Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tahun Baru 2022 dirai Esplanade dengan 'Gemilang' sambil junjung budi ikon seni, singkap muzikal cemerlang

Sanjungan buat S.Atan, Nona Asiah dan Kartina Dahari antara tarikan konsert ulang tahun ke-20 Esplanade
Jan 02, 2022 | 06:17 PM



TAHUN Baru biasanya merupakan tempoh refleksi diri dan memulakan fasa baru dalam kehidupan dengan tekad bulat ingin memperbaiki segala kekurangan dan dengan penuh pengharapan.



Boleh dikatakan konsert Tahun Baru 2022 dan sekali gus ulang tahun ke-20 pusat seni terbilang Singapura, Esplanade - Teater Di Pesisiran, pada Sabtu (1 Januari) memenuhi dua matlamat tersebut iaitu menyusuri jalan kenangan ikon seni Melayu terbilang Singapura dan memikirkan masa depan seni di tangan penyanyi dan penggiat teater generasi masa kini.



Gemilang: Sejiwa, Sekata, Seirama, yang merupakan sebahagian program PopLore yang meraikan ulang tahun ke-20 Esplanade di Dewan Konsert Esplanade disambut baik ramai pencinta muzik tanah air yang pastinya dambakan persembahan 'live' yang banyak dibatalkan atau dibataskan sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu.



Ia ruang mengenang ikon seni yang banyak berjasa pada dunia muzik Singapura, dengan mahakaryanya pernah disajikan di pentas Esplanade. Ini meliputi Biduanita Kartina Dahari yang diberi jolokan Ratu Keroncong, penggubah lagu S. Atan, dan penyanyi legenda, pengasuh vokal serta penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Nona Asiah.



Cebisan persembahan dua pementasan teater muzikal dan kebudayaan yang pernah dipentaskan di Esplanade dan mendapat sambutan menggalakkan kerana membawa penonton menjelajah ke alam berbeza, Fatih – The Prince and The Drum serta Alkesah, turut disingkap.



Gemilang dibuka dengan persembahan alat genderang Riduan Zalani dan kumpulan Nadi Singapura yang telah mempertingkat martabat pementasan muzikal Singapura ke tahap berbeza menerusi pementasan Fatih – The Prince and The Drum.



Pujian wajar diberi buat pengacara Najip Ali dan Nurul Aini yang menyatukan dengan lancar segala persembahan sejam setengah ini sambil menyuntik humor dan memberi cebisan trivia mengenai beberapa persembahan yang disajikan Esplanade sepanjang tempoh dua dekad.



Keletah dan dialog saling 'membahan' mereka membuat penonton tidak kering gusi dengan Nurul diuji dengan cabaran bertukar-ganti baju sambil membawa peranan si 'wannabe' yang semuanya nak dibuat - jadi pelakon muzikal, Anita Sarawak dan Minah Rok, penyanyi (meskipun lip-sync atau selaraskan bibirnya dengan suara penyanyi asal) mahupun Tukang Karut 'Mohd Nurul' yang berpakaian persis pahlawan.



Keupayaan Nurul beralih daripada pengacara televisyen dan pempengaruh sosial yang menarik perhatian warganet kepada 'pengacara lawak selamba' yang bersahaja tetapi masih mengekalkan keanggunannya merupakan satu aset buat dunia hiburan setempat.



Dalam keterbatasan waktu konsert dan persiapan, Najip sebagai penerbit eksekutif dan pengarah Gemilang, mampu memuatkan sejarah 20 tahun sajian seni Melayu Esplanade dengan kesinambungan yang tidak menjenuhkan.



Mungkin wujud keinginan di hati kecil sesetengah penonton untuk melihat lebih sedikit persembahan lagu kontemporari yang mencorak landskap muzik masa kini Singapura (kalau konsert dilanjutkan pada tempoh dua jam). Tapi rasanya sebagai permulaan 2022, Gemilang sudah cukup mengubati rindu ramai terhadap persembahan 'live' yang rencam.



Juara SG Mania 2, Nana Karia dan Juara Anugerah, Thaqif dari band O.M.A, menyerikan segmen 'Artis Masa Kini' dengan sajian tiga lagu. Kedua-duanya memiliki lontaran suara yang mantap dan bertenaga.



Antara tukikan Esplanade adalah konsert menyanjung budi ikon yang banyak mencorak dunia seni Singapura. Ini termasuk konsert Suara Hati S. Atan, Si Cempaka Biru (Nona Asiah) dan Sayang Di Sayang (Kartina Dahari) yang banyak mengajar generasi muda tentang menghargai warisan zaman berzaman muzik Singapura.



Dengan mengemukakan penyanyi generasi muda seperti Liwani Izzati, Izzathy Halil dan Thaqif serta yang lebih berpengalaman seperti Hyrul Anuar, Fauzie Laily dan Huda Ramdzan untuk mendendangkan lagu-lagu ciptaan S. Atan mahupun yang pernah didendangkan Nona Asiah dan Kartina Dahari, ia satu pendedahan yang baik bagi mereka menikmati dan berkongsi kelebihan lagu Melayu lama.



Joget Gila Bayang (Anita Sarawak), Joget Kenangan Manis (Sudirman  Haji Arshad) dan Dulu Dan Sekarang (Black Dog Bone) adalah antara karya ciptaan S. Atan yang malar segar dan pastinya menggali nostalgia dalam diri 'orang lama'.



Si Cempaka Biru, Tiru Macam Saya, Hasan dan Hasnah yang merupakan lagu ikonik Nona Asiah disajikan dengan cara tersendiri Liwani, Izzathy serta paduan suara berseloka Fauzie dan Huda. 



Menghidupkan 'mood' senda gurau dalam lagu Hasan dan Hasnah yang menjadi runut bunyi filem 1953, Ayer Mata, dapat dilakukan Fauzie dan Huda yang mempunyai pengalaman berlakon dalam watak-watak humor.



Sebagai bakat cilik televisyen suatu ketika dahulu dengan pengalaman di Music & Drama Company, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kini, Izzathy juga kelihatan candi menggayakan lagu Tiru Macam Saya.



Sebagai satu percubaan menyanyikan lagu keroncong Kartina, Sayang Di Sayang, Liwani memberi yang terbaik dengan suara lunak 'sejelas dan sejernihnya' yang diharap dapat lebih digilap kerana potensinya yang besar sebagai penerus bakat muzik di Singapura.



Selendang Sutera kemudian disampaikan Huda disusuli lagu duet Budi Setahun Segunung Intan (nyanyian asal Ahmad Jais dan Kartina) Hyrul dan Izzathy.



Penulis akur dengan apa yang Najip sebagai ikon seni Singapura nyatakan dalam wawancara awal bahawa sukar buat anak muda menjiwai sepenuhnya lagu legenda klasik ini dalam tempoh semalaman bikin konsert. Justeru, memang terkesan ada yang kedengaran tergelincir nadanya atau terasa kurang penjiwaannya pada malam itu.



Namun, di sebalik segalanya, semangat generasi muda ini untuk menghadam lagu lama ini wajar dipuji. Kalau tidak sekarang didedahkan, bila lagi? Mudah-mudahan, Gemilang menjadi pembuka jalan untuk mereka mula bertatih menjiwai lagu lama yang memang sukar dihadam tetapi kaya dengan nilai sejarah yang instrinsik, organik dan keasliannya.



Amat dinanti-nantikan juga adalah kemunculan tiga pelakon muzikal Alkesah yang memenangi Anugerah 'Ensembel Terbaik' bagi Anugerah Teater The Straits Times Life!



Muzikal yang menggunakan watak-watak kisah dongeng Melayu seperti si ‘kaki berangan’ Mat Jenin, ahli nujum temberang, Pak Belalang, Nenek Kebayan yang kejam, Sang Kancil yang bijaksana, pasangan suami isteri Pak Andir dan Mak Andir, Pak Kaduk yang lurus bendul dan Mak Pekan (watak utama dalam Batu Belah Batu Bertangkup), merupakan hasil tulisan aktivis teater mapan, Zulfadli Rashid (Big) dan arahan Aidli ‘Alin’ Mosbit.



Ia boleh dianggap sebagai antara yang terbaik pernah disajikan dalam dunia muzikal Melayu di Singapura sebab menyegarkan dan sangat menghiburkan.



Tiga Siti - Siti Khalijah Zainal, Siti Maznah Mustaffa dan Siti Nur Syafiqah Efandi, mendapat tepukan gemuruh penonton dek gaya selamba mereka menyanyikan lagu tema Alkesah.  



Turut mendapat sambutan adalah 'Dikir Barat Battle' oleh Wan Jerung dan Maman. Pasti lebih meriah sesuatu acara jika adanya segmen Dikir Barat yang menyatukan ramai dek rancaknya gerak tangan awok-awok dan lontaran kata Tok Juara dan Tukang Karut yang dipersembahkan.



Gemilang ditutup tirainya dengan kembalinya dua penyanyi rok daripada Konsert Rock 21 tahun lalu, Eiss dan Hanafie Warren, segmen kemuncak yang dinanti-nanti.



Hanafie yang suaranya bagai tidak dimamah usia dan kedengaran muda serta bertenaga macam zaman kaset kumpulan The Unwanted menyanyikan lagu ikonik Penyesalan.



Eiss yang kaya daya hibur dan interaksinya bersama penonton pula memberi sentuhan tersendiri pada lagu 'anthem' Lovehunters, Sambutlah Kasih. Mereka berdua berduet dalam lagu kemuncak dendangan asal Sweet Charity, Sejuta Wajah.



Persis cogan kata 'rock never dies' (rok tidak akan mati), diharap pada 2022, tiada yang mematikan langkah dan positiviti persada seni Singapura dengan dunia masih tenat dek pandemik Covid-19 dengan gelombang varian Omicron menular pula.



Syabas buat semua yang menjayakan gemilang termasuk pasukan penerbitan Esplanade, Cik Hanie Nadia Hamzah dan rakan-rakan serta pengarah muzik Mayuni Omar dan pemuzik yang mengiringi persembahan Tahun Baru ini.



Moga Esplanade terus menyajikan konsert bermutu khususnya yang menyanjung ikon muzik Singapura, baik yang masih ada mahupun yang sudah berpergian serta memaparkan bakat muda berpotensi serta pementasan teater dan budaya yang sarat isi dan nilai sejarah serta warisannya buat santapan penonton.



Hiburan yang berisi dan tetap padat dengan ilmu pengetahuan adalah yang amat dinanti-nantikan daripada Esplanade selepas dua dekad perjalanan seni ditempuhi.



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >