Terbang jauh demi naik taraf nasyid, Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Gaya Hidup0

Terbang jauh demi naik taraf nasyid

Penyanyi irama kerohanian rakam album keenam, 'Marhaba'
Feb 06, 2021 | 05:30 AM

KAKI penyanyi dan penggubah lagu kerohanian, Mohammad Hafiz Hamidun, sudah jauh melangkah ke Jakarta, Istanbul dan Kahirah, bagi merakam muzik bagi album keenamnya Marhaba.

Malah, penerbitan album ini makan masa lima tahun untuk direalisasikan dengan dirinya tidak terasa tertekan menjananya kerana inginkan yang terbaik buat peminat tercinta.

Apakah yang membuatkan Hafiz, 36 tahun, rela berkorban masa demi Marhaba?

Apakah pula kaitan album ini dengan penyanyi irama kerohanian tahap antarabangsa, Maher Zain, yang berasal dari Sweden?

Ikuti wawancara Zoom bersama Hafiz, yang diselaraskan label rakaman Universal Music.

Discover Malay Home Based Businesses

Hafiz juga bersyukur dikenal pasti dalam senarai 500 Individu Islam Berpengaruh Dunia dalam sektor seni dan kebudayaan.

Senarai di laman www.themuslim500.com ini merupakan kompilasi tokoh masyarakat Islam sedunia yang membawa impak dari pelbagai bidang.

Soalan (S): Ceritakan tentang 'Marhaba'. Mengapa Hafiz merantau jauh demi merakamkannya?

Hafiz (H): Tiada tekanan masa bagi menyiapkan album ini. Sekitar 90 peratus daripada rakaman album ini, iaitu dari segi muzik, dirakam di Istanbul (Turkey), Kahirah (Mesir) dan Jakarta (Indonesia)

Hanya vokal sahaja dirakam di studio saya di Damansara, Selangor. Kesemua kandungannya tentang selawat. Ia bagi seiringkan dengan album-album terdahulu mengenai zikir sebagai terapi.

Saya sebenarnya kagum dan cemburukan artis nasyid antarabangsa, Maher Zain, kerana dapat menghasilkan album yang benar-benar hebat dari segi mutu dan bunyian.

Satu dunia sukakan lagu-lagu Maher yang kaya dengan estetika dan nilai-nilai Islam.

Apabila saya kata cemburu, bukanlah ia berbaur hasad atau iri. Lebih pada rasa, 'bagus kalau saya dapat buat sepertinya'.

Maka, saya pun hubungi pihak Maher untuk dirujukkan kepada pemuzik dan penerbit album yang menghasilkan bunyian hebat itu.

Sayang rasanya kalau saya tidak rebut peluang keemasan merakam di luar negara dan menaiktarafkan bunyian album agar boleh dibawa ke pendengaran mereka di peringkat antarabangsa.

Kalau penggiat nasyid dari Eropah dan Timur Tengah datang ke Nusantara bagi mempromosikan kerja seni mereka, kita pun boleh bawa muzik Nusantara ke peringkat dunia dengan mutu yang terjamin baik.

S: Apakah yang Hafiz raih daripada pengalaman 20 tahun sebagai anak seni dan penggiat muzik kerohanian?

H: Saya belajar tentang disiplin dan komitmen dalam mencapai kejayaan.

Dalam memastikan saya kekal dalam industri kreatif dengan adanya ramai pendatang baru, baik penerbit atau penyanyi, saya harus pastikan budaya kerja saya yang kaya disiplin akan melancarkan tugas serta dihormati orang.

Disiplin adalah kunci kita dapat memberi yang terbaik dalam amanah kita.

S: Bagaimana Hafiz lihat evolusi muzik nasyid?

H: Dalam memasyarakatkan nasyid, kita perlukan keaslian dan ketulenan lagu-lagu nasyid kita sendiri.

Jangan mudah terikut-ikut dengan orang lain. Kebiasaannya kini apabila ada lagu nasyid yang tular, kita lihat ramai dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia akan buat 'cover' lagu tersebut.

Bukan saya kata 'cover' tak bagus. Memang ada penyanyi nasyid dapat puluhan ribu atau ratusan ribu tontonan di media sosial bila buat 'cover'.

Kalau anda penyanyi baru, bolehlah anda mengusahakannya. Tapi kalau sudah mapan dan mempunyai pengikut sendiri, saya rasa kita perlu fikirkan cara lain bagi menarik minat mereka dan kembangkan lagi irama nasyid itu.

Harus ada keberanian mengubah haluan dan mencari sesuatu yang baru. Kalau asyik buat lagu 'cover' dan siapkan versi dalam TikTok begitu sahaja, irama nasyid tak akan berkembang dari segi ciptaan melodi dan penulisan lirik kerohanian.

Kita perlukan pelaburan dalam menjana irama nasyid baru di Nusantara. Seingat saya dahulu, ramai penggiat nasyid berlumba nak buat lagu segar agar orang boleh dengar bahan baru.

S: Apakah perasaan Hafiz dapat cipta lagu buat Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Fattah Amin?

H: Saya bersyukur masih ramai yang mempercayai kebolehan saya ini walaupun saya dari genre berlainan. Namun, saya anggap sama sahaja mencipta lagu buat penyanyi tersohor Malaysia mahupun bakat baru.

Yang penting, kita harus kaji mutu dan kemampuan penyanyi ini menyanyikan lagu yang dicipta. Saya juga akan menguji had kebolehan si penyanyi sampai maksimum.

Sudah dua kali hasilkan lagu ketuhanan buat Tok Ti, maka saya pasti cuba beri kelainan, misalnya tekankan unsur taranum dalam lagu.

Mustahak bagi saya untuk tidak mudah rasa puas. Biar setiap ringgit yang dibelanjakan berbaloi. Jangan buat asal boleh atau sambil lewa.

S: Apabila disenaraikan sebagai tokoh seni Islam berpengaruh, apa perasaan Hafiz?

H: Saya melihatnya dari segi impak yang saya bawa dalam dunia seni. Ia bukan anugerah popular atau glamor. Kita boleh pilih jadi glamor tetapi kalau tak ada impak pada ummah secara baik, ia juga tidak akan membawa sebarang manfaat.

Saya agak berhati-hati dan menjaga diri kerana publisiti yang tidak baik tetap tidak baik walau ada kata apa jua publisiti tetap baik.

Saya juga menyimpan hasrat menembusi pasaran oriental seperti Taiwan dan China sebab bilangan penduduk di sana ramai.

Saya juga yakin lagu kerohanian Nusantara berupaya menembusi pasaran Eropah dan Amerika. Bukan nak berlagak tetapi saya kekal optimis kita perlukan wakil Nusantara untuk mulakan usaha murni ini.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map