PADA malam separuh akhir Gegar Vaganza 8 (Ahad, 16 Januari), segala kekecewaan peminat penyanyi rok Aweera mampu ditebus apabila bintang itu mendapat tempat pertama buat julung-julung kalinya.
Berbekal dua lagu Amy Search, Kerja Gila dan Fantasia Bulan Madu yang cukup ikonik, Aweera, 30 tahun, yang mula mencipta nama dalam bidang seni suara sebagai pemenang tempat ketiga peraduan realiti One In A Million (Musim Ketiga), meraih markah tertinggi, 81.3 peratus.
Beliau sempat menyanyi sepentas dengan penyanyi asal lagu tersebut, Amy dan juga juri Hetty Koes Endang selepas tamat persembahan yang bertenaganya itu.
Kata warganet di Twitter, Mat Malaypak: "Aweera adalah Amy Search generasi masa kini manakala Amy Search adalah Steven Tyler Malaysia. Ini adalah persembahan terbaik Aweera di dalam peraduan tetapi tidak cukup untuk mendapatkan markah yang serba sempurna. Aweera perlu lebih keyakinan diri bahawa beliau adalah bintang."
Nurinsabrinax pula menambah: "Tahniah Aweera dan terima kasih. Persembahan malam ini membuatkan saya lagi sedih memikirkan selepas ini kita tidak dapat lagi melihat anda setiap minggu. Tetapi saya sangat gembira untuk Aweera. Lihat tu...Aweera kelihatan sangat gembira."
Di tangga kedua adalah Nikki Palikat, 36 tahun, yang mendapat markah 76 peratus hasil dendangan lagu Ziana Zain, Puncak Kasih dan Jaclyn Victor, Ikut Rentakku.
Walaupun beberapa hari lalu Nikki dimasukkan ke hospital kerana terlalu penat sehingga perlu membatalkan persembahan yang sepatutnya dibuat pada malamnya, vokalnya kekal bertenaga seperti awal peraduan.
Dalam satu perkongsian Instagram, Nikki yang pernah menyertai Malaysian Idol bersama Jaclyn, berkata: “Persediaan pada minggu ini bukan seperti yang saya bayangkan tetapi cuba juga lakukan terbaik walaupun getir.
“Pinjam pen daripada jururawat dan terbalikkan resit lama untuk menulis lirik lagu persembahan. Marilah kita hayati lirik lagu ikonik ini. Sambil terlantar (di hospital), saya cuba hafal lirik dan bukan perkara yang mudah. Selalunya saya hafal lirik sambil makan buah longan atau basuh pinggan.
“Kali ini saya cuba berehat sebanyak mungkin tanpa cuba ‘memaksa’ diri untuk cepat sembuh. Itu menjadi tekanan sebenarnya dan itu yang paling termampu untuk saya lakukan ketika ini."
Tempat ketiga jatuh kepada penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz, 30 tahun, yang mendapat markah 72.2 peratus. Beliau mendendangkan lagu terkenal Sam Smith, Lay Me Down dan juga lagu juara Singapore Idol (Musim Pertama), Taufik Batisah, iaitu Sesuatu Janji.
Tiga juri tetap, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang, berpuas hati dengan penyampaian lagu pertama tetapi menganggap peralihan pada lagu kedua tidak seharusnya dikekalkan pada nada yang sama di mana Aliff harus bijak mempelbagaikan warna suaranya yang sebenarnya lunak.
Tempat keempat jatuh pada Azan Scan dengan 69.7 peratus disusuli dengan Adibah Noor di tangga kelima dengan 65.2 peratus dan Suki Low di tangga keenam dengan 64.8 peratus.
Dua peserta lain, Ani Maiyuni yang meraih 61 peratus dan Shidee dengan 58.3 peratus pula terkandas di peringkat separuh akhir.
Tanda tanya mengapa Ani, 43 tahun, yang menghiburkan dengan lagu Aina Abdul, Sumpah, serta lagu Jennifer Lopez, Let's Get Loud, tersingkir mula membahangkan wadah Twitter.
Boogeyguy menulis: "Agak terkejulah Ani Maiyuni tersingkir. Persembahannya malam ini jauh lebih baik daripada Kak Adibah. Mungkin pengadil tengok konsistensi keseluruhan peraduan dari minggu pertama."
Eb pula menambah: "Apa? Ani Maiyuni tak lepas ke 'final'? Ini gila ni...Persembahannya malam ini lebih baik daripada beberapa orang yang dipilih ke enam tangga teratas."
Saingan kian sengit pada peringkat akhir yang berlangsung pada 23 Januari ini.
Setiap daripada enam finalis dicabar dengan lagu solo dan duet serta pusingan 'battle'.
Aweera akan mendendangkan lagu Beggin' (The Four Seasons) dan berduet bersama naib juara GV4, Liza Hanim, melalui lagu Sepi (Aina Abdul).
Nikki pula diberi tugasan lagu solo Terasing (Datuk Sudirman) dan berduet dengan juara AF Megastar, Idayu, dalam lagu Mengapa (Nicky Astria).
Aliff pula bakal mendendangkan lagu Sampai Syurga, nyanyian asal Faizal Tahir serta bergandingan dengan Hafiz Suip dalam lagu Dealova nyanyian asal Once Mekel.
Seribu Tahun Takkan Mungkin oleh Bumiputra Rockers menjadi lagu yang akan dipertaruhkan Azan Scan yang turut menerima tugasan lagu duet Dilema 03 (nyanyian asal Datuk Nora dan Vince) bersama Shiha Zikir.
Seroja, lagu asal S. Effendi pula, diberikan kepada Adibah dengan Kau Di Hatiku (lagu Datuk Zainal Abidin daripada runut bunyi filem Tarzan) menjadi lagu duetnya bersama penyanyi asal lagu itu, Datuk Zainal.
Akhir sekali, Suki diberi tugasan mendendangkan lagu Titanium (nyanyian asal David Guetta menampilkan Sia) manakala lagu duetnya bersama Shila Amzah adalah Jera (nyanyian asal Agnes Monica).
Pusingan 'Battle' pula akan menyaksikan Adibah dan Azan berentap melalui lagu 'Kami Rappers' (dendangan asal 4U2C).
Aliff dan Aweera pula akan saling berbalas lontaran vokal menerusi lagu Aman RA, Bangun.
Lagu tular antarabangsa penyanyi Korea, Psy, Gangnam Style pula menjadi taruhan dalam gelanggang 'battle' antara Nikki dan Suki.
Kejutan yang dinanti-nanti ramai pada peringkat akhir adalah paduan suara Hetty dan Syafinaz melalui lagu Kisah Hati (nyanyian asal Datin Alyah, isteri Ramli MS).
Nota: Peringkat akhir Gegar Vaganza 8 akan menemui penonton di saluran Astro Ria (Saluran Singtel 608) mulai 9 malam Ahad (23 Januari).