Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
GE2020
33601
0

CALON MELAYU PAP

Sedia hadapi saingan, ingin teruskan khidmat perbaiki hidup warga

Karyawan muda ditampilkan bantu mantapkan lagi barisan
Jul 01, 2020 | 05:30 AM



SEMUA calon Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) menghadapi saingan dalam pilihan raya kali ini, ada yang diberi tanggungjawab lebih berat dan ada pula menghadapi cabaran berpindah ke kawasan undi baru.



Enam enam muka baru yang dinamakan sebagai calon semalam juga bersiap berkempen untuk memikat undi rakyat.



Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad misalnya diberi tanggungjawab lebih berat dalam pilihan raya kali ini.



Beliau diberi tugas menerajui GRC Tampines dan mempertahankan kawasan undi itu daripada saingan Parti Perpaduan Nasional (NSP).



Selepas proses penamaan calon tamat semalam, juga terdapat beberapa perubahan dalam kerahan calon Melayu PAP.



Encik Zaqy Mohamad yang sebelum ini mewakili penduduk di GRC Chua Chu Kang dipindahkan untuk bertanding di GRC Marsilling-Yew Tee.



Seorang lagi Encik Amrin Amin yang sebelum ini mewakili penduduk GRC Sembawang berpindah ke GRC Sengkang yang baru dibentuk.



Calon-calon lain yang pernah bertanding sebelum ini kekal di kawasan undi masing-masing.



Profesor Madya Muhamad Faishal Ibrahim misalnya kekal di GRC Nee Soon, Cik Rahayu Mahzam di GRC Jurong dah Encik Saktiandi Supaat di GRC Bishan Toa Payoh.



Muka baru



Dalam kalangan enam muka baru PAP yang dicalonkan semalam, seorang dari mereka terlibat dalam persaingan merebut GRC Pasir Ris-Punggol, yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.



Meskipun berdepan dengan cabaran dari Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Suara Rakyat (PV), calon Melayu PAP yang akan bertanding di kawasan undi tersebut, Encik Sharael Taha, berkata tumpuan utamanya adalah untuk memberikan yang terbaik bagi setiap penduduk di situ.



"Saya sungguh berbesar hati kerana diberi kepercayaan menjadi calon PAP bagi GRC Pasir Ris-Punggol.



"Dengan kepercayaan ini saya ingin mendekati dan bekerjasama dengan masyarakat kita untuk meningkatkan kemahiran kita bersama selain mewujudkan kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.



"Bagi diri saya, apa yang penting adalah untuk bekerja keras untuk masyarakat dan bersatu dan bersama untuk penduduk di GRC Pasir Ris-Punggol," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Sekolah Rendah St Anthony's Canossian.



Beliau yang menggantikan tempat Encik Zainal Sapari di Pasir Ris, akan bertanding di samping Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean dan Encik Janil Puthucheary serta dua wajah baru, iaitu Cik Yeo Wan Ling, 44 tahun dan Encik Desmond Tan, 50 tahun.



Encik Sharael, 39 tahun, merupakan naib presiden Singapore Aero Engine Services Pte Ltd yang dipinjamkan dari Rolls Royce, dan aktif sebagai sukarelawan di kawasan Bukit Batok East, sebelum menjadi calon PAP bagi GRC Pasir Ris-Punggol.



Seorang lagi calon baru Melayu PAP yang dijangka menghadapi saingan sengit dari parti pembangkang, adalah Encik Mohd Fahmi Aliman.



Beliau disertakan dalam pasukan PAP di GRC Marine Parade yang dipimpin Encik Tan Chuan-Jin.



Mereka berhadapan dan pasukan Parti Pekerja (WP) yang diterajui mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Yee Jenn Jong.



Ketika dihubungi, Encik Fahmi berkata beliau akan meneruskan usaha yang telah dilakukan mantan AP kawasan undi Geylang Serai, Dr Fatimah Lateef, yang mengundur diri dari politik.



"Sebenarnya terdapat banyak program mendekati masyarakat yang ingin saya teruskan terutama bagi golongan warga senja.



"Bagi saya, Geylang Serai bukan sahaja merupakan pusat kebudayaan tetapi ia juga menjadi tempat tumpuan pelbagai kumpulan dan organisasi agama. Jadi saya juga akan terus mendekati mereka," kata beliau yang turut mendedahkan bahawa beliau mempunyai perancangan untuk memberi kesegaran dan nafas baru di persekitaran kawasan kejiranan itu.



Bagi calon PAP yang akan bertanding di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar pula berkongsi pengalaman sebagai "orang baru".



Ketika ditemui semalam, beliau berkata beliau "tidak sabar mahu turun padang dan berjumpa dengan penduduk Woodlands serta Sembawang".



Beliau menggantikan tempat mantan AP GRC Sembawang, Encik Amrin Amin yang berpindah untuk bertanding di kawasan undi baru, GRC Sengkang.



Jika pasukannya, yang terdiri dari Menteri Pendidikan Encik Ong Ye Kung, Encik Lim Wee Kiak, Encik Vikram Nair dan Cik Poh Li San, dipilih, Cik Mariam berkata antara isu-isu yang ingin diperjuang termasuk membantu dalam memelihara pekerjaan dan mata pencarian penduduk, lebih-lebih lagi setelah krisis Covid-19 ini menjejas kehidupan rakyat Singapura.



"Selepas Covid-19 ini banyak yang akan berubah dan kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baru. Oleh itu kita harus bekerja dengan lebih keras lagi bagi membantu mereka yang terjejas," ujarnya yang berusia 43 tahun.



Selain PAP, GRC Sembawang turut menjadi tumpuan pasukan Parti Perpaduan Nasional (NSP) yang dipimpin Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng dan dianggotai Encik Ivan Yeo, Encik Sebastian Teo, Encik Yadzeth Hairis dan Encik Sathin Ravindran.



Tiga lagi wajah baru yang diperkenalkan, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan bertanding di GRC Chua Chu Kang; Dr Wan Rizal Wan Zakariah di GRC Jalan Besar dan Cik Nadia Ahmad Samdin di GRC Ang Mo Kio.



Encik Zhulkarnian, 39 tahun, menyertai pasukan empat anggota yang diketuai Menteri Kesihatan Encik Ga Kim Yong, Cik Low Yen Ling dan Encik Don Wee Boon Hong dan akan berdepan dengan pasukan dari Parti Kemajuan Singapura (PSP).



Sementara itu, Dr Wan Rizal, 42 tahun, pula diberi tugas mengambil tempat Dr Yaacob Ibrahim di Kolam Ayer dan akan bertanding bersama Cik Josephine Teo, Encik Heng Chee How dan Cik Denise Phua. Mereka berhadapan pasukan Parti Suara Rakyat.



Seorang lagi muka baru Cik Nadia pula menyertai pasukan lima anggota PAP yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang turut termasuk mantan AP Darryl David dan Gan Thiam Poh serta wajah baru Ng Ling Ling.



Bersara



Selain Dr Yaacob dan Dr Fatimah dua lagi AP, Encik Zainal Sapari (GRC Pasir Ris-Punggol dan Dr Intan Azura Mokhtar (GRC Ang Mo Kio) turut mengundur diri dari politik.



Dalam satu catatan Facebook, Encik Zainal mengucapkan terima kasih kepada relawan dan para penduduk yang sentiasa menyokong da mendampinginya ketika menjadi AP di kawasan undi Pasir Ris.



"Seperti yang diumumkan, pada pilihan raya ini, saya akan berundur bagi memberi peluang kepada calon lain untuk berkhidmat jika mereka dipilih.



"Saya memuji Encik Sharael Taha kerana berani untuk ke hadapan dan mengambil alih kepimpinan ini sebagai sebahagian pasukan GRC (Pasir Ris-Punggol) dan saya ingin memberi beliau dan pasukan baru sokongan penuh saya," tulis Encik Zainal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >