Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerpisahan teguhkan jalinan kasih sayang seisi keluarga
Keluarga seni Mahyonis Mahfudz dan Azman Shariff akhirnya bersatu kembali setelah dua tahun terpisah apabila sempadan negara dibuka
Perpisahan teguhkan jalinan kasih sayang seisi keluarga
SELAMA dua tahun, pelakon Mahyonis Mahfudz hanya dapat melihat perkembangan enam orang anaknya dari jauh.
Biarpun 'terkandas' di rumahnya di Johor Bahru (JB) sejak Malaysia menutup sempadan negara demi mengawal penularan Covid19 pada 8 Mac 2020, beliau sentiasa "hadirkan diri" menerusi panggilan bervisual atau kaedah FaceTime di setiap sesi memotong kek ketika anak-anak menyambut hari jadi atau sambutan istimewa di Singapura.
Apabila tiba sesi bergambar secara bekeluarga, wajah Mahyonis tetap disertakan dalam potret keluarga, biarpun wajahnya hanya muncul di skrin telefon.
Sang ibu mungkin tidak pernah terlepas mengikuti detik-detik istimewa keluarganya namun perasaannya tidak sama kerana beliau tidak dapat menyentuh dan mendakap mereka secara fizikal.
Dengan suami, pelakon Azman Shariff, panggilan telefon setiap hari menjadi pelepas rindu.
"Tak sama bercakap di telefon dengan jumpa berdepan. Rasa rindu tetap menebal biarpun setiap hari kami berhubungan di telefon.
"Rindu sangat nak peluk anak-anak, bercakap dengan mereka depan-depan," ujar beliau.
Mahyonis mengakui ada masa, beliau berasa cukup tertekan sehingga menangis sendirian memujuk hati.
Kerinduan itu bagaimana terlerai apabila Mahyonis akhirnya kembali dalam dakapan keluarga seminggu lalu.
"Alhamdulilllah. Selepas 714 hari, ibu kini bersama kami di Singapura," tulis anak keduanya, penggiat seni Anis Qurratu'aini Azman di Facebook pada 2 Mac lalu.
Anis pada pada November 2021 telah dilantik sebagai "Teman Warisan" oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) kerana dedikasinya terhadap kegiatan seni budaya Melayu di sini.
Biarpun berangkat dari JB, langkah Mahyonis ke Singapura melalui perjalananan yang panjang.
Setelah gagal mendapatkan tiket bas sejak Singapura dan Malaysia membuka laluan VTL darat biarpun sudah dicuba beberapa kali, Mahyonis akhirnya memilih terbang dari KLIA ke Lapangan Terbang Changi.
Beliau, yang mesra dengan panggilan "Yon" enggan menunggu lebih lama lagi kerana tidak mahu ketinggalan hadir dalam majlis pertunangan salah seorang anaknya.
"Perasaan bila pertama kali dapat jumpa Azman dan anak-anak di airport... nafas rasa seperti tersekat... sebak... rasa seperti mimpi... ye ke Yon di depan anak-anak dan Azman?" kata ibu yang memang lembut suaranya apabila bercakap.
Mahyonis, yang dilahirkan di Malaysia dan merupakan anak sulung pelakon veteran Ponisah Bachik, mempunyai rumah di JB sejak beberapa tahun lalu.
Beliau 'terkandas' di seberang apabila Malaysia menutup sempadannya.
Adiknya, Marsilah dan suami, pelakon Jasmi Ahmad Dali, juga mempunyai rumah di JB tetapi memilih untuk berada di Singapura sepanjang pandemik.
Sebelum ini, kali terakhir Mahyonis melihat suami dan anak-anaknya ialah pada 18 Mac 2020 - apabila keluarganya mengambil keputusan untuk berada di Singapura kerana urusan kerja dan sekolah.
Sebelum pandemik, mereka setiap hari berulang-alik antara Singapura dengan JB, tiga lagi orang anak yang menetap di Singapura bersama keluarga masing-masing.
Mahyonis mengambil keputusan menetap di JB kerana perlu menemani orang tuanya membuat pemeriksaan kesihatan di klinik di sana, selain mempunyai 15 ekor kucing (sebahagiannya milik Marsilah) yang harus dijaga.
"Masa tu, tak terfikir langsung bahawa sempadan akan ditutup begitu lama. Kami fikir... mungkin seminggu dua saja kami tak berjumpa.
"Tetapi minggu berganti bulan, bulan menjadi tahun... penantian seperti tiada penghujungnya. Padahal sebelum ini Yon tak pernah terpisah lama dengan Azman.
"Tak tergambar rasa rindu dan resah... tetapi Yon reda. Sekurang-kurangnya Yon dapat menemani mak dan ayah.
"Bayangkan kalau semua anak-anak mak balik Singapura... siapa nak jaga mereka kalau ada kecemasan?" kata Mahyonis.
Namun ada hikmah apabila Mahyonis terpaksa hidup berjauhan dengan suami dan keluarga tersayang.
Kalau sebelum ini beliau hanya menunggu Azman untuk bersiar ke mana-mana kerana tidak berani memandu kereta sendiri biarpun sudah mempunyai lesen memandu Malaysia, apabila hidup sendiri, beliau terpaksa memberanikan diri mengemudi kereta mereka.
"Baru-baru pandu kereta, Yon hanya berani keluar masuk kawasan perumahan. Bawa perlahan-lahan, ditemani ayah.
"Lama-lama, ayah galakkan agar Yon pandu ke jalan raya besar menuju ke pasar raya... secara pelan-pelan akhirnya jauh juga perjalanannya," cerita beliau.
Malah, beliau sudah memandu keretanya sampai ke Melaka!
Bagi Azman sendiri, kecuali menanggung rindu terhadap isteri tersayang, beliau tidak begitu terjejas kerana sentiasa bersama enam orang anaknya, yang lima daripadanya sudah bekerja.
Hanya seorang saja, si bongsu, yang masih bersekolah. Beliau juga sibuk memenuhi undangan berlakon pentas, radio dan projekprojek kesenian.
Azman, yang juga aktif menulis sajak dan kata-kata hikmah, sempat menerbitkan buku kumpulan madah berjudul Bukan Kerana Nama.
Buku 110 halaman itu mengandungi 100 kata-kata bermadah.
Merenung fasa berjauhan dengan isteri tersayang dalam tempoh yang lama, Azman menyifatkanya rasa rindu itu sebagai "peneguh kasih sayang."
"Rasanya, semakin saya dan anak-anak terpisah dengan Yon, semakin rapat hubungan kami kerana kami menghargai setiap masa bersama.
"Padahal sebelum pandemik dulu, kami sibuk terkejar-kejar dengan urusan masing-masing.
"Bila dah terpisah, kami berusaha untuk mencari masa berkumpul dan bersama-sama," kata Azman.
Mahyonis hanya akan berada di Singapura untuk selama dua minggu sebelum pulang ke JB kerana orang tuanya masih menanti di sana, bersama-sama seorang pembantu.
"Insya-Allah, Yon akan atur untuk bawa mak dan ayah kembali ke Singapura pada akhir Ramadan ini dan beraya di Singapura nanti.
"Mudah-mudahan keadaan akan menjadi lebih baik dan memudahkan perjalanan kami untuk pulang ke Singapura lagi," ujarnya.
"Masa tu, tak terfikir langsung bahawa sempadan akan ditutup begitu lama. Kami fikir... mungkin seminggu dua saja kami tak berjumpa.
Tetapi minggu berganti bulan, bulan menjadi tahun... penantian seperti tiada penghujungnya. Padahal sebelum ini Yon tak pernah terpisah lama dengan Azman.
Tak tergambar rasa rindu dan resah... tetapi Yon reda. Sekurang-kurangnya Yon dapat menemani mak dan ayah.
"Bayangkan kalau semua anak-anak mak balik Singapura... siapa nak jaga mereka kalau ada kecemasan?" - Pelakon Mahyonis Mahfudz, yang juga anak sulung pelakon veteran, Ponisah Bachik. Sepanjang tempoh terpisah itu, Mahyonis kembali mengasah kemahiran memandu di JB.