Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bakat SG 5-dalam-1

Semangat suka eksperimen warnai kerjaya seni pendidik

Di dalam era di mana berbilang bakat diperlukan untuk kekal relevan dalam persada seni, dua bakat Singapura berikut mempelbagaikan kemahiran mereka dan menebarkan rangkaian kenalan. Mereka bahkan boleh disifatkan sebagai penggiat seni 5-dalam-1 yang sentiasa gigih mencari ruang berkarya termasuk dalam program realiti 'Berani Nyanyi?' BERITA HARIAN melaporkan kisah kededuanya yang akan tampil sebagai peserta peringkat separuh akhir 'Berani Nyanyi?' di Suria malam ini.
Mar 08, 2022 | 05:30 AM



DALAM setiap kerja seni yang dihasilkan, seniman berbilang disiplin Rizman Putra akan terapkan keinginannya mengkaji, membayangkan dan ingin tahu lebih tentang masa depan seni Nusantara pada tempoh mendatang.



Rizman, 42 tahun, akur dirinya sentiasa dalam zon sendiri ketika berkarya, baik berlakon, mengarah, menghibur, melukis mahupun menyanyi.



Itulah yang membuatkan personalitinya begitu menyerlah dan mencuit hati penonton sejurus sahaja naik ke pentas, bagaikan beliau diresap dengan jiwa orang lain.



Malam ini, Rizman adalah antara peserta separuh akhir peraduan realiti Suria, Berani Nyanyi?, di mana beliau diuji mendendangkan bermacam genre lagu.



Jika dua minggu lalu, beliau dendangkan lagu klasik kumpulan Blues Gang, Apo Nak Dikato, pasti ramai tertanya-tanya apa sajiannya malam ini.



"Sebenarnya, apabila pihak Dua M selaku penerbit mendekati saya, saya sedang sibuk dengan pertunjukan Minggu Seni Singapura.



"Mereka beri saya jaminan rancangan ini tidak menimbulkan tekanan. Masuk dan nyanyi.



"Sudah menjadi rezeki saya. Saya terus masuk dalam kesibukan, tak fikir apa-apa dan sampai peringkat separuh akhir.



"Apo Nak Dikato saya anggap 'lagu dapur' sebab semasa saya tidur di rumah nenek, di dapur ada radio. Lagu ini antara yang selalu berkumandang dan mengembalikan nostalgia saya membesar.



"Saya hanya minta Dua M sediakan baju emas buat saya. Dapat baju emas, terus kita langsung 'Let's Go'," ujarnya yang merupakan lulusan Diploma Seni Lukis dari Maktab Seni Lasalle.



Selain pentingkan penceritaan naratif untuk disampaikan dalam lagu, Rizman memberi lebih perhatian pada kostum dalam setiap persembahan.



"Saya dari kecil memang selamba dan suka lompat-lompat. Kalau ada kostum khas, saya boleh berubah menjadi watak yang kena dengan kostum tersebut.



"Pakai sahaja kostum, saya terus tukar perwatakan di pentas sampaikan saya boleh lupa siapa diri Rizman yang sebenar. Ini saya atau bukan?



"Dalam saya menyanyi tu, saya tak perlu risau apa-apa untuk nyanyi secara sempurna sebab saya bukan Anuar Zain. Saya Rizman. Saya berlakon sebagai penyanyi bukan kerana saya pandai atau bagus menyanyi," jelasnya.



Dalam Berani Nyanyi?, Fir Rahman dan Cassandra Spykerman adalah saingan sengitnya.



"Fir tu malu-malu tetapi dia memang boleh menyanyi dan pandai menyanyi. Dah ada pakej. Kalau jadi penyanyi, mesti boleh laku dan pergi jauh.



"Cassandra semula jadi miliki suara penyanyi. Walau bukan Melayu, nalurinya Melayu. Bagi saya, rancangan ini memang kreatif dan menarik.



"Diharapkan penonton terbuka menerimanya. Sedap tak sedap, tak mengapa. Kespontanan peserta menjadi perkara yang harus mereka tunggu-tunggu setiap minggu," tambahnya.



Bagi Rizman, kepelbagaian bidang seni yang diterokanya dari mengarah teater, berlakon, melukis, menyanyi dan mengajar drama merupakan sesuatu yang membuatnya sentiasa gigih berkarya.



"Saya selalu teruja bikin projek baru dan memang tak tahu duduk diam. Selepas tamat pengajian diploma lukisan, saya selalu bersembang dengan budak-budak Teater Ekamatra.



"Saya dapati teater menarik dan ingin mencuba. Kerana saya spontan dan hiperaktif, saya ingat cuba sahajalah. Kalau tak berjaya, tak mengapa. Yang penting semangat ada. Kalau gagal, kita move on sahaja pada benda baru," ujarnya.



Buat masa ini, beliau sibuk mempersiapkan diri membawa watak Rabu, lelaki yang 'eksyen bagus' tetapi sebenarnya tidak bagus, dalam bangsawan Gemala Malam.



Bangsawan Teater Ekamatra yang akan dipersembahkan sempena Pesta Seni Antarabangsa Singapura (Sifa) dipadankan daripada naskhah William Shakespeare, A Midsummer Night's Dream.



Bangsawan arahan Alin Mosbit itu akan dipentaskan di Panggung Victoria antara 2 dengan 4 Jun ini dengan ideanya dijana oleh pengarah artistik Teater Ekamatra, Mohd Fared Jainal.



"Banyak cabaran menjayakan bangsawan ini. Ada banyak adegan menari dan menyanyi dengan dialog yang panjang berjela," katanya yang selesa dengan watak antagonis yang dapat memapar warna wataknya.



Pada September pula, beliau mengarah pementasan teater kelakar seram, Make Hantus Great Again, yang dijayakan pempengaruh sosial, Hafidz Rahman dan Farah Lola.



Ia berdasarkan naskhah tulisan penulis buku cereka Suffian Hakim.



"Ceritanya adalah mengenai hantu yang membuat pilihan raya untuk pilih siapa dalam kalangan mereka layak jadi Presiden.



"Sekarang adalah era di mana pempengaruh sosial mencuba pelbagai cabang lain termasuk teater. Saya tiada masalah dengan Hafidz dan Farah Lola berlakon sebab mereka memang pandai berlakon dengan penuh penjiwaan dan melucukan.



"Kejujuran dan keikhlasan serta komitmen mereka sangat penting. Ini satu cara mereka juga boleh menarik pengikut mereka untuk selami dunia teater bersama," jelas Rizman yang pernah ke New York bersama kolektif muziknya NADA bagi memperkenalkan lagu Melayu menerusi program jelajah seni golongan kreatif, Inside Out.



Sebagai pendidik seni dan guru drama di Sekolah Tinggi Chung Cheng, impiannya melihat lebih ramai generasi muda memasyarakatkan seni.



"Saya akur pandemik ini membawa cabaran buat anak muda berseni. Rimas nak pakai pelitup setiap masa dalam latihan lakonan dan perhatikan jarak selamat sampaikan saya sudah tidak mengenali mereka sebab cuma nampak mata sahaja.



"Tapi saya harap kerja seni akan terus berjalan. Sudah tersedia bermacam ruang seni. Keadaannya lebih meriah kini," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >