Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Selagi Bernafas' gabung suara emas Ryzall, Azmir

Dua bakat SG kongsi kisah rakam OST 'Dilema Dania' sambil jadi suku kaum Borneo
Dec 18, 2021 | 05:30 AM



DI tengah bahang cuaca yang menyelubungi hutan Sarimbun, pelakon dan penyanyi Ryzall Noh dan Syed Azmir secara kebetulan boleh terfikirkan idea yang sama untuk diusulkan kepada penerbit eksekutif drama Dilema Dania, Safiyuddin Razif.



Kedua-duanya yang begitu teruja datang ke set penggambaran drama tersebut untuk 'bertukar kulit' sebagai suku kaum Rimbun yang kononnya berasal dari Borneo ingin sekali menyumbang kreativiti bagi merakam runut bunyi (OST) drama ini.



Usulan Ryzall, 40 tahun, dan Azmir, 37 tahun, bagi menghasilkan OST bertajuk Selagi Bernafas diterima baik Safiyuddin dan rakan penerbitnya, Nusaibah Abdul Rahim, daripada syarikat penerbitan Poetry In Motion.



Maka, lagu yang penuh bermakna dan merumuskan pengertian meraih peluang kedua untuk hidup semula dan bahagia sejajar dengan pergolakan hidup watak Dania dalam drama tersebut dijana hasil ciptaan komposer bukan calang-calang, Ashidy Ridwan dan Hyrie Ridwan.



Ashidy, Hyrie, Azmir dan Ryzall secara bersama menghasilkan liriknya.



Ikuti wawancara Berita Harian melalui Zoom dengan Ryzall, Azmir, Safiyuddin dan Ashidy.



Soalan (S): Bagaimana tercetusnya idea bagi 'Selagi Bernafas'?



Ryzall: Saya memang suka menyakat. Maka sewaktu sibuk bekerja sebagai suku kaum Rimbun, saya dengan selambanya tanya kepada Din (Safiyuddin) dan Ibah (Nusaibah), dah ada OST ke belum buat Dilema Dania?



Memandangkan Azmir dan saya berlakon dalam drama ini, mengapa tidak kami berduet dan bikin OST dengan bantuan rakan kami, Ashidy? Tak sangka Azmir pun usulkan idea yang sama secara berasingan.



Azmir: Sejak saya kembali menyanyi, apa sahaja 'single' yang terhasil merupakan kerjasama dengan Ashidy. Beliau memahami saya dan akan membawa kerja seni itu kepada tahap yang berbeza.



Otak Ashidy memang cepat tangkap dan laju berfikir. Saya hanya perlu menceritakan dengannya segala inti drama ini serta emosi yang bergolak dalam watak utamanya, Dania.



Saya tekankan tema 'peluang kedua' kepadanya. Yang peliknya, Ashidy belum tonton drama ini. Tapi beliau dapat menghayati jalan cerita yang ingin diterapkan dalam Selagi Bernafas.



Saya benar-benar tabik dengan Ashidy dan Hyrie sebab mereka ni 'genius'.



Ashidy: Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan Ryzall dan Azmir yang memang 'best' apabila digandingkan.



Mendengar daripada mereka mengenai jalan cerita drama ini memberi saya dan Hyrie inspirasi untuk bikin melodi, bayangkan dilema wataknya dan sekali gus corak tonasi lagu ini mengikut plot yang diberi.



Terima kasih juga kepada Din dan Ibah kerana memberi ruang kreatif buat kami teroka dan sentiasa rajin memberi maklum balas dan garis panduan. Ia menjadikan tugas kami lebih lancar.



Safiyuddin: Sebenarnya, saya terharu kerana dapat pelakon proaktif seperti Ryzall dan Azmir.



Terus terang sebagai penerbit eksekutif dan penolong pengarah Dilema Dania, terlalu banyak bersarang di fikiran sehinggakan tiada masa fikirkan tentang OST pada masa itu.



Apabila Ryzall dan Azmir datang dengan idea ini, ia bak pucuk dicita, ulam mendatang.



Dalam hutan yang panas terik jugalah kami duduk berbincang dalam keadaan berpeluh-peluh. Ryzall dan Azmir pula masih dalam kostum puak Rimbun.



Saya dapat rasakan keikhlasan mereka dan keinginan mereka terlibat lebih daripada setakat berlakon.



Beruntung rasanya apabila mereka menyampaikan apa yang saya dan Ibah inginkan dalam OST.



Apabila mereka perkenalkan Ashidy dengan kami, OST itu dipertingkatkan pada satu tahap lagi dengan kemahiran yang beliau miliki.



Jadi segalanya ibarat kedai satu perhentian. Semua ada di situ.



S: Apakah Ryzall dan Azmir pernah terlibat dalam nyanyian OST lain? Apakah takrifan anda berdua tentang 'Selagi Bernafas'?



Ryzall: Sebelum ini, saya pernah menyanyikan OST drama SOS dan Misteri Jam 12.



Selagi Bernafas pula bagi saya memberi gambaran tentang seseorang yang tidak pernah berhenti berharap dan memperjuangkan hidupnya selagi bernafas dan walau bagaimana banyak dugaan dan cabaran dalam hidupnya.



Seperti dilema yang dihadapi Dania, pendengar juga berdepan dengan dilema nak dengar suara saya atau Azmir. Inilah unsur interaktif yang kami mahukan dalam OST.



Ia gandingan luar biasa sebab saya dikenali dengan irama rok, manakala Azmir pula dengan lagu R&B dan 'soul'.



Jadi mungkin makcik lagi suka dengar suara saya, manakala budak muda terpaut pada suara Azmir.



Azmir: Selagi Bernafas bagaikan memberi gambaran tentang kehidupan saya yang dahagakan peluang kedua.



Sewaktu saya di Jogjakarta di Indonesia, saya bertarung dengan nyawa apabila gempa bumi berlaku di situ. Saya berkahwin dan bercerai.



Saya melalui kerjaya sebagai penyanyi, jurulatih bola dan kemudian kembali menyanyi.



Secara keseluruhannya, lagu ini memberi harapan pasti ada peluang kedua selagi kita sedaya upaya gigih berusaha dan berdoa untuk berjaya.



Lagu ini menggandingkan dua penyanyi yang orang tak sangka akan berkolaborasi iaitu Ryzall dan saya. Ia pelik tetapi benar.



Sebelum ini, dua lagu saya dihasilkan sebagai OST filem di Kuala Lumpur, Kayangan, yang dijayakan Fazura dan Teuku Zacky Anwar.



Saya juga menyanyikan OST drama Singapura, Putri Omera dan Kopi Bujang.



Baru-baru ini, drama Korban juga menggunakan lagu saya yang sedia ada. Selagi Bernafas bagaimanapun saya anggap sebagai proses kreatif yang menguji minda kerana ia dihasilkan khusus buat drama ini.



S: Apakah kenangan manis menjadi puak Rimbun?



Ryzall: Ia adalah satu projek terbaik 2021 bagi saya secara peribadi. Pada ketika ditawarkan peranan itu, saya simpan rambut 'gondrong' dan berjambang. Memang kenalah watak itu dengan penampilan saya.



Saya juga teruja dapat bekerjasama dengan pengarah prolifik, Abang Faisal Ishak.



Dialog dalam bahasa Borneo sangat mencabar. Tak pernah juga berlakon dalam keadaan tidak berbaju sepanjang masa.



Namun, selebihnya seronok dapat ke rumah panjang puak Rimbun yang dibina sendiri. Saya dapat buat ramai kawan baru. Yang paling kelakar Abang Yusoff Maruwi.



Azmir: Ketika tawaran bagi Dilema Dania dibuat, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama Krono.



Sesibuk mana pun saya, saya akan luangkan masa buat Din dan Ibah sebab saya senang kerja dengan mereka yang buat kami rasa dihargai.



Apabila jadual dapat diatur, saya diberitahu pula tentang peranan sebagai suku kaum Rimbun yang memerlukan saya hafal dialog bahasa Borneo yang panjang berjela.



Memang kalau bersama Abang Faisal, saya takkan pernah jadi diri sendiri. Pasti ada keunikan tentang watak saya. Saya sahut cabaran bekerja dalam hutan sampai 2 atau 3 pagi.



Dalam keadaan berkaki ayam dan di atas tanah yang ada macam-macam serangga, saya perlu angkat pelakon Shenty Feliziana sebanyak tiga kali sampaikan dah tak terlarat!



Ada juga pengalaman mengerikan di mana ada sesuatu yang ikut menjerit di tengah dinihari selepas babak Shenty menjerit. Entah dari mana suara itu datang.



Namun, segalanya berjalan lancar. Bagi saya, ia tak terasa seperti kerja sebab saya sentiasa nantikan masa datang ke set bertemu pelakon dan kru yang sudah menjadi seperti keluarga besar saya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >