TIADA apa yang disesali penyanyi lagu tular Tak Tun Tuang, Upiak Isil, apabila langkahnya dalam rancangan Gegar Vaganza 8 (GV8) terhenti pada konsert minggu keenam kelmarin.

Upiak, 36 tahun, yang baru menyambut ulang tahunnya Jumaat lalu, dan merupakan penyanyi kelahiran Bukittinggi, Indonesia, terima dengan reda rezekinya dalam program realiti itu setakat di sini sahaja.

"Saya sudah memberi yang semaksimum mampu. Tempoh hari saya sudah minta ibu saya mendoakan saya. Jadi kalau penampilan saya setakat sampai minggu keenam, saya terima sahaja. Allah lebih mengetahui.

"Saya takkan putus asa. Sebab selepas ini, ada beberapa projek di Indonesia yang menanti saya," jelasnya dalam sidang akhbar selepas tamatnya konsert minggu keenam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kelmarin.

Upiak bergandingan dengan Naib Juara Big Stage 3, Usop, 24 tahun, dalam lagu Misha Omar dengan Andy Flop Poppy, Sembunyi.

Beliau mendapat markah terendah iaitu 56.3 peratus malah kalah tipis dengan Bandi Amuk yang mendapat markah 56.4 peratus.

Menurut Datuk Ramli MS, selaku ketua juri, peserta dengan markah terendah iaitu Upiak terpaksa disingkirkan, tanpa mengira jarak markahnya dengan peserta di atasnya.

Ini sudah diputuskan panel juri sebulat suara, melihat pada beberapa kesilapan Upiak yang konsisten sejak minggu-minggu sudah.

"Dalam pusingan duet ini, didapati Upiak dengan Usop tiada keserasian. Upiak sendiri goyang dalam hal notasi.

"Elemen utama yang kami tekankan dalam pusingan duet adalah keserasian dan kerjasama dalam persembahan serta kreativiti dalam lagu.

"Peserta diperuntukkan markah 80 peratus manakala penyanyi undangan 20 peratus," jelas Ramli.

Dalam pada itu, Upiak berkata GV8 banyak memberinya peluang menimba ilmu baru dan menebar rangkaian kenalan.

Beliau rapat dengan Datuk Fazley Yaakob yang tersingkir sebelum ini serta dua lagi peserta yang masih berjuang, Bandi Amuk dan Suki Low.

"Ada beberapa projek filem yang tertunda... tiga kesemuanya yang ingin dibereskan di Indonesia. Saya juga mencipta lagu buat bakat baru di sana. Semua ini ingin saya bereskan sepulangnya ke Indonesia. Rezeki tetap ada," katanya.