Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

S'PURA LONGGAR SEKATAN

Persembahan 'live' kembali rancakkan persada seni

Apr 03, 2022 | 05:30 AM



SEMARAK seni persembahan 'live' kembali berkumandang mulai Selasa lalu pada skala lebih besar setelah lebih dua tahun lamanya menyepi dek pandemik Covid-19.



Bagai pucuk dicita ulam mendatang, harapan pusat, badan, penganjur dan aktivis seni Singapura untuk meneruskan warna-warni persada hiburan tanah air menjadi nyata.



Ini menyusuli pengumuman pemerintah bahawa beberapa langkah pengurusan selamat (SMM) dalam sektor seni dan budaya dilonggarkan lagi dengan persembahan 'live' disambung semula di semua lokasi dan keadaan.



Turut kembali sepenuhnya adalah kegiatan seniman jalanan atau 'busker' dengan gerbang khidmat elektronik baru buat mereka mudah menempah lokasi dan masa persembahan disediakan di laman Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



Setiap 'busker' tidak lagi terbatas membuat persembahan di hanya lima lokasi khusus tetapi mempunyai akses tempahan di semua lokasi yang dibenarkan mengikut kaedah yang tempah dahulu didahulukan.



HARAP SOKONGAN MASYARAKAT



Mengulas detik penting kelonggaran sekatan ini buat sektor seni, Ketua Eksekutif NAC, Cik Rosa Daniel, berkata:



"Ini adalah langkah besar buat Singapura dalam perjalanan Covid-19 dan bagi sektor seni dan budaya dengan kesenian kembali lagi secara langsung pada skala sebegini.



"Kami berharap orang awam akan berkongsi kegembiraan kami dan menyokong masyarakat seni dengan membeli tiket, menghadiri persembahan 'live' atau dengan berkongsi berita baik mengenai acara yang diadakan.



"Kami akan bekerjasama dengan golongan seniman untuk membangun cara baru dan inovatif dalam menyampaikan dan mendekati masyarakat, sesuatu yang telah diteroka sepanjang dua tahun lalu serta mengekalkan sokongan yang diberi dalam membina inovasi dan kreativiti yang telah mencetus inspirasi dan membangkitkan semangat kita semua."



Langkah melonggarkan sekatan pada SMM ini dirasakan datang tepat pada masanya di kala beberapa pesta seni dan inisiatif memasyarakatkan seni giat dijalankan.



PEMULIHAN PROGRESIF PERSADA SENI



Ketika dihubungi Berita Minggu, Pengarah Lokasi Persembahan dan Perancangan, The Esplanade Co Ltd, Cik Rachelle Tan, berkata pusat seni Esplanade teruja dan tergalak dengan SMM yang diperhalusi bagi persembahan 'live' kerana ia merupakan langkah positif ke arah pemulihan progresif sektor seni.



"Dengan langkah baru ini, Esplanade dapat beroperasi pada kapasiti penuh bagi lokasi persembahan lebih kecil. Ini termasuk Studio Resital yang boleh menampung hingga 245 penonton dan Studio Teater yang boleh memuatkan 220 penonton.



"Bagi lokasi lebih besar pula, langkah baru ini membolehkan kami menambah kapasiti sehingga sekitar 1,200 penonton di Dewan Konsert dan sekitar 1,400 penonton di Teater Esplanade.



"Ia adalah tambahan yang banyak daripada jumlah maksimum 500 hingga 600 penonton bagi setiap lokasi dengan penjarakan selamat disisipkan.



"Ini juga bererti kami dapat menampung kapasiti penuh dan memuatkan sekitar 600 penonton apabila Teater Singtel Waterfront dibuka lewat tahun ini," kata Cik Tan.



Beliau juga menambah kapasiti tempat duduk dapat diperluas sepenuhnya bagi pesta dan siri program Esplanade seperti tayangan National Theatre Live, acara Beautiful Sunday, Coffee Morning & Afternoon Tea dan Mosaic Music Series.



RANCANGAN LIBAT ARTIS LUAR



Pihaknya juga sedang meneroka kemungkinan membawa artis antarabangsa bagi Pesta Raya --Festival Kesenian Melayu dengan keterangan lanjut bakal didedahkan pada penghujung bulan ini, bergantung pada ketetapan perjalanan di negara artis berkenaan.



Malahan baru-baru ini, dengan sempadan udara dibuka, artis legenda Malaysia, Datuk L. Ramli, dapat diterbangkan Esplanade ke sini untuk Malam Pop Yeh Yeh.



TARIK LEBIH RAMAI PENONTON



Badan tidak mengaut untung, Arts House Limited (AHL), yang menganjurkan Pesta Seni Antarabangsa Singapura (SIFA) dari 20 Mei hingga 5 Jun juga dapat membayangkan potensi besar seni pentas Singapura merentasi ruang biasa dan unik, dari Panggung Victoria ke Pulau Ubin hingga lokasi maya Life Profusion.



Menurut jurucakap AHL, kelonggaran SMM ini membolehkan acara Sifa seperti Bangsawan Gemala Malam yang dipentaskan Teater Ekamatra di Panggung Victoria dibuka pada kapasiti penuh.



Di sebalik kesulitan yang dibawa pandemik ini, pasukan AHL mendakap segala cabaran, menyesuaikan diri pada sekitaran yang sentiasa berubah dan kekal bingkas dalam meneruskan misi menjadi jambatan antara seni dan penonton.



"Pasukan SIFA khususnya berusaha mengubah idea baru menjadi realiti dengan mencipta semula program hibrid baru yang menyediakan platform bagi pengalaman seni baru.



"Kami berharap dapat melihat peningkatan dalam jualan tiket dengan kelonggaran SMM yang diperkenal ini dengan ramai orang kian teruja menyaksikan persembahan 'live'," ujar jurucakap AHL lagi.



JADUAL SENI KIAN PADAT



Sinar baru juga dapat dirasakan kumpulan seni yang tidak sabar menerima undangan membuat persembahan 'live' di acara Ramadan, sambutan Raya dan majlis persandingan.



Pengurus Nobat Kota Singa, Aameer Hassim, menjelaskan hampir 95 peratus pendapatan kumpulan muzik tradisional ini terjejas kerana semua persembahan di majlis persandingan dibatalkan sepanjang dua tahun pandemik melanda.



"Kami cuba mengusulkan kepada pelanggan kami agar menukar tempahan mereka kepada pakej melibatkan seorang deejay memutar lagu yang kami rakamkan sebelum ini.



"Tapi hanya dua pelanggan sahaja bersetuju. Kami sangat gembira dengan langkah mengembalikan persembahan 'live' kerana tiada yang dapat mengatasi rasa gembira bermain muzik dan menyanyi di hadapan penonton sambil menyaksikan reaksi gembira mereka.



"Setakat ini, kami sudah menerima beberapa pertanyaan untuk kami jayakan acara Hari Raya syarikat korporat," kata Aameer.



Penyanyi Nobat Kota Singa, Suryana Norddin, 30 tahun, macam tidak percaya apabila berpeluang menyanyi 'live' semula di acara kebudayaan dan majlis kahwin.



"Mula-mula saya masih ragu-ragu. Betul ke ni? Apabila lihat kumpulan irama tradisional lain seperti Sri Mahligai sudah mula terima tempahan melalui maklumat di Facebook, baru terasa seronok dan tak sabar nak kerja balik.



"Harapan saya agar bakat setempat dapat sambung semula kerja seni kita yang tergendala ketika Covid-19 menular.



"Saya ingin lihat persada seni kita kembali aktif seperti dahulu. Mungkin perlu buat penyesuaian sedikit demi sedikit untuk memenuhi cita rasa trend majlis kahwin masa kini.



"Boleh juga diusahakan acara hibrid (gabungan fizikal dan digital). Saya sudah lama rindukan peluang menajamkan kemahiran vokal menerusi persembahan 'live'.



"Alhamdulillah setelah menjayakan Pesta Gemadah - Festival Muzik Tradisional Melayu di Esplanade sebagai acara nak mulakan 'enjin' vokal semula, jadual kerja seni saya mula padat bulan ini.



"Ada rakaman runut bunyi bagi drama Ramadan, Marhaban Ya Ramadan dan ada rakaman Orkestika@Persada Budaya dan Gumbira Raya anjuran Wisma Geylang Serai (WGS).



"Sekitar Mei pula, sudah ada beberapa persembahan Raya bersama Nobat Kota Singa dan dalam perbincangan mengadakan persembahan ala konsert pada penghujung tahun nanti," tambahnya.



'BUSKER' PICIT BUTANG SET SEMULA



Muhammad Firdaus (Marsh), 35 tahun, yang melibatkan diri dalam pesta seniman jalanan, PSBuskers (untuk kumpul dana buat 'busker'yang terjejas kerana Covid-19) sempena Rumah Terbuka Akademi PSB di 5 Raffles Boulevard semalam, berkata:



"Selepas dua tahun, saya teruja kembali ke jalanan untuk membuat persembahan. Sedang kita meneruskan semula aktiviti 'busking', kita tidak boleh lupa bahawa kita perlu akur pada peraturan SMM dan mendakap norma baru.



"Pandemik Covid-19 telah menyebabkan gangguan pada kegiatan seni penggiat muzik. Pesta PSBuskers ini ibarat butang set semula buat kebanyakan seniman jalanan yang belum berpeluang membuat persembahan di jalanan bagi tempoh dua tahun ini.



"Ia merupakan satu wadah yang baik untuk kami bertemu teman lama dan mengenali yang baru pula sedang kami menyerapkan diri kami mengikut tempo irama 'busking' sekali lagi."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >