Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Gaya Hidup0

PERADUAN DIKIR NORMA BARU

Srikandi ITE Ardwinda bolot 7 piala

Jan 13, 2021 | 05:30 AM

KUMPULAN dikir barat wanita Ardwinda daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central biasa membuat persembahan dan bertanding dengan 22 anggota sekali gus pada tempoh pra-Covid-19.

Namun, dengan melandanya wabak koronavirus di Singapura, kumpulan srikandi ini tidak patah semangat untuk bertanding dan menjuarai peraduan Piala Suara Serumpun 2020 yang julung-julung kalinya diadakan dalam talian sebagai norma baru lewat tahun lalu.

Dengan cabaran berlatih secara berasingan menerusi wadah Zoom dan kiriman video WhatsApp, mereka membuktikan tiada yang mustahil bagi membolot anugerah dalam tujuh kategori.

Ardwinda merupakan juara keseluruhan, Anugerah Tinta Kelkatu (Seni Kata Terbaik), Lagu Pilihan Juri, juara kategori wanita, karut terbaik, paluan terbaik dan awak-awak terbaik.

Peraduan anjuran gerakan Bapa Sepanjang Hayat dengan kerjasama Serumpun Dikir.Sg dan kumpulan dikir barat Andika Kencana ini disertai 13 kumpulan dikir barat peringkat institusi pengajian tinggi

Sebelum ini, Ardwinda adalah pemenang ketiga kategori wanita Piala Suara Serumpun 2018 anjuran Andika Kencana.

Kumpulan ini juga meraih Hadiah Paluan Terbaik (Kategori Wanita) pada Piala Serumpun 2019 anjuran kumpulan Si Anak Seni.

Ketika dihubungi, Presiden Ardwinda, Cik Nurul Pratiwi Nizam, 19 tahun, pelajar Nitec Lanjutan dalam Reka Bentuk Interaktif, berkata:

"Kami menghadapi pelbagai rintangan bertanding dan berlatih kerana wabak koronavirus.

"Kami harus mematuhi bermacam-macam peraturan baru yang ditetapkan seperti jumlah orang yang dibataskan dalam sebuah bilik, mengambil langkah jarak selamat dan menjaga kebersihan alat muzik yang dikongsi dengan penuh berhati-hati."

Mereka membuat persembahan dengan pecahan kumpulan kecil untuk ditampilkan dalam peraduan dalam talian itu.

Kumpulan paluan seramai empat orang diasingkan daripada juara dan karut manakala awak-awak seramai 16 orang pula terbahagi kepada empat kumpulan dengan empat anggota bagi setiap kelompok kecil.

"Piala Suara Serumpun 2020 adalah peraduan bersejarah bagi kami kerana kejayaan memenangi banyak kategori dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

"Bagi mencapai kejayaan, kami memerlukan dedikasi, komitmen tinggi dan pemahaman anggota mengenai suasana norma baru yang kami hadapi dengan wabak ini.

"Setiap anggota kumpulan juga harus bijak mengagihkan masa antara sekolah, tugasan dan latihan," tambah Cik Nurul Pratiwi.

Ardwinda yang ditubuhkan pada 2018 mengambil sempena nama cantuman dua perkataan, 'Dinda' (adik perempuan) dan 'Dwi' (dua).

Piala Suara Serumpun 2018 adalah peraduan sulung yang disertai sejurus ditubuhkan pada 18 Januari 2018.

Ditanya mengenai keprihatinannya mengenai kegiatan seni kumpulan kecil seperti Ardwinda, Cik Nurul Pratiwi menambah:

"Secara peribadi, saya berasakan kami kekurangan peluang meneroka dan mempersembahkan bakat dan minat kami.

"Kumpulan seni baru dan kecil seperti kami biasanya tidak kelihatan sebab kebanyakan masa, kumpulan lebih mapan diiktiraf di pentas lebih gah.

"Saya berharap akan ada usaha kumpulan seni kecil dibantu agar berkembang menerusi usaha kerjasama dengan kumpulan kecil lain atau mapan bagi membantu kami meraih pendedahan dan pengalaman."

Beliau juga berharap belia sepertinya akan diberi kesempatan menyertai bengkel seni praktikal yang akan membuatkan diri mereka lebih memahami dan menghadam kesenian itu sendiri.

"Belia yang berkecimpung dalam bidang seni dahagakan kandungan baru termasuk dalam talian.

"Dengan pandemik ini, ramai penggiat seni beralih kepada wadah digital yang memastikan kesinambungan kegiatan seni itu terjamin. Sememangnya mengetengahkan persembahan dalam talian adalah pengalaman serba baru buat kami.

"Bagaimanapun, ia sesuatu pendedahan dan percubaan yang baik agar kami lebih bersiap sedia dan tahu apa yang perlu dilakukan seandainya keadaan serupa berlaku pada tahun-tahun mendatang.

"Saya mengharapkan lebih banyak usaha dilaburkan bagi menggalak belia berseni lantas membantu masyarakat seni Singapura maju secara kolektif buat masa mendatang," katanya lagi yang ingin mengembangkan pengetahuan dalam seni warisan Melayu khususnya permainan muzik gamelan.


"Dengan pandemik ini, ramai penggiat seni beralih kepada wadah digital yang memastikan kesinambungan kegiatan seni itu terjamin. Sememangnya mengetengahkan persembahan dalam talian adalah pengalaman serba baru buat kami.
Bagaimanapun, ia sesuatu pendedahan dan percubaan yang baik agar kami lebih bersiap sedia dan tahu apa yang perlu dilakukan seandainya keadaan serupa berlaku pada tahun-tahun mendatang.
Saya mengharapkan lebih banyak usaha dilaburkan bagi menggalak belia berseni lantas membantu masyarakat seni Singapura maju secara kolektif buat masa mendatang."

- Cik Nurul Pratiwi Nizam, Presiden Ardwinda.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map