MEREKA yang belum mengundi hari ini (10 Julai) tidak lagi perlu memakai sarung tangan untuk mengundi agar tidak perlu beratur lama, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD).
ELD tidak lagi memerlukan pengundi memakai sarung tangan pakai buang itu sebagai langkah berjaga-jaga. Ini sedang pengundi sudah pun perlu menggunakan sanitiser tangan.
“Kami memerhatikan langkah ini (memakai sarung tangan) khususnya menyumbang kepada masa mengundi yang lebih lama daripada biasa.
“Sarung tangan masih disediakan kepada pengundi yang ingin menggunakan kededua sanitiser dan sarung tangan,” kata ELD dalam satu kenyataan pada sekitar 1.15 petang tadi (10 Julai).
Jabatan itu turut meminta maaf kepada pengundi yang terpaksa beratur lama.
Menurut ELD, ini disebabkan ramai pengundi yang keluar mengundi di luar waktu yang diperuntuk kepada mereka.
Dengan adanya langkah keselamatan juga, ini telah menyebabkan orang ramai perlu beratur lama.
“Kami minta maaf pengundi perlu menunggu dan mengalami kesulitan,” kata ELD, sambil meminta kerjasama semua pengundi untuk datang pada masa yang diperuntuk, serta terus mengamalkan jarak selamat.