Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengarah filem muda papar kecekalan ibu tunggal

May 04, 2021 | 05:30 AM



PERJUANGAN ibu tunggal menyara hidup sebagai ayah dan emak buat anak-anak menyentuh jiwa lulusan filem, Encik Mohamed Azman Mohamed Asthik.



Mereka tidak menagih simpati masyarakat dan ingin dilihat sebagai insan bersemangat waja walau berat amanahnya.



Inilah antara sebab yang mendorong Encik Mohamed Azman, 19 tahun, yang baru tamat pengajian daripada Politeknik Ngee Ann (NP), menghasilkan dokumentari ringkas tentang hubungan ibu tunggal dengan anaknya, Dear Amelia.



Filem persis warkah ibu buat anak itu terpilih sebagai antara kerja seni pelajar NP yang ditayangkan di pawagam The Projector di Golden Mile Tower sempena Pesta Filem Eropah (EUFF).



Dokumentari tentang ibu tunggal, Cik Natalya Rahayu, yang berdepan dengan bermacam cabaran demi masa depan anak tunggalnya Amelia akan ditayangkan mulai 8.10 malam pada 9 Mei ini.



Dear Amelia ditayangkan sebelum filem Norway arahan Hisham Zaman, Before Snowfall.



Ini merupakan tahun keenam penganjur EUFF bekerjasama denan Sekolah Pengajian Filem dan Media NP.



Sebanyak 10 filem ringkas pelajar NP dipilih pensyarah dan pembikin filem Michael Kam dan Craig McTurk bagi membolehkan penonton meninjau tradisi filem ringkas Singapura.



Ikuti wawancara bersama anak sulung tiga beradik yang ingin melanjutkan pengajian filem di Amerika.



Soalan (S): Bagaimana minat terhadap dunia perfileman bermula?



Encik Azman (A): Secara peribadi, saya suka menonton filem aksi bajet tinggi seperti The Avengers (2012). Lantaran itu, kursus Diploma Filem, Bunyian dan Video di NP menjadi pilihan saya.



Saya suka menulis skrip filem, menjalankan kajian dan mengamati proses kreatifnya.



Sejak menyaksikan The Avengers, kesan 'wow' filem ini begitu terasa. Harapan saya kalau suatu hari saya jadi pengarah, saya mahukan reaksi terpaku penonton terhadap filem arahan saya.



Setiap pelajar filem impikan namanya tertera dalam kredit di penghujung filem.



S: Apakah perasaan anda mengarah 'Dear Amelia'? Bagaimana tercetus idea menghasilkan dokumentari tentang ibu tunggal?



A: Sebelum ini, saya lebih banyak menulis skrip daripada mengarah. Pengalaman mengarah dokumentari sesuatu yang baru.



Bagi projek ini, saya tak mampu berpandukan skrip kerana ia dokumentari kisah sebenar. Pastinya akan ada sesuatu yang spontan yang watak itu akan sampaikan.



Isu ibu tunggal dipilih kerana kebanyakan daripada kita mungkin mengenali ibu tunggal dalam kalangan teman atau saudara-mara kita.



Filem ini melahirkan suara ibu tunggal yang tidak kedengaran. Mereka tidak mahu dianggap sebagai insan sedih dan menderita yang tidak mampu berdikari.



Mereka enggan diselamatkan hanya kerana kisah perit mereka. Dokumentari ini menekankan betapa kuatnya semangat Cik Natalya yang kami hubungi menerusi badan amal memperkasa wanita, Daughters of Tomorrow.



S: Apakah yang anda pelajari daripada mengarah dokumentari ini?



A: Saya tidak boleh main-main dan harus fokus. Saya belajar teknik mewawancara dan mencungkil perjalanan hidup si ibu tunggal.



Sebelum ini, saya tidak begitu tahu bagaimana pergolakan hidup si ibu tunggal tetapi kini saya dapat suntikan semangat positif daripada mereka. Kalau mereka yang banyak diuji boleh atasi cabaran, mengapa pelajar seperti saya tidak boleh melakukannya?



S: Apakah pandangan anda tentang peluang yang diberi buat pelajar tayangkan filem di EUFF?



A: Ia peluang keemasan bagi saya ketengahkan idea dan suara hati kami. Biasanya, ibu bapa dan teman-teman tonton filem kami.



Kini, di layar perak, ada banyak kemungkinan. Filem kami membuka tirai filem Eropah yang dipilih.



Siapa tahu ada karyawan filem lain yang melihat produk kami dan ingin bekerjasama?



Saya juga melihat ada persamaan antara Dear Amelia dengan filem Norway yang menyusuli, Before Snowfall.



Tidak pasti jika ia disengajakan atau tidak. Kedua-duanya menyentuh tentang konflik jangkaan masyarakat terhadap seorang individu berlawanan dengan apa yang terbuku dalam pertumbuhan jiwanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >