Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vokalis Pink Saturday bakar semangat niaga pasta, pulut kuning

Oct 8, 2020 | 5:30 AM
HAFIZAH NASER: Teruja apabila hidangan pulut dan pasta diterima baik pelanggan sehingga membuatnya ingin ambil lebih banyak kursus memasak selepas ini. - Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR
HAFIZAH NASER: Teruja apabila hidangan pulut dan pasta diterima baik pelanggan sehingga membuatnya ingin ambil lebih banyak kursus memasak selepas ini. - Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR -

Tidak semudah itu menjalani kehidupan dalam pandemik Covid-19 apabila kerinduan pada membuat persembahan di khalayak ramai, sesuatu yang turut menjadi sumber pencarian, mencengkam. Namun, berbekalkan cogan kata I Will Survive (Saya Mampu Bertahan) persis lagu popular bintang legenda Gloria Gaynor, dua vokalis band tempatan gigih mengusahakan amanah baru. BERITA HARIAN melaporkan kisah mereka dalam menanti Fasa 3 pembukaan semula Singapura diumumkan.

MENGAJAR bahasa Melayu serta menyanyi di kafe dan kelab pernah dilakukan vokalis band tempatan Pink Saturday, Hafizah Naser.

Beliau juga pernah menjadi antara pasukan penyelaras pameran dan program kerjaya serta peningkatan kemahiran di sebuah badan Melayu/Islam.

Namun Hafizah, 37 tahun, tidak pernah menduga minat memasak hidangan 'fusion' akan menjadi sumber pencarian rezekinya, apa lagi dalam tempoh pandemik Covid-19.

Sejak berhenti kerja dan kadangkala mengubati kerinduan pada muzik dengan mempersembahkan 'gig' dalam talian bersama suaminya Hadi Gunawan, beliau membangun bisnes dari rumah, The Snack Avenue.

Perniagaan pulut kuning, pasta bakar tom yum, pasta bakar makanan laut lemak cili padi, aglio olio fusilli dan shakshouka, mendapat sambutan menggalakkan daripada saudara mara dan teman.

Sejak berniaga sekitar Julai, Hafizah mendapat pujian mereka yang meminati masakannya.

"Fizah masak dengan penuh kasih sayang dan dari hati. Apabila mereka senangi masakan Fizah, itulah nikmat terbesar," jelasnya ketika dihubungi.

Ikuti wawancara bersama Hafizah, bekas peserta Anugerah, yang 'meletup' menerusi lagu Gatra.

Soalan (S): Apakah yang membuatkan anda ingin berniaga dari rumah menerusi jenama The Snack Avenue?

H: Saya memang suka memasak buat keluarga. Ia merupakan satu hobi yang mencetus nyala rasa selain sukakan mengajar dan muzik.

Setiap kali memasak, saya rasa gembira tak terkata. Kerana saya belum lagi teroka minat memasak ini sebagai satu sumber pencarian dan bisnes, saya beranikan diri berhenti kerja dan mengusahakan amanah baru ini Julai lalu.

Entahlah, keinginannya begitu kuat. Saya hanya mengikut kata hati. Dahulu, memang tak begitu yakin melakukannya sebab tak mudah nak puaskan selera dan tekak orang bukan?

S: Dalam memilih menu makanan untuk dijual, apakah yang menjadi ukur tara Fizah?

H: Apa yang saya jual adalah makanan kegemaran saya. Saya memang sukakan masakan 'fusion' dan ingin mendekati pelanggan muda mahupun tua.

Justeru itu, saya perkenalkan makanan 'fusion' Barat dan Timur seperti pasta bakar lemak cili padi dan hidangan tradisional pulut kuning.

S: Anda menitikberatkan bungkusan makanan yang cantik dan bukan setakat meletakkannya dalam plastik atau kotak styrofom. Mengapa anda rasa pelaburan bagi bungkusan cantik ini perlu?

H: Sebagai pelanggan, saya juga suka melihat bungkusan yang cantik. Saya mahu mereka menikmati pengalaman yang indah dari detik mereka menerima makanan saya hingga menyajikannya untuk dimakan. Saya ingin mereka rasa nikmatnya selesai sahaja makan.

Lagi pun, pandangan pertama itu akan kekal sampai bila-bila.

S: Apakah pengajaran utama yang diraih setelah meniaga?

H: Banyak yang saya pelajari sepanjang tiga bulan meniaga. Saya lebih bijak mengurus masa, berdikari melakukan segalanya daripada membeli bahan masakan, memilih bahan sesuai dan menjalankan kajian tentang menyajikan makanan.

Lebih penting lagi, saya gembira kerana dapat mencipta, menginovasi dan bekerja keras membina jenama saya sendiri. Ia satu impian yang dikota.

S: Anda pernah bertugas dalam pertubuhan yang mengendalikan pameran kerja dan program peningkatan. Apakah pengalaman itu menggalak anda untuk mengasah serta mempertingkat kemahiran memasak?

H: Ya, saya percaya pada proses peningkatan kemahiran sebagai satu usaha meraih ilmu dalam perjalanan sepanjang hayat.

Dalam bidang tugas saya dahulu, saya selalu menggalakkan mereka yang mencari kerja agar menjalani peningkatan kemahiran demi penakatan.

Saya sendiri menjalani kursus kebersihan makanan agar saya dapat pelajari lebih banyak ilmu tentang menyiapkan makanan sebaiknya buat pelanggan saya.

Saya merancang mengambil lebih banyak kursus tentang persiapan makanan, memasak dan membakar kek.

S: Apakah antara cabaran yang dihadapi?

H: Memuaskan hati setiap pelanggan dan memastikan mereka berpuas hati, mengorbankan masa hujung minggu sampaikan kurang tidur jika ada pesanan awal pagi. Saya buat segalanya sendiri.

S: Apakah persamaan antara memasak, mengajar dan bermain muzik?

H: Saya seorang yang gigih ketika memasak, mengajar dan menyanyi. Kalau saya cintakan sesuatu, saya akan teroka nyala rasa saya itu dan lihat sejauh mana ia membawa saya dalam satu perjalanan yang menyeronokkan atau penuh jerih payah. Kita hidup sekali. Kalau tak cuba, tak tahu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg