SIAPA sangka idea lagu baru yang tiba-tiba timbul ketika sang penyanyi Alyph sedang mandi dan syampu rambut boleh meledakkan fenomena luar biasa dalam industri muzik Melayu kini?
Lagu bertajuk Swipe menjadi bertambah sensasi di media sosial dengan kerjasama yang tidak pernah dibayangkan antara Alyph, atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 33 tahun, dengan usahawan sensasi Datuk Seri Vida, atau Hasmiza Othman, 51 tahun.
Dalam masa sepuluh hari dimuat naik ke YouTube sahaja, Swipe telah ditonton sebanyak 1.8 juta kali. Jumlah penstriman lagu ini di Spotify pula sudah mencecah sejuta kali.
Ketika dihubungi Berita Minggu menerusi Zoom yang diselaras label rakaman Universal Music Singapore baru-baru ini, Alyph berkata:
"Awal tahun ini atau lewat tahun lalu, saya sedang mandi dan syampu rambut di bilik mandi. Tahu-tahu, lirik Swipe dalam bahasa Inggeris muncul dalam fikiran.
"Keluar sahaja daripada tandas, saya langsung merakam suara saya pada alat perakam suara. Tak makan masa lama di studio untuk siapkan demo berdasarkan nota suara itu.
"Saya cari tempo yang sesuai, isi sana sini bahan yang diperlukan lantas dalam masa sehari dah selesai.
"Mengenai idea melibatkan Datuk Seri Vida dalam rakaman ini pula tercetus apabila saya bereksperimen dengan skrip daripada filem Malaysia atau drama Indonesia.
"Saya sedang mencari dialog sesuai untuk dimasukkan kedalam lagu saya. Di tengah-tengah ada dialog filem dan kemudian sambung balik dengan lagu.
"Saya cuba meninjau dengan masukkan dialog beberapa orang tetapi dialog Datuk Seri Vida dalam satu rakaman IG Live beliau yang orang muat naik ke YouTube adalah paling 'ngam'. Ada bahagian beliau ketawa dengan Cik B.
"Memandangkan lagu saya sebenarnya mempunyai pesanan serius, saya menyisipkan bahagian Datuk Seri Vida ketawa kuat untuk lebih memberi kesan santai pada lagu ini."
Menurutnya, usaha 'melamar' Datuk Seri Vida bagi rakaman lagu dan video muzik Swipe ini juga menimbulkan tanda tanya awal sama ada usahawan yang pernah diulit kisah kontroversi itu sudi bekerjasama dengannya.
Pada sisi lain, Alyph juga menerima amaran daripada beberapa pihak yang khuatir dan sangsi kerjasama ini akan menimbulkan masalah buatnya memandangkan kisah kontroversi yang terpalit dalam kehidupan Datuk Seri Vida sebelum ini.
"Saya tak pernah terfikir nak bekerjasama dengan Datuk Seri Vida. Yang saya tahu hanyalah saya selalu mahukan pembaharuan dalam karya seni saya. Saya nak cuba benda baru dan mencabar kebiasaan norma dalam industri muzik.
"Alhamdulillah, apabila bertemu dengan beliau, Datuk Seri Vida menerima usulan saya untuk bergabung tenaga. Beliau gembira saya mahukan dirinya untuk terlibat dalam projek ini.
"Bahkan beliau juga prihatin kerana tahu saya selalu menjaga mutu rakaman. Projek lagu Datuk Seri Vida sebelum ini sering mengundang kontroversi. Jadi, ada ketidakpastian di situ.
"Namun, saya yakin perwatakan beliau kena dengan tema lagu ini. Datuk Seri Vida adalah orang yang buat apa yang dia suka serta tidak kisah apa orang lain nak kata.
"Dari situ, saya menyedari sebelum ini, kita jarang tumpukan perhatian kepada kekuatannya walhal beliau adalah wanita yang bersemangat waja, usahawan yang kuat, ibu yang penyayang kepada anak-anaknya dan satu-satunya pencari nafkah keluarga.
"Orang sibukkan unsur sensasi Datuk Seri Vida sahaja. Justeru, dengan kerjasama dalam lagu Swipe ini, saya ingin buktikan bahawa kita dapat menampilkan sisinya yang lain pula," ujar Alyph.
Kespontanan, keselambaan dan daya humor Datuk Seri Vida amat dihargai Alyph yang mula berkarya sejak usia remaja.
"Mulanya, kita bincang beliau nak rap ke, nak nyanyi ke atau nak berbual. Saya rasa beliau tak perlu lirik.
"Apabila saya jelaskan perkara itu kepadanya dan beliau dah 'tangkap' maksud saya, laju sahaja ideanya mencurah-curah. Berdekah-dekah saya ketawa.
"Memanglah dalam kesibukan kami bikin klip video, Datuk Seri Vida lebih 'hip hop' daripada saya! Beliau sempat membeli kereta untuk anaknya Cik B, bubuh tanda tangan... kemudian kereta sampai di depan mata saya," tambah Alyph.
Baginya, formula bagi kejayaan lagu ini terletak pada rezeki yang Allah sudah atur buatnya.
Apabila lagu ini 'meletup' sekelip mata sebelum pelan pemasaran dibuat untuk wujudkan cabaran TikTok, ia merupakan sesuatu yang beliau payah jelaskan dengan kata-kata.
"Swipe memiliki maksud yang mendalam. Agak serius tetapi taklah terlalu dalam sangat untuk dihadam. Ia membawa pesanan kalau saya yakin dengan sesuatu, saya tidak sepatutnya ubah fikiran saya hanya kerana orang sekeliling memperkatakannya.
"Saya harus diberi peluang cuba sendiri sesuatu. Saya minta diberi ruang dan peluang berbuat sesuatu. Ia datang daripada premis jiwa yang tertindas serta memerlukan arah tuju dan keyakinan untuk bangkit semula," jelasnya.
Ada banyak perkara yang ingin dibereskan Alyph, bapa dua anak kecil berusia enam tahun dan dua tahun setengah, untuk projek muzik peribadinya.
"Pada 2023, saya ingin tumpukan pada kerjaya saya dan nak habiskan beberapa lagu. Saya nak bikin lagu sendiri dengan penerbitan bagi setiap lagu diputuskan dengan jarak masanya tidak terlalu lama.
"Saya janji selepas projek solo saya beres, saya akan kembali terbitkan lagu untuk artis lain yang sedang menunggu. Berilah saya peluang bernafas dengan projek sendiri yang banyak terabai sebelum ini," ujarnya.