SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Suri rumah terbit 2 program Raya digital

Suri rumah terbit 2 program Raya digital

May 28, 2021 | 5:30 AM

Suri rumah terbit 2 program Raya digital

PELAJARI ILMU BARU: Cik Siti Aminah Ismail sentiasa nantikan peluang pelajari ilmu penerbitan digital dan bersyukur terlibat dalam penerbitan dua program Raya digital, 'Semarak Lebaran' dan 'Dendang Lebaran'. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
PELAJARI ILMU BARU: Cik Siti Aminah Ismail sentiasa nantikan peluang pelajari ilmu penerbitan digital dan bersyukur terlibat dalam penerbitan dua program Raya digital, 'Semarak Lebaran' dan 'Dendang Lebaran'. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

RASA teruja bercampur terharu mengisi ruang hati pengasas syarikat penganjur acara seni, Wadah Seni Entertainment, Cik Siti Aminah Ismail, apabila dapat bekerjasama dengan artis veteran yang ditontoni semasa kecil di kaca televisyen.

Suri rumah dan usahawan jualan makanan yang berpangkalan dari rumah itu malah terasa bagai mimpi dapat menerbitkan bersama program Raya digital dengan kerjasama pelbagai pihak.

Jika sebelum ini Cik Siti Aminah, 36 tahun, menganjurkan acara pertemuan bintang Jalan Ampas mahupun Konsert Sukma Irama buat warga emas (Pesta Silver Arts), dalam tempoh pandemik, beliau berbesar hati terlibat dalam dua program Raya digital.

Bersama Wisma Geylang Serai (WGS) dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Cik Siti Aminah mengusahakan Semarak Lebaran yang akan disiarkan di Facebook dan YouTube WGS mulai 8 malam ini.

Dendang Lebaran yang disiarkan di saluran YouTube Mapletree Arts In The City On Air pula disiarkan mulai 7 malam esok.

Ketika dihubungi, ibu dua anak yang menerima sokongan kuat daripada suaminya bagi menganjur acara seni itu berkata:

"Saya sebenarnya terharu dapat libatkan artis lama seperti Kamaliah Latiff dan Kadir Rahman (Kadir Lontong) dalam rancangan Raya digital ini.

"Dahulu saya selalu tengok mereka menyanyi di televisyen. Sekarang, mereka pula bekerjasama dalam program terbitan saya. Ini adalah projek nyala rasa saya di luar skop tugas harian dan rutin sebagai suri rumah dan peniaga makanan dari rumah. Lagi pun saya rasa sudah menjadi amanah saya mengetengahkan golongan veteran yang tidak berkesempatan muncul di kaca televisyen dalam rancangan digital terbitan Wadah Seni Entertainment."

Harapannya dapatlah golongan veteran ini beraksi mengubati rindu peminat mereka dalam program digital ini sebelum mereka tutup mata.

"Tak ramai penganjur mahu mengundang artis veteran bagi memeriahkan acara mereka.

"Jadi tanggungjawab saya dan beberapa rakan sehaluan dalam mengangkat artis veteran ke tempat sebaiknya. Ajak mereka sama-sama sertai arus digital dalam program Raya ini dan program lain jika ada rezeki," kongsinya.

Cik Siti Aminah menyifatkan cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan program digital adalah penelitian proses pascapenerbitannya.

Ini memandangkan banyak suntingan perlu dibuat mengikut kehendak penganjur.

"Saya seronok dapat pelajari ilmu baru di balik tabir, dari segi suntingan dan pengendaliannya. Tapi ada juga masanya saya pening kepala kerana banyak perihal teknikal yang perlu dibereskan. Alhamdulillah, saya ada pasukan kreatif seperti pengarah kreatif dan penyanyi Rudy Djoe serta penyunting video yang banyak membantu melancarkan segalanya. Apabila siap semuanya dan dah jadi macam program Raya lebih sejam, kita tengok pun puas. Macam zaman kita kecil 'melekat' tengok tv! Zaman sekarang, tengok dari telefon bimbit atau tablet," jelasnya yang perlu akur pada tarikh akhir yang ditetapkan penganjur.

Pendek kata, banyak bersengkang mata tetapi kepuasan terasa apabila penganjur berpuas hati dengan mutu kerja pasukannya lantas membuka ruang bagi mereka disunting penganjur lain bagi projek selanjutnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg