkan dengan gelaran Dame pada 2014 di atas sumbangannya pada drama, kerja amal dan misi dermawan.



Sepanjang hayatnya, beliau berumah tangga dua kali - buat tempoh yang tidak panjang dengan pelakon Richard Cromwell ketika usianya 19 tahun dan kemudian dengan pelakon dan penerbit British, Peter Shaw.



Mereka mendirikan rumah tangga selama lebih 50 tahun sehingga Shaw meninggal dunia pada 2003.



Lansbury meninggalkan tiga anak dan adik lelakinya, penerbit Edgar Lansbury, 92 tahun.



Beliau juga mempunyai cucu dan cicit. - BBC



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >