Topic followed successfully
Go to BHkuUsaha gigih di sebalik pemulihan jambatan kekuda nan mempesona
Usaha gigih di sebalik pemulihan jambatan kekuda nan mempesona
Usaha gigih di sebalik pemulihan jambatan kekuda nan mempesona
SEJAK dibuka semula hujung tahun lalu setelah menjalani kerja pemulihan selama sekitar dua tahun, Jambatan Kekuda Bukit Timah di sepanjang Koridor Rel telah menjadi tempat mengambil gambar yang popular dalam kalangan pengembara pejalan kaki dan penunggang basikal.
Satu lagi jambatan kekuda, Jambatan Kekuda Upper Bukit Timah, dibuka semula secara rasmi Isnin lalu.
Sedang keindahan kedua-dua jambatan itu jelas terserlah, usaha gigih yang dilakukan bagi mengembalikannya kegemilangan terdahulu mungkin tidak akan disedari oleh kebanyakan orang yang melintasinya hari ini.
Hakikat tidak ramai menyedari kerja-kerja pemulihan telah dilakukan adalah bukti kerja yang dilakukan dengan baik, kata pengarah di Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Encik Teo Chong Yean, yang terlibat dalam kerja peningkatan di sepanjang laluan itu.
Beliau berkata pasukan itu amat teliti dalam usahanya untuk memulihkan dua jambatan dari 1932 itu, yang terletak di sebelah The Rail Mall dan di hujung barat Dunearn Road dan Bukit Timah Road.
Sebagai contoh, pasukan itu memastikan bahawa setiap penyokong landasan, klip dan pepaku landasan kereta api diletakkan kembali di tempat yang tepat di jambatan itu setelah dikeluarkan dalam kerja-kerja penyaliran.
Bagi mencapai ketepatan sedemikian, teknologi pengimbasan laser digunakan bagi menetapkan kedudukan setiap bahagian itu.
Sebagai contoh, bagi Jambatan Kekuda Upper Bukit Timah, kesemua 172 penyokong landasan - 114 kayu dan 58 konkrit - dilabel setelah dikeluarkan supaya dapat dipasang semula dengan betul.
Tanah di sepanjang bekas landasan kereta api itu dikembalikan kepada Singapura oleh pengendali rel Malaysia, Keretapi Tanah Melayu (KTM), pada 2011.
Perbahasan awam yang menyusuli mengenai apa yang harus dilakukan dengan tanah itu digambarkan sebagai titik perubahan dalam huraian warisan Singapura dalam buku Heritage yang diterbitkan pada 2015 oleh pengarah Muzium Tamadun Asia Kennie Ting.
Kumpulan penyokong seperti Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) dan Persatuan Warisan Singapura mencadangkan agar keseluruhan landasan sepanjang 24 kilometer itu dikekalkan sebagai koridor hijau, dan bukannya diserahkan kepada pemaju hartanah.
Pemerintah, sebagai tindak balas, mengambil pendekatan yang lebih "terbuka, menenteramkan dan mengajak rundingan" dalam menyusun rancangan bagi ruang tersebut, kata Encik Ting.
Jambatan kekuda yang dipulihkan itu, yang kedua-duanya terletak di atas jalan raya sibuk, menunjukkan tanda pendekatan ini.
Semasa proses pemulihan, pelbagai prototaip susur dipasang, dan anggota masyarakat dijemput memberi pandangan mereka tentang yang mana paling sesuai untuk jambatan yang dipulihkan itu.
Infografik: JELAJAH KORIDOR REL

