Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

5 amalan bagi permudah taubat diterima

Oct 16, 2020 | 05:30 AM



MANUSIA tidak lari daripada melakukan dosa dan kesilapan.



Kita hanya mampu kembali kepada-Nya dan meminta keampunan agar peluang masuk ke syurga masih terbuka.



Tetapi pernahkah kita rasa takut jika Allah swt tidak mengampunkan dosa yang telah kita lakukan?



Ustaz Hanan Farihin membincangkan cara mendapatkan keampunan daripada Allah swt melalui kuliah dalam taliannya, anjuran Masjid Ar-Raudhah baru-baru ini.



Dalam kuliau itu, beliau memetik ayat daripada Surah Ali Imran (ayat 133-136) yang bermaksud:



"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.



"Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik; dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).



"Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal."



Melalui surah ini, Ustaz Hanan merumuskan dan berkongsi lima amalan yang perlu ada pada diri setiap Mukmin supaya Allah swt dapat mengampunkan dosa-dosa kita.



SENTIASA MENDERMA



Pertama, orang-orang yang membelanjakan harta mereka semasa senang dan susah.



Ustaz Hanan berkata perkara ini sangat relevan dengan konteks terkini dengan ramai yang terjejas dek Covid-19. Adakah mereka yang sebelum ini selalu memberi sedekah dan sebagainya masih terus dengan sifat memberi?



MENAHAN MARAH



Kedua, orang-orang yang menahan marah.



"Mereka dapat menahan kemarahan yang sedang menyala-nyala di dalam dada," kata beliau.



Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Huraira ra bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud:



"Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergelut. Orang yang kuat itu ialah yang dapat menguasai dirinya ketika marah." (HR. Bukhari dan Muslim)



Beliau mengajukan satu renungan: "Dengan ekonomi yang terjejas teruk sekarang, mampukah kita bersabar dan terus berusaha demi mencari sesuap nasi?"



SENTIASA MEMAAFKAN



Ketiga, orang-orang yang pemaaf terhadap kesalahan manusia.



Sekiranya kita dianiaya atau ada orang yang melakukan kesalahan terhadap kita, adakah kita memaafkannya atau membalas dengan kejahatan juga?



Ustaz memberi contoh daripada tindakan Nabi saw terhadap pasukan pemanah dalam peperangan Uhud - mereka melanggar perintahnya dengan meninggalkan pertahanan mereka.



Namun Nabi saw tetap memaafkan kesalahan mereka.



SUKA BUAT KEBAIKAN



Keempat, orang-orang yang suka membuat kebaikan dengan menolong meringankan kesusahan orang lain dan mengorbankan sebahagian nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt.



Pengorbanan yang mereka lakukan adalah tanda yang mereka mensyukuri nikmat Allah swt.



CEPAT BERTAUBAT



Kelima, orang-orang yang apabila melakukan dosa dan kejahatan yang mendatangkan kesan buruk kepada orang lain, seperti melakukan zina dan sebagainya, mereka terus cepat-cepat teringat larangan dan ancaman Allah swt.



"Mereka terbayang akan kemurkaan Allah swt dan seksaan yang bakal diterima lalu meninggalkan perkara tersebut, menyesal dan bercita-cita untuk tidak mengulangi serta bertaubat kepada Allah swt memohon ampun di atas dosa-dosanya," jelas Ustaz Hanan.



Daripada surah Ali Imran ayat 135, Allah berfirman:



"Tiadalah yang mengampuni dosa selain Allah."



Ustaz menerangkan bahawa di sinilah Allah swt menyifatkan diri-Nya mempunyai rahmat yang sangat luas dan cepat mengampunkan dosa-dosa manusia.



Maka, orang yang diterima taubatnya menjadi seolah-olah tidak mempunyai dosa lagi.



"Semoga kita semua di golongkan di kalangan orang-orang yang disebutkan tadi agar dosa-dosa kita dapat diangkat oleh Allah swt serta dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya seperti yang dijelaskan dalam surah Ali Imran," kata Ustaz Hanan.




"Mereka terbayang akan kemurkaan Allah swt dan seksaan yang bakal diterima lalu meninggalkan perkara tersebut, menyesal dan bercita-cita untuk tidak mengulangi serta bertaubat kepada Allah swt memohon ampun di atas dosa-dosanya."
- Ustaz Hanan Farihin merujuk kepada sifat orang yang cepat bertaubat.




BIODATA



  • Ustaz Hanan Farihin Imam Eksekutif Masjid Ar Raudhah dan merupakan lulusan Universiti Yarmouk di Jordan dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh (Syari'ah)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >