PENGUASA Pembangunan Media Infokom (IMDA) sebagai Penolong Pegawai Pilihan Raya (ARO) telah mengeluarkan notis kepada Facebook untuk menurunkan Iklan Pilihan Raya dalam talian yang dibayar dan tidak dibenarkan (IEA), yang diterbitkan dalam wadah tersebut oleh New Naratif.
Dalam kenyataannya pada Jumaat (3 Julai), Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata New Naratif telah meletakkan iklan dibayar yang diprogram itu di Facebook, yang masih lagi berada dalam laman tersebut selepas 30 Jun, iaitu pada Hari Penamaan Calon.
Iklan tersebut diisytihar sebagai iklan pilihan raya, kata ELD.
"Dengan meletakkan IEA yang dibayar, New Naratif dianggap telah melakukan kegiatan pilihan raya seperti yang tertakluk dalam Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).
"New Naratif tidak diberi kuasa oleh sebarang calon atau ejen pilihan raya untuk melaksanakan kegiatan pilihan raya," tambah ELD. Langkah tersebut menyalahi undang-undang PEA.
Menurut ELD, Facebook telah mengeluarkan iklan tersebut.
Semua individu telah diingatkan bahawa menerbitkan IEA dibayar memerlukan kelulusan oleh seorang calon atau ejen pilihan raya bermula daripada permulaan tempoh kempen, selepas berakhir prosiding Hari Penamaan Calon.
ELD berkata, ini bagi memastikan kebertanggungjawapan dan mencegah iklan dibayar dipergunakan oleh saluran campur tangan asing dalam proses pilihan raya, atau bagi parti politik dan calon melepasi had perbelanjaan pilihan raya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg