DUA juri Gegar Vaganza 9 (GV9), Datuk Syafinaz Selamat dan Raisa Andriana (pengadil undangan) dari Indonesia terkesima dengan suara lunak peserta Singapura, Hazrul Nizam kelmarin.
Ternyata, lagu asal mendiang Bob Tutupoly, Widuri, yang didendangkan Hazrul di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena konsert minggu kelapan menusuk ke sanubari mereka.
Kata Raisa:
"Saya suka dengan cara anda memberikan nafas baru pada lagu lama ini. Saya suka melihat anda memandang ke arah penonton dengan si gadis-gadis rasa terpaku dengan suara anda.
"Personaliti anda menampakkan peningkatan pada penghujung persembahan kerana ia langsung meledak ke kemuncaknya di mana anda terus meneroka lenggok suara anda lebih dalam lagi."
Datuk Syafinaz pula mencemburui suara merdu Hazrul yang boleh 'berdiri dengan sendiri' tanpa penggunaan prop pentas serta mengagumi susunan lagu Widuri yang tidak melampaui batas sehingga menjejas keindahan lagu asal.
Namun di sebalik segalanya, Syafinaz terasa ada kekurangan yang menghambat penampilan visual Hazrul lantas menegur busana yang digayakan penyanyi Kaulah Segalanya itu.
"Cuma boleh tak tukar baju tu? Sebab secara visual, anda memerlukan lebih bantuan. Setiap minggu, saya tengok kadang ok, kebanyakan masanya tidak begitu menarik.
"Anda perlu usahakan busana yang lebih menarik. Sebab anda adalah seorang lelaki yang tampan dan menawan," kata Syafinaz.
Kenyataan Syafinaz ini juga turut disokong beberapa warganet yang berasakan penampilan Hazrul perlu diserlahkan lagi dengan fesyen lebih menarik.
Apabila diminta mengulas tentang komen Syafinaz, Hazrul berkata:
"Memang mungkin ada yang perlu diperbaiki. Saya bukannya seseorang yang pandai bergaya. Jadi saya okey sahaja dengan apa pakaian yang diberi asal ia cocok dengan bentuk badan saya.
"Tapi kami akan perbaiki lagi. Saya akan berbual dengan pereka fesyen busana saya kelak."
Hazrul mendapat tempat keempat dengan markah 73.4 peratus.
Ketika dihubungi Berita Harian, pereka fesyen Singapura, Adam Rashid, yang diamanahkan untuk menghasilkan rekaan fesyen untuk Hazrul pula berkata beliau tidak berkecil hati dengan komen Syafinaz.
"Perasaan saya biasa sahaja apabila mendengar komen itu. Saya hanya menjalankan tugas saya mengikut apa sahaja yang Hazrul dan pihak penerbitan hendakkan.
"Juri kadangkala tidak tahu apa yang dibincangkan di sebalik tabir peraduan. Jadi bagi saya, apa yang diminta peserta dan pihak penerbitan, itulah yang saya usahakan.
"Idea busana bukan 100 peratus datang daripada saya. Saya terlibat dalam GV sejak musim ketujuh lagi. Sejauh ini okey sahaja. Tak ada masalah."
Adam bermula sebagai seorang peragawan dan peserta Manhunt Singapore sebelum menghasilkan rekaan fesyen pengantin dan selebriti seperti pengacara GV9, Elly Mazlein, pelakon Fasha Sandha dan Rita Rudaini.
Beliau baru-baru ini diminta pelakon veteran Nasha Aziz dan Rozita Che Wan untuk menghasilkan busana khusus buat mereka bahkan mengiringi Nasha ke acara Anugerah Seri Angkasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
"Kebiasaannya, apabila buat baju untuk Hazrul, saya akan tentukan rekaan mengikut genre lagu yang disampaikan. Pihak penerbitan atau penyanyi kadangkala minta perubahan daripada konsep asal.
"Saya terima dengan hati terbuka asal sahaja Hazrul selesa, yakin dan gembira dengan apa yang dipakai.
"Untuk pengetahuan ramai, pada minggu ketiga di mana Hazrul nyanyikan lagu Fatwa Pujangga, saya sebenarnya usulkan dua rekaan baju tradisional Melayu dengan menggunakan songket dan batik tetapi pihak penerbitan yang minta ia ditukar pada baju 'sherwani' ala Bollywood. Warganet pula tertanya-tanya mengapa macam tak kena?" jelas Adam.
Pada konsert minggu kelapan GV9 kelmarin, Jaclyn Victor, 43 tahun, sekali lagi dinobatkan sebagai juara dengan penyampaiannya yang menyentuh kalbu ketika mendendangkan lagu Anuar Zain, Lelaki Ini.
Jaclyn mendapat markah 85 peratus disusuli dengan VE di tempat kedua dengan 80.4 peratus dan Tomok di tempat ketiga dengan 79 peratus.
Tiada penyingkiran bagi pusingan kelapan itu dengan pihak penerbitan turut melanjutkan peraduan kepada 11 minggu sebagai bonus menghargai penonton yang menyokong GV9. Ia juga hadiah selepas GV7 memenangi Anugerah Program Hiburan Muzikal Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2022.
Peringkat akhir GV9 dijadualkan berlangsung pada 27 November ini.
- Ulasan GV9 boleh didengar di podcast Berita Harian, #NoTapis: Gegaran GV! setiap minggu di Spotify.Siaran GV9 pula boleh ditonton setiap Ahad di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam.