Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sejuk hati bincang isu akhir hayat dalam 'Kata-Kata Kita'

Inisiatif seni perkenal program anekaragam bagi masyarakat Melayu dekati topik hidup sejahtera demi mati sempurna
Nov 05, 2021 | 05:30 AM



Berat untuk diluahkan, berat lagi untuk dibincangkan secara terbuka. Begitulah situasinya tatkala membuka topik perbincangan tentang penghujung hayat dan kesejahteraan hidup sebelum kematian. Namun, ada cara untuk masyarakat Melayu/Islam lebih selesa mengupas isu akhir hayat ini melalui cara lebih santai dalam rancangan anekaragam Kata-Kata Kita yang disajikan projek Both Sides, Now: Mengukir Harapan. BERITA HARIAN melaporkan.




BEBERAPA tahun lalu, tatkala aktivis teater Moli Mohter belum bertemu jodoh tetapi sudah menetap di flat sendiri kerana usianya telah melepasi 35 tahun, beberapa soalan akhir hayat muncul di fikiran.



Moli, kini berusia 40-an tahun, mula terfikir apa akan jadi jika beliau kelak meniti usia senja dan ditemui meninggal seorang diri di rumah itu.



Walau awalnya janggal membuka perbincangan tentang isu akhir hayat, beliau meminta rakan karibnya menutup akaun media sosialnya seandainya perkara yang dikhuatiri itu berlaku. Moli juga memikirkan keperluan membeli insuran dan pastikan sesiapa yang menjaganya akan diberi elaun insuran bulanan.



Soalan akhir hayat, persiapan hidup dan cara menjalaninya penuh sejahtera sebelum kematian yang pasti datang dianggapnya penting untuk dikupas bersama anggota keluarga demi mengelakkan kesulitan atau perbalahan adik-beradik tercetus kelak.



MATI DALAM KEADAAN BAIK



Isu akhir hayat ini menjadi lebih genting untuk diteroka empat tahun lalu dengan Moli terlibat sebagai pelakon dan kini peneraju bersama projek seni mendekati masyarakat Both Sides, Now, yang meninjau pengertian hidup sejahtera dan mati dalam keadaan baik.



Lebih-lebih lagi apabila Moli bertemu beberapa warga emas Melayu yang canggung berbual tentang isu akhir hayat dan mempunyai takrifan berbeza mengenainya.



Menurutnya, kalau sebut tentang kematian, orang Melayu biasanya tertumpu pada kehidupan sesudah mati di alam barzakh dan bukan perihal semasa hidup seperti rawatan paliatif (mengurangkan gejala penyakit meski tidak memulihkan), pergantungan pada mesin sokongan hidup apabila tenat dan keperincian pembahagian harta.



Lantaran itu, Moli bersyukur kerana dapat mengusahakan edisi baru Both Sides, Now bersama seorang lagi karyawan pentas, Adib Kosnan, 36 tahun, yang disasarkan pada masyarakat Melayu dan dipanggil Mengukir Harapan.



Mengukir Harapan melambangkan hasrat penggerak bersama Both Sides, Now iaitu Drama Box dan ArtsWok Collaborative untuk mewujudkan ruang selamat mengikut konteks budaya bagi masyarakat Melayu.



Edisi kali ini disokong oleh Dana Kesihatan Masyarakat Tote Board.



Menerusi program ini, masyarakat Melayu boleh berkongsi aspirasi, harapan dan cabaran bukan sahaja tentang kematian tetapi perjalanan menuju ke arahnya.



Semua ini adalah hasil proses kajian yang mengambil masa setahun setengah termasuk bekerjasama dengan sepasukan pengkaji bagi mewawancara dan mengendalikan bengkel mendekati masyarakat Melayu/Islam dari pelbagai lapisan usia.



Hasil kajian itu, sebuah program anekaragam dwibahasa (Melayu dan Inggeris), Kata-Kata Kita dipersembahkan mulai hari ini hingga lusa di Pusat Seni Aliwal (bersama penonton lengkap divaksin) dan dalam talian secara percuma antara 7.30 malam hingga 10 malam.



Ada nyanyian lagu simbolik tentang akhir hayat oleh Khairul Afwan, sketsa oleh Gloria Tan dan Hatta Said, segmen Radio Dukacita kendalian DJ Big, sandiwara Sukar (Melepaskan) sekitar hidup tiga beradik yang kematian ibu dan perbincangan panel.



PASUKAN KAJIAN



Pasukan kajian bagi usaha kemasyarakatan ini pula terdiri daripada Felow Kajian Kanan di Pusat Kajian Penuaan dan Pendidikan (CARE) di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Dr Ad Maulod; pengkaji bersekutu CARE, Cik Siti Hazirah Mohamad; dan pengarah pusat runding cara dan latihan Age Matters Consultancy and Training, Cik Normala Manap.



Ketika dihubungi menerusi Zoom, Adib yang terlibat dalam projek Both Sides, Now sebagai artis dan penterjemah sejak ia dimulakan pada 2013, berkata:



"Sebelum pandemik melanda, kami berkunjung ke kawasan kejiranan seperti Telok Blangah dan Chong Pang lantas mendapati bahawa isu akhir hayat tidak selalu diketengahkan dan tidak mudah untuk dijadikan topik perbincangan.



"Kalau si anak memulakan topik ini, ibu bapa mereka tersinggung dan bertanya, 'Kau nak aku cepat-cepat mati ke?'"



Moli pula menambah:



"Kalau anak-anak tiba-tiba berbual tentang kematian, ada ibu bapa panik dan sangka si anak pula ingin bunuh diri."



Menurut Moli jika edisi Both Sides, Now dahulu membincangkan isu akhir hayat secara umum (tidak mengikut keperluan sesuatu kaum) dan lebih menarik penduduk Cina menerusi paparan keranda dan gambar orang tersayang yang dilekapkan pada tuala yang digantung pada upacara pengurusan mayat kaum Cina, ia sesuatu yang payah dikaitkan dengan penduduk Melayu.



Maka, tahun ini, tumpuan diberi lebih pada masyarakat Melayu/Islam menghadam isu akhir hayat sehingga terbuka hati dan minda untuk fikirkan tentang manfaatnya menerusi konsep program anekaragam yang santai tetapi tidak sampai memperlekeh kematian.



"Kita sering dengar konflik keluarga tentang pembahagian harta dan bebanan yang datang buat anggota keluarga yang tinggal selepas kematian orang tua.



"Misalnya, mengapa seseorang yang menjaga ibunya tidak mendapat peruntukan harta yang sebaliknya diberi kepada abangnya yang mengunjungi si ibu hanya setahun sekali pada Hari Raya? Atau perihal anggota keluarga bertelingkah sebab nak mandikan jenazah di rumah siapa.



"Keluarga jadi pecah-belah sebab sebelum ini isu akhir hayat disimpan dalam hati dan tidak diluahkan secara terbuka," kata Moli.



Justeru, Adib merasakan konsep santai Kata-Kata Kita dapat membuka ruang interaksi yang sihat walaupun sebilangan besar penonton akan menyaksikannya dalam talian kerana langkah keselamatan Covid-19.



"Sejak September, kita sudah mula mengumpulkan surat daripada orang ramai mengenai apa yang mereka sebenarnya ingin sampaikan kepada orang yang disayangi dan telah meninggal tetapi tak kesampaian.



"Justeru, kita akan ada segmen seperti program radio kendalian DJ Big yang akan membacakan surat yang merentap tangkai hati," jelas Adib.



Mengulas sketsa Pantang Dos and Don'ts pula, Moli menambah:



"Gloria dan Hatta akan bersembang tentang senario ketika individu melawat jenazah seperti ucapan takziah yang tidak wajar, pakaian yang digunakan ketika berziarah dan perkara terlarang sewaktu mengunjungi jenazah."



Dalam pada itu, sandiwara tiga episod Sukar (Melepaskan) yang dijayakan Dalifah Shahril, Farez Najid, Izzul Irfan dan R Chandran pula meneroka isu penjagaan orang sakit, wasiat, hukum faraid, kesedihan sesudah kematian dan penyakit terminal.



Tahun depan, Mengukir Harapan akan mendekati masyarakat di Bedok melalui sesi sembang dan bengkel seni.



Lungsuri laman www.bothsidesnow.sg untuk menyaksikan Kata-Kata Kita mulai 7.30 malam ini, esok dan lusa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >