Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

TUKAR ANGIN demi pengalaman

Fatin dari Suria jadi inspektor dalam 'Vettai 5' Vasantham

Peluang bagi pelakon saluran Suria menjayakan drama Tamil dan pelakon saluran Vasantham mewarnai drama Melayu kian terbuka kini. Dengan syarikat penerbitan setempat gigih menghasilkan karya dengan suasana kesingapuraan yang menyerlah faktor berbilang kaumnya, dua pelakon berikut mampu 'menyeberangi' saluran lain dan menambah pengalaman baru. BERITA HARIAN melaporkan.
Mar 28, 2022 | 05:30 AM



PELAKON dan pengacara Suria, Fatin Amira Abdul Aziz, baru sahaja tamat penggambaran dokudrama Crimewatch sebagai penjual dadah yang sedang berurusan dengan pengedarnya di sebuah hotel bajet sambil ditemani anak kecilnya.



Apabila dipanggil bagi satu sesi uji bakat susulan melibatkan babak polis, sangka Fatin, 29 tahun, ia adalah untuk Crimewatch juga.



Tanpa diduganya, beliau menghadiri sesi mencari pelakon Melayu untuk hidupkan watak Inspektor Nora dalam drama polis Mediacorp Vasantham yang dikenali ramai, Vettai 5.



Drama ini mengisahkan tentang unit polis yang khusus menyelesaikan kes jenayah yang tidak atau sukar terhurai dalam kalangan masyarakat India atau pendatang India.



Ia masuk musim kelima setelah musim pertama awalnya disiarkan pada 23 November 2010 dan merupakan hasil ilham kreatif Anuratha Kanderaju dan Abbas Akbar.



Menceritakan pengalaman baru bertukar angin ke saluran Vasantham, Fatin yang sebelum ini kerap diberi watak antagonis di Suria, berkata:



"Saya tidak pernah tahu tentang Vettai. Apabila datang ke lokasi uji bakat, saya tak fikir apa-apa tetapi gementar apabila lihat ada 10 orang menanti untuk menilai lakonan saya.



"Saya perlu bergandingan dengan pelakon bernama Saravanan. Selepas babak dalam bahasa Inggeris itu, saya diberitahu lakonan saya meyakinkan.



"Tapi saya menanti melepasi dua minggu dan tidak mendengar khabar berita. Saya yang masih sangka uji bakat itu untuk Crimewatch rasa, agaknya mungkin saya tak dapat peranan tersebut atau saya mungkin tak kena bagi peranan berkenaan.



"Tapi alih-alih, selepas dua minggu, saya dapat panggilan pihak penerbitan yang mengucapkan tahniah dan memaklumkan saya bakal terlibat dalam penggambaran 45 episod drama polis selama empat hingga lima bulan.



"Detik itulah saya baru tahu saya diterima menjayakan watak polis Melayu bernama Inspektor Nora dalam Vettai 5. Ia dianggap pencapaian besar bagi pelakon Suria yang berjaya 'berpindah' ke saluran Vasantham untuk hidupkan drama yang popular."



Menurut Fatin, Inspektor Nora adalah pegawai polis yang bersemangat menjalankan tugasnya malahan tidak akan berpuas hati sehinggalah kes yang ditangani terlerai.



"Kadangkala pegawai atasannya tidak mengharapkan dia menjalankan kajian terperinci tetapi Nora sangat gigih dan serius dalam tugasannya. Seberapa boleh dia akan kaji sesuatu kes yang sulit sampai ke penghujungnya," tambah Fatin.



Watak Inspektor Nora, jelas Fatin, juga melambangkan pemerkasaan wanita, di mana dia meyakini dirinya memiliki ketangkasan melakukan operasi serbuan sepertimana pegawai polis lelaki.



"Buat kali pertama, saya belajar pegang pistol sampai kemaruk...macam-macam 'pose' nak saya buat sewaktu rakaman foto.



"Paling mencabar adalah ketika kami menjalani penggambaran 5 pagi di sebuah kilang di Tuas. Saya dapat amati bagaimana unit khas polis melalui misi mencabar, bersembunyi di belakang tembok dan berjalan dengan penuh hati-hati sebelum serbuan dibuat.



"Ada beberapa pelakon aksi nekad yang turut sama berlakon. Saya belajar untuk menjongkok, melompat apa jua hambatan, bersembunyi dan berteriak 'Angkat tangan...turunkan tangan...jangan sentuh' bagaikan dalam tugasan polis sebenar," ceritanya lagi.



Fatin akur babak itu memang sukar kerana jika seorang pelakon tersilap, babak itu perlu diulang semula.



"Tapi memang bergaya saya dengan jaket bersenjata polis. Terasa macam saya ni dalam filem Malaysia, Paskal! Bayangkan awal pagi dah beraksi. Hari itu, saya banyak minum air jarang kerana letih dan enggan alami dehidrasi dalam lokasi yang berbahang," kongsinya.



Terdapat juga babak di mana Fatin perlu mengejar dan menumbuk penjenayah, satu lagi adegan aksi yang menguji staminanya.



"Pada akhirnya, selepas menjalani penggambaran bagi Vettai 5, saya lebih menghormati tugas pegawai polis yang bertungkus-lumus demi keselamatan negara dan orang awam.



"Kadangkala kita terlupa untuk menghargai mereka sewajarnya. Mereka bergadai nyawa dan banyak berkorban demi menyelamatkan orang lain," jelasnya.



Luar daripada jangkaan Fatin bahawa beliau akan berasa janggal di set drama Tamil, ternyata pelakon gandingannya mengalu-alukan kehadirannya dan sering membuatnya selesa dengan menterjemah jenaka dalam bahasa Tamil yang mereka perbualkan.



"Mereka tak nak saya ketinggalan. Jadi selalu akan melibatkan saya dalam gurau senda dan gelak tawa mereka. Persahabatan sebegini amat saya hargai," katanya.



Dalam kesibukannya berlakon dan mengacara, Fatin yang baru empat bulan berumah tangga dengan seorang karyawan penerbitan menjelaskan sokongan keluarga amat perlu.



"Saya bersyukur mempunyai suami dan ibu bapa yang memahami. Kadangkala saya tidak dapat luangkan masa makan malam bersama mereka.



"Mereka selalu berpesan agar saya bersabar dalam perjuangan sebagai anak seni.



"Seperkara lagi, saya tidak pernah rasa bersalah untuk berehat seketika jika perlukan rehat. Sama ada saya tengok Netflix atau tidur untuk hilangkan rasa penat bekerja setelah menjalani penggambaran yang lama," tambah pengacara Projek Lagu dan Juara Duo Memasak itu.




"Tapi alih-alih, selepas dua minggu, saya dapat panggilan pihak penerbitan yang mengucapkan tahniah dan memaklumkan saya bakal terlibat dalam penggambaran 45 episod drama polis selama empat hingga lima bulan.
Detik itulah saya baru tahu saya diterima menjayakan watak polis Melayu bernama Inspektor Nora dalam Vettai 5. Ia dianggap pencapaian besar bagi pelakon Suria yang berjaya 'berpindah' ke saluran Vasantham untuk hidupkan drama yang popular."
- Pelakon dan pengacara Suria, Fatin Amira Abdul Aziz.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >