Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelakon watak jahat sebenarnya 'mummy' penyayang

May 07, 2021 | 05:30 AM



LEBIH tiga dekad lalu, pelakon veteran Mariana Yati menerima panggilan telefon daripada neneknya yang amat marah dek menyaksikan wataknya sebagai wanita jahat kaki penggoda dan penjual ganja.



"Saya baru sahaja berlakon pada 1985 dan masih ingat arwah nenek bising, 'Eh kau malukan keluarga ya bawa watak macam ni...'



"Saya tak sedih. Saya tak marah. Sebaliknya, saya gembira dapat reaksi sebegitu daripada nenek. Maknanya lakonan saya berjaya.



"Watak perempuan jahat tu menjadi...mestilah kalau jahat, orang benci. Mana ada orang suka dengan orang jahat?" ceritanya sambil tertawa mengenang pengalaman berlakon dalam drama Rumah Besar Tiang Sebatang.



Sememangnya, watak jahat begitu 'melekat' dengan Mariana, 58 tahun, yang boleh disifatkan sebagai Ratu Antagonis Drama Melayu Singapura.



Impak lakonannya begitu terasa sehingga boleh timbulkan rasa marah, benci dan kasihan dalam diri penonton.



Kesanggupannya membotakkan kepala bagi menghidupkan watak pesakit barah dalam drama Tekan Minyak juga terpahat di ingatan.



Malam ini, Mariana menjayakan watak Hasnah dalam telefilem khas Hari Ibu, Maafkan Mak.



Hasnah adalah ibu dan nenek yang melalui perkahwinan kedua, lebihkan suami daripada anaknya sehingga si anak terasa rintihannya tidak didengar lantas larikan diri dan terjebak dalam pelbagai masalah dan jenayah.



Kemudian, perangai si anak Lismawati yang memberontak ini juga beralih pada si cucu, Amirah. Ia menjadi bak satu lingkaran musibah buat keluarga Hasnah.



Kata Mariana ketika ditemui di Mediacorp Campus:



"Pengajaran yang saya perolehi daripada telefilem ini adalah seorang ibu harus menjadi sahabat karib buat anaknya.



"Tiada ibu yang tak sayangkan anak tetapi kebanyakan masa, ibu kadangkala merasakan dia lebih tahu dan berhak mengawal si anak.



"Ada yang abaikan rintihan anak dan memandang remeh kata-kata anak. Jangan sampai anak berdendam dengan kita."



Mariana, ibu tiga anak antara usia 19 dengan 30 tahun, sendiri mengamalkan cara menjadi sahabat baik kepada anak-anak.



Anak sulungnya, Imam Shah, yang kini menetap di Malaysia sudah berumah tangga dengan pelakon dan penyanyi jelita asal Singapura, Hannah Delisha.



"Jangan biarkan perangai tidak baik kita sebagai ibu terbawa sampai ke tua. Dah berusia seperti Hasnah, baru timbul penyesalan. Tiada ibu yang tak sayangkan anak. Tiada anak juga sanggup menyakiti hati ibu.



"Dari pengalaman saya sebagai ibu, saya akui kadangkala anak suka mengadu yang bukan-bukan. Tapi daripada kita abaikannya, mengapa tidak kita tunjukkannya kasih sayang?



"Kita beri kebebasan tetapi berbatas. Saya tetap beri anak-anak saya teguran walaupun mereka sudah dewasa. Saya tetap risau dan melenting kalau mereka pulang lewat. Tapi saya tak tutup hati dan telinga bagi mendengar keluhan mereka.



"Sewaktu meniti usia remaja, Imam pernah juga cakap tentang pasang tatu melihat pada teman-teman sekelilingnya. Tapi saya berpesan kepadanya, 'Kalau sayangkan mummy, jangan buat'.



"Hari ini, Imam bersyukur dan berterima kasih kepada saya kerana mendidiknya dan menegahnya daripada buat benda-benda tidak wajar.



"Apabila kita jadi sahabat baik buat anak, mereka akan datang kepada kita apabila ada masalah untuk dihuraikan. Kita pula senang nak bantu mereka keluar dari permasalahan itu," jelas Mariana.



Hingga ke hari ini, beliau hargai tunjuk ajar pengendali bengkel lakonan yang dihadiri iaitu Allahyarham Bani Buang, Azizah Malik dan Jamal Ismail. Nadiputra juga 'sifu' yang sangat disegani.



"Lakonan sudah mendarah daging dalam diri saya. Saya malah berhijrah ke Malaysia selama 13 tahun untuk bangunkan syarikat penerbitan saya sendiri yang bikin drama dan video korporat.



"Dari pekerja Hotel Shangri-La, saya mula dalami bidang seni. Watak paling berkesan adalah sebagai wanita gila dalam filem ringkas Finas di Malaysia, Tuah Si Awang.



"Saya kembali ke Singapura kerana dua anak perempuan saya masih bersekolah di sini. Kalau mereka tamat pengajian, saya mungkin akan bersama Imam di Malaysia.



"Kesyukuran saya sebagai ibu adalah apabila semua anak rapat dengan saya. Mereka tiga beradik pun akrab. Imam setiap hari hubungi adik-adiknya, bertanya khabar.



"Harapan saya walau mereka terpisah dek sempadan negara, mereka akan tetap rukun sebagai keluarga," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >