Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tekad Shila Amzah jaga diri, jadi ibu dan anak lebih baik

2022 yang bakal berlalu dalam masa seminggu lagi meninggalkan kenangan manis dan merupakan fasa baru buat dua bintang serantau dari Malaysia dan Indonesia ini. Ikuti wawancara BERITA MINGGU bersama Shila Amzah dan Chelsea Islan untuk ketahui apakah yang telah mereka lalui dan rancangan akan datang dalam kerjaya seni.
Penyanyi lagu 'Jauh Hati' akan sambut Tahun Baru, buat persembahan di S'pura
Dec 25, 2022 | 05:30 AM



UJIAN yang datang silih berganti dianggap penyanyi Malaysia Shila Amzah sebagai asam garam kehidupan yang akan lebih mematangkan dan menguatkan semangatnya.



Pelantun lagu Patah Seribu itu rasmi bercerai daripada suaminya selama empat tahun, Haris Idraki Elias, pada Februari lalu.



Di ambang peringkat akhir peraduan realiti Gegar Vaganza 9 (GV9) bulan lalu, Shila, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 32 tahun, hilang suara dan tidak dapat melontarkan vokal buluh perindunya seperti biasa.



Beliau juga perlu menangani keresahan dek stres dan tidak terkecuali dilontar kata-kata kebencian dan kecaman warganet yang tidak mengenalinya tetapi mudah sahaja membuat andaian dan penilaian.



DI SEBALIK PAHIT, BANYAK KENANGAN MANIS



Di sebalik segalanya, 2022 tetap meninggalkan kenangan manis dengan pelbagai pencapaian.



Selain muncul tempat ketiga dalam GV9, puteri sulung penyanyi veteran ND Lala ini adalah juara The Masked Singer Malaysia 2 dan menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) berbekal lagu Pelukan Angkasa.



Lagu duet Shila bersama Liza Hanim, Bahagiakan Dia, juga layak ke AJL37 pada 12 Februari 2023.



Sebagaimana yang dikongsi Shila dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Minggu:



"Begitulah keadaannya. Rezeki Allah beri sama rata. Ada masa kita berjaya dan terima ganjaran.



"Ada ketika kita pun diuji. Macam saya dalam GV9... tiba-tiba jatuh sakit sampai seminggu tak ada suara dan terbaring... payah nak bangun. Itu pun masih nak main air (prop kolam air yang unik dipasang atas pentas) sampai Bonda (Hetty Koes Endang) pun kena percikan air.



"Tak tahulah kalau tak sakit, apa lagi yang dibuat budak Shila ni! Selalu sahaja menyusahkan abang 'prop' di GV9 tetapi alhamdulillah abang 'prop' (Abang Syuk) puas hati saya selalu manfaatkan sepenuhnya prop yang dihasilkan sebaik mungkin."



SAMBUT TAHUN BARU DI SINGAPURA



Shila dihubungi sempena penglibatannya dalam program Tahun Baru Mediacorp, Let's Celebrate 2023 di The Promontory@ Marina Bay pada 31 Disember ini.



Menyentuh tentang sambutan Tahun Baru di Singapura, Shila, ibu seorang anak lelaki berusia tiga tahun, Seth Uwais, berkata:



"Saya tidak pernah meraikan Tahun Baru di Singapura. Sebelum ini, pernah menyambutnya di China dan Hong Kong. Justeru, saya langsung beritahu pengurus saya, undangan ini akan saya terima.



"Pastinya selepas berlalunya era sekatan pandemik Covid-19 dengan ketetapan norma baru ini diamalkan, saya teruja untuk bertemu peminat di Singapura.



"Pada acara berkenaan, saya akan menyanyikan dua lagu Inggeris sebab jarang dapat nyanyikan lagu berkenaan. Satu lagu rancak yang saya dendangkan di pentas GV9 dan satu lagi lagu balada perlahan."



Dalam kami bersembang, ditanyakan tentang azam tahun barunya.



Shila tertawa seraya berseloroh:



"Seperti selalu kita beriya nak buat azam itu dan ini tetapi tak terbuat."



JADI IBU, ANAK LEBIH BAIK



Beliau kemudian menyambung penuh iktibar:



"Namun, saya tak mengharapkan apa-apa yang besar untuk dicapai. Selepas bermacam berlaku dalam hidup saya yang mematangkan saya, saya hanya berazam untuk jadi manusia yang lebih baik meliputi jadi ibu dan anak yang lebih baik.



"Saya hanya mahu fokus pada kasih sayang dan aliran tenaga yang positif. Tak mahulah nak salur atau tarik tenaga negatif yang toksik.



"Hidup ini hanya pinjaman. Sebab ia pinjaman Allah, maka kita perlu jaga elok-elok dan lawan apa jua pergolakan dalam diri."



SETH SEGALANYA



Kehidupannya kini selepas tempoh getir gagal dalam perkahwinan dikhususkan buat anak tercinta, Seth, yang dianggap penawar.



"Apa yang terbaik dan boleh saya usahakan semua buat anak saya, Seth. Masa jalan cepat dan saya tak mahu ketinggalan melihat Seth membesar dan ada untuknya. Saya nak kerja keras dan ambil semangat baru.



ENGGAN ABAIKAN DIRI



"Sebelum ini pun, saya abaikan diri saya dan tak jaga penampilan. Apabila kita stres, kita lupa apa yang perlu kita buat untuk diri kita sendiri.



"Tahun 2022 adalah yang memberi saya keyakinan diri lebih baru melalui peluang menyertai bermacam program realiti.



"Saya kenal orang-orang baru dan dapat kawan-kawan baru. Saya kemudian rajin bersukan, baik main badminton, berlatih di gim dan lalui latihan Muay Thai.



"Bahkan saya berjanji saya nak jaga diri saya sebab inilah yang Allah pinjamkan dari segi kesihatan fizikal dan mental," tambah Shila.



PEMINAT KONGSI MASALAH



Apabila beliau berkongsi secebis kisah pengalaman melalui kegagalan rumah tangga dan serangan keresahan, beliau mendapat banyak pesanan peminat yang sebahagiannya pernah harungi tempoh getir sebegini.



"Sejujurnya topik ini memang sensitif. Tapi bagi saya, misi utama adalah untuk memupuk kesedaran bahawa kita berhak mengecapi kebahagiaan kita sendiri, baik lelaki atau perempuan.



"Ada yang kirim pesanan kepada saya menyatakan mereka kekal dalam perkahwinan kerana anak meskipun suami mereka buat macam-macam perkara yang mengguris hati.



"Bagi saya, kita harus ikhlas dalam melakukan pengorbanan. Jangan letak anak sebagai sebab untuk teruskan perkahwinan kalau kita tak bahagia.



"Kita berhak bahagia. Mungkin kita dibesarkan secara tradisi dan bergenerasi di mana kita terima trauma sebab sudah biasa dibesarkan dengan ibu ayah yang sering bergaduh di depan kita.



"Stigma sebegini harus diluputkan. Kalau kita tak bahagia, ada cara yang kita boleh ikhtiarkan demi kebahagiaan kita dan anak kita," jelas Shila.



TAK PERLU LAYAN KECAMAN



Tentunya sukar untuknya memuaskan semua orang. Sebagai artis yang dikenali, Shila menerima situasi di mana ada yang menyukainya dan ada yang tidak menggemarinya.



"Kalau saya sedang okay, orang nak cakap apa pun, saya tiada masalah. Tapi apabila 'mood' saya tengah betul-betul down, saya tiada keupayaan mental untuk menghadam segala kecaman dalam media sosial.



"Biasanya macam peringkat akhir GV9 hari tu, saya memang tak larat sebab tak sihat. Saya berhenti melihat media sosial dalam dua atau tiga hari. Teman saya kata, 'nama saya dah trending'... baik jangan baca apa-apa sebab ada komen yang tak 'best'. Maka saya diamkanlah," jelasnya.



'JAUH HATI' BENTANG SEMUA KISAH PATAH HATI



Kini, ada cendera hati berupa lagu baru Jauh Hati yang Shila tujukan buat peminatnya.



Lagu yang dicipta sendiri itu, dari takrifan teman rapatnya, adalah kompilasi semua cerita cinta yang pernah Shila sendiri harungi.



"Jauh Hati ini gabungkan suka duka bercinta Shila Amzah, ketika mula jatuh hati atau ketika melepaskan pergi kekasih itu. Semuanya cebisan cerita bekas kekasih saya. Ia tidak tertakluk kepada seorang jejaka.



"Selepas saya bercerai, memang saya pernah menjalinkan hubungan dengan seseorang tetapi ia agak tak best. Jauh Hati adalah gabungan semua cerita patah hati saya.



"Ia bukan nak ingatkan orang lain tetapi lebih mustahak mengingatkan diri saya sendiri agar kalau menyayangi seseorang, jangan terlampau mengasihinya sampaikan saya hilang diri saya sendiri.



"Saya harus jaga diri saya, cintai diri saya, utamakan diri saya sebab semua ini perlu dan bukan bererti saya mementingkan diri sendiri," tambah Shila.



TEKAD KEMBALI KUASAI PASARAN CHINA



Juara Asian Wave di Shanghai, China itu akan kembali menghasilkan lagu Mandarin selepas Tahun Baru Cina untuk pasaran Cina yang lebih meluas.



Beliau juga merancang mengunjungi China selepas Hari Raya untuk promosi lagu dan persembahan seperti dahulu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >