GE2020
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat dua individu disyaki rosakkan poster pilihan raya PAP, PSP

Jul 2, 2020 | 8:54 PM
Poster PAP yang menampilkan calon bertanding di GRC Aljunied di Hougang Ave 10 dan poster PSP di Bukit Batok East Ave 5 yang dirosakkan - FOTO-FOTO DIAMBIL DARI FACEBOOK.
Poster PAP yang menampilkan calon bertanding di GRC Aljunied di Hougang Ave 10 dan poster PSP di Bukit Batok East Ave 5 yang dirosakkan - FOTO-FOTO DIAMBIL DARI FACEBOOK. -

DUA individu berusia 51 tahun dan 13 tahun kini sedang disiasat polis kerana disyaki merosakkan poster pilihan raya.

Dalam kenyataannya pada Khamis malam (2 Julai), polis berkata kededuanya terlibat dalam dua kes berasingan yang berlaku di Bukit Batok Avenue 5 dan Hougang Avenue 10. Kes pertama yang melibatkan lelaki berusia 51 tahun itu berlaku pada Rabu (1 Julai) sekitar 1.50 pagi di mana pegawai polis mendapati poster Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang telah dirosakkan berada di bawah satu tiang lampu di Bukit Batok East Ave 5. Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pihaknya telah menjalankan siasatan setelah mengesan poster tersebut. PSP kemudian membuat laporan polis berkaitan satu lagi poster yang dirosakkan di jalan raya yang sama itu. Setelah siasatan dijalankan, polis Divisyen Jurong berjaya mengenal pasti identiti lelaki yang bertanggungjawab melakukan kerosakan poster tersebut lalu memberkasnya pada Khamis sekitar 1.50 pagi. Sementara itu, kes kedua melibatkan poster pilihan raya Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dirosakkan di kawasan Hougang Avenue 10. Polis berkata, ia telah menerima satu laporan daripada parti tersebut pada Rabu (1 Julai) sekitar 8.30 malam, dan pegawai dari Divisyen Ang Mo Kio berjaya mengenal pasti identiti remaja lelaki berusia 13 tahun itu yang dipercayai telah merosakkan poster tersebut. Polis sedang menyiasat kededua kes itu. Memberi respons terhadap kerosakan poster PSP di Bukit Batok itu, ketua PSP Dr Tan Cheng Bock yang menulis di Facebook pada Khamis pagi berkata pasukannya yang bertanding di GRC Chua Chu Kang "tidak terhalang," dan akan "terus berusaha untuk berhubung dengan penduduk agar dapat mengongsi mesej PSP." Beliau turut menggesa orang ramai agar bertenang sewaktu musim Pilihan Raya Umum ini. "Dalam kehangatan berkempen ini, emosi kita boleh menjadi terbawa-bawa. Tetapi ini hanya hari pertama dan kita masih mempunyai jalan yang panjang. "Mari kita ingat untuk menjaga diri dengan tenang," katanya dalam FB sambil berkongsi gambar poster yang dirosakkan itu. Sementara itu, pasukan PAP yang bertanding di GRC Chua Chu Kang diterajui Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, turut menampilkan penghargaan mereka kepada usaha polis dalam menyiasat kededua kes tersebut. Menulis bagi pihaknya di Facebook pada Khamis malam, Encik Gan berkata kejadian tersebut merupakan satu peringatan agar semua individu menghormati kegiatan kempen, termasuk poster dan bahan-bahan parti politik. "Kami ingin mengulangi bahawa orang ramai dan penyokong parti politik harus saling menghormati, tidak kira perbezaan mereka dalam kecenderungan politik masing-masing." "Mari kita bersikap sopan dan bertimbang rasa, dan menunjukkan perilaku teladan yang sesuai dengan negara yang ramah ini," kata Encik Gan. Menyusuli kerosakan poster-poster berkenaan, SPF turut mengingatkan orang ramai bahawa ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen jika seseorang itu didapati mengubah, menurunkan, merosakkan, melenyapkan atau mencemarkan sebarang poster atau sepanduk pilihan raya.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg