Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ANALISIS SENI

Perlu rancakkan usaha abadikan ikon filem klasik

Jan 12, 2021 | 05:30 AM



KUNJUNGAN saya ke kedai makan S. Kadarisman Cafe di 128 Tembeling Road pada Jumaat lalu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak sekitar tahun 1980-an.



Saya, abang dan sepupu kami akan duduk terpacak di depan televisyen setiap Jumaat menyaksikan filem P. Ramlee seperti Tiga Abdul dan Seniman Bujang Lapok yang turut dijayakan Allahyarham S. Kadarisman.



Dialog wataknya yang mencuit hati sebagai pelakon Studio Malay Film Production dalam Seniman Bujang Lapok masih segar di minda.



Ramai peminat filem P. Ramlee termasuk saya yang menghafalnya. Ia berbunyi begini:



"Kau sudah tahu kegemaran aku adalah belacan! Mengapa kau masak sayur asam tak mahu campur belacan? Sekarang aku akan pancung leher kau... "



Pendek kata, Allahyarham, yang nama sebenarnya Shahadat Kadarisman Raden Deswaren, memang seorang legenda yang meninggalkan legasi untuk dihayati pelakon muda.



Dengan wajah bengis dan karakter liciknya di layar perak, tidak hairanlah jika ramai penonton tidak mampu membezakan itu hanya sekadar lakonan.



Pelakon pembantu sepertinya dan ramai lagi pada ketika itu seperti Ahmad Nisfu, M. Busra, M. Zain dan Ibrahim Pendek, memiliki 'trademark' dan identiti sendiri.



Allahyarham S. Kadarisman misalnya tidak lepas dengan paip tembakaunya termasuk ketika bergambar potret.



Anaknya, Cik Khairubi S. Kadarisman, 58 tahun, yang saya temui di kafe itu malah menyatakan arwah ayahnya menyimpan 50 paip tembakau.



Beberapa paip tersebut malah dijadikan bahan pameran di satu sudut muzium mini S. Kadarisman di kafe yang dibuka cucunya, Cik Rozeelawati Mohd Amin, 43 tahun; dan suami, Encik Normanshah Omar, 44 tahun.



MUZIUM MINI S. KADARISMAN SATU LANGKAH POSITIF



Pembukaan kafe dan muzium mini S. Kadarisman ini merupakan satu langkah positif meskipun dianggap keluarganya usaha kecil mengabadikan nama Allahyarham dan berkongsi jasa serta sumbangannya kepada seni dan warisan Nusantara.



"Ini satu permulaan bagi ramai khususnya generasi muda mengenali S. Kadarisman sebagai pelakon serba boleh... watak jahat boleh, watak komedi boleh.



"Beliau tekankan kepada saya dahulu bahawa sebagai pelakon, semua watak harus dibawakan dengan baik," jelas Cik Khairubi.



Daripada perbualan dengan anak-anaknya, saya mengetahui naskhah asal filem Madu Tiga dan Labu Labi merupakan hasil ilham S. Kadarisman yang dijual kepada P. Ramlee.



Beliau juga pengarah filem Sri Andalas yang dilakonkan Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan Sarimah.



Pada ketika ramai anak muda lebih mengenali P. Ramlee berbanding barisan pelakon pembantunya, usaha seperti yang digerakkan keluarga S. Kadarisman membangun muzium mini ini harus dipuji.



Tanpa mereka, filem Melayu klasik pun tidak akan menjadi dan dikenang sampai hari ini.



Lebih banyak usaha bersepadu yang boleh dilakukan anggota keluarga bintang filem Melayu klasik, pencinta tegar filem Melayu dan juga penjejak warisan dalam memastikan khazanah 'permata filem' ini tidak terbiar begitu sahaja, dibuang atau disorok di rumah.



Di Barat, usaha mengabadikan cebisan peninggalan legenda, penghibur dan pelakon Elvis Presley kini dibuat di alam maya hasil sumbangan anggota keluarganya.



Anda boleh menempah tiket dan meninjau ruang tamu, bilik tidur dan pejabat dan taman meditasi Raja Rock 'N Roll itu di The Graceland Mansion, tempat tinggalnya dahulu.



Ada beberapa video ulasan anaknya, Lisa Marie, yang dikongsi bersama pengunjung.



Britney Spears, Arnold Schwarzenegger, Three Stooges, Ava Gardner dan Jackie Chan adalah selebriti yang diberi penghormatan dengan terbinanya muzium tentang perjalanan seni mereka.



Yang menariknya, tidak perlu tungu hingga tamat riwayat bakat itu bagi membina muzium buatnya sebagaimana yang dilakukan buat Spears, Schwarzenegger dan Chan yang masih berkarya.



Saya yakin usaha kecil-kecilan yang tidak banyak menelan banyak belanja masih boleh digerakkan pencinta seni filem klasik baik di lokasi fizikal seperti kafe atau menerusi blog dan vlog.



Pencinta filem dan lagu klasik Melayu, Cik Siti Aminah Ismail, yang mempunyai laman Wadah Seni, khusus buat artis lama, berkata:



"Saya terharu melihat anak, cucu dan cicit Pak Kadarisman membina ukhuwah sambil meniaga makanan dan mempamerkan khazanah seni beliau di bawah satu bumbung.



"Harapan saya, banyak lagi yang boleh dilakukan agar warisan kita tidak terbiar begitu sahaja. Anak-anak muda kita perlu kenal lebih daripada setakat P. Ramlee.



"Keistimewaan pelakon dahulu, yang membantu hidupkan watak Hang Kebun (Seniman Bujang Lapok) dan Jamal Pak Tongkol (Tiga Abdul) pun diingati."



Di Nusantara, ada beberapa usaha lain mengenang sumbangan bintang filem Melayu klasik harus dijadikan contoh menggembleng tenaga bagi proses mengarkib sejarah filem Melayu kita.



Encik Hidir Ali Razali, 37 tahun, misalnya, melancarkan buku Permata Seni Terbilang tentang riwayat hidup pelakon tampan Cucu Datuk Merah dan Gurindam Jiwa, Allahyarham Nordin Ahmad.



Beliau dan rakan-rakan Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik juga bekerjasama dengan Komuniti Rumah Kayu di Sungai Besar, Selangor, bagi membina Rumah Nordin Ahmad.



Rumah dua tingkat di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar di sekitar Sabak Bernam, Selangor, itu mirip rumah asal Nordin.



RUMAH NORDIN AHMAD JADI 'HOMESTAY'



Selain berfungsi seperti muzium kecil dengan koleksi foto Nordin dengan keluarga dan bintang gandingannya (termasuk Latifah Omar dan Roseyatimah), ia juga dipasarkan sebagai rumah penginapan 'homestay'.



Selama 20 tahun, beliau mengumpul maklumat hasil pembcaaan, rujukan di perpustakaan dan muzium.



"Saya juga telah ke Singapura bagi menemubual isteri arwah, Salmah Ibrahim, dan anak-anak mereka.



"Selain itu, maklumat terus diselidiki daripada abang seniman itu, Sidik Ahmad, di Pulau Pinang serta rakan-rakan artis yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Nordin," jelasnya kepada laman Kosmo!



Buku itu juga boleh dijadikan rujukan pelakon muda mempertingkat mutu lakonan mereka.



Saya juga tertarik dengan perhimpunan maya pengkritik filem Malaysia dan Indonesia dari serata dunia di laman Cinema Poetica.



FILEM JUGA PENGISI MINDA



Ia menandakan filem bukan setakat hiburan tetapi pengisi minda dalam memahami fenomena dunia.



Antaranya perbincangan tentang budaya filem Indonesia dan kesannya pada penonton Malaysia pada tahun 1970-an dan 1980-an, impak filem yang dipadankan daripada novel Indonesia, filem buat kelas pekerja dan matinya dunia filem Aceh.



Setiap yang mencintai filem klasik berperanan menghidupkan terus warisan seni kita termasuk pelajar yang mungkin boleh meneruskan penceritaan watak ikonik seperti Bujang Lapok dan Tiga Abdul dalam teater, cerpen, filem atau lagu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >