Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Podcast imbas pahit manis jayakan drama 90-an, ‘Melrose Place’

Nov 19, 2024 | 6:33 PM
‘Still The Place’ adalah podcast yang mengimbas semula drama terkenal 1990-an tentang kehidupan anak muda di sebuah apartmen, Melrose Place. Tiga pengacara podcast itu, (dari kiri) Daphne Zuniga, Laura Leighton dan Courtney Thorne-Smith, merupakan pelakon utama drama tersebut.
‘Still The Place’ adalah podcast yang mengimbas semula drama terkenal 1990-an tentang kehidupan anak muda di sebuah apartmen, Melrose Place. Tiga pengacara podcast itu, (dari kiri) Daphne Zuniga, Laura Leighton dan Courtney Thorne-Smith, merupakan pelakon utama drama tersebut. - Foto INSTAGRAM STILL THE PLACE

Bagaimanakah perasaan dua pelakon kalau perlu membawa watak sepasang kekasih sedangkan di alam nyata, mereka sudah tidak lagi bercinta?

Apakah pula reaksi seorang pejuang hak wanita apabila melihat beberapa pelakon wanita dalam sesebuah drama itu diperlekeh hanya kerana jantina mereka?

Itulah antara topik yang menjadi perbincangan dalam siri podcast yang menyingkap kegemilangan drama sosial yang terkenal pada era 1990-an, Melrose Place.

Siri podcast yang dimuatnaikkan ke wadah penstriman Spotify setiap Isnin sejak Julai lalu itu berjudul, Still The Place.

Pengacara podcast berkenaan adalah pelakon drama itu, Daphne Zuniga, 62 tahun; Courtney Thorne-Smith, 57 tahun; dan Laura Leighton, 56 tahun.

Menurut Thorne-Smith dalam episod pertama podcast berkenaan, beliau terpanggil untuk mengimbas semula kenangan pahit manis menjayakan Melrose Place sekitar 32 tahun lalu.

Beliau mendapat panggilan seorang teman yang mengusahakan podcast di saluran iheart Radio.

“Saya anggap ini peluang keemasan mengingati semula kenangan kami di Melrose Place.

“Saya hubungi Daphne dan Laura dan kami bertiga sepakat mengacarakan program ini bersama termasuk kenangan saya jatuh cinta dengan pelakon, Andrew Shue, sewaktu kami jalani sesi uji bakat.

“Ia antara kenangan manis walaupun hubungan cinta kami terhenti sebelum masuk ke musim kedua drama ini.

“Kami kekal sebagai sahabat baik kini. Saya harus mengucapkan terima kasih kepada Andrew kerana beliau membantu saya mengharungi tempoh sukar dan tertekan sewaktu ‘dicampak’ ke dalam dunia glamor drama seperti ini.

“Cuma agak pelik apabila watak kami, Billy dan Allison, mula bercinta dalam drama ini.

“Pada masa itu, kami sudah pun putus untuk bawa haluan masing-masing,” ujar Thorne-Smith, yang kini sudah berumah tangga dengan Naib Presiden Pemasaran Zizo Group, Roger Fishman, dan mempunyai seorang anak remaja.

Menurut laman Deadline, Still The Place mengundang barisan pelakon lain drama tersebut untuk membincangkan pengalaman mereka.

Podcast ini diperkenalkan sebagai satu lagi usaha mengembalikan kenangan ramai terhadap drama kegemaran ramai yang akan dikembalikan CBS Studios dengan Leighton, Zuniga dan Heather Locklear antara pelakon lama drama itu yang akan menjayakannya.

Naskhah drama baru itu ditulis Lauren Gussis, penerbit eksekutif drama Netflix, Insatiable.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg