Subuh
5:36
Syuruk
6:52
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:07
Hidayah

Adab guna media sosial

Sep 11, 2020 | 05:30 AM

KEMUNCULAN media sosial telah mengubah cara berinteraksi antara sesama manusia dan sering kali disalah guna oleh netizen.

Kebanyakan pengguna menjadikan media sosial sebagai tempat untuk meluahkan kemarahan sehingga menimbulkan komen-komen yang keterlaluan.

Harus diingat, Islam telah meletakkan batas-batas tertentu dalam memberikan suatu ucapan, sama ada secara bersemuka atau pun tidak.

ZAHIRKAN PERKATAAN YANG BAIK

Ustaz Ahmad Dahri dalam sesi Zoom bersama Berita Harian memberitahu:

"Hendaklah kita berusaha mengeluarkan perkataan yang baik dan bermanfaat. Jadikan perkataan yang dikeluarkan itu sebagai satu tauladan kepada orang lain.

"Keluarkan perkataan yang perlu sahaja. Sekiranya tidak perlu, jangan memperkatakan sesuatu yang tidak diingini. Zahirkan perkataan yang benar, tegas, dan bukannya ucapan yang berdolak balik.

"Selain itu, ucapkan perkataan dengan nada yang lembut. Walaupun niat baik, namun intonasinya agak kasar, maka secara automatik, perkataan tersebut menjadi tidak baik.

"Dalam Islam, tiada istilah niat baik, tetapi perkataannya kurang baik. Seharusnya, perkataan itu selari dengan hati. Jika kita punya hati yang baik, maka perkataannya juga akan menjadi baik."

NIAT BAIK, TETAPI CARA DAKWAH SALAH

Ustaz Ahmad Dari menerangkan lagi:

"Sesetengah orang yang menyampaikan dakwah itu bukannya mengajak seseorang ke arah kebaikan, malahan menjauhkannya dari benda-benda baik.

"Ini kerana mereka sering mengejek, menggunakan perkataan serta intonasi kasar ketika berdakwah. Pendekatan dan gaya bahasa yang baik perlu dijaga agar masyarakat tertarik untuk mendekati agama Islam.

"Gunakan juga bahasa yang membekas dan menusuk di hati. Maksudnya, dengan ucapan kita, sampai mati pun orang masih boleh ingat lagi.

"Dalam pada masa yang sama, pilihkan perkataan yang terhormat dan sopan. Jangan pula meremehkan bicara seseorang," nasihat Ustaz Ahmad Dahri lagi.

NABI MUSA BERLEMBUT DENGAN FIRAUN

Allah swt telah menyatakan firman-Nya yang berbunyi:

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha: 43-44)

Jelas Ustaz Ahmad Dahri:

"Allah swt sendiri memerintahkan Nabi Musa untuk berlembut dengan insan yang paling jahat iaitu Firaun.

"Melalui ucapan yang lembut, diharapkan agar Firaun akan takut kepada azab Allah dan terbuka hati dengan kelembutan yang ditunjukkan," katanya.

Peristiwa ini jelas membawa maksud bahawa kita perlu perlu berlembut dengan sesiapa sahaja yang hendak didakwah.

HENTIKAN KOMEN NEGATIF DI MEDIA SOSIAL

Mengulas mengenai sikap segelintir pengguna media sosial, Ustaz Ahmad Dahri tidak menyangkal bahawa sesebuah kritikan itu perlu, namun biarlah ia diutarakan dengan cara yang tepat.

Jelas beliau: "Sesiapa sahaja boleh memberi komen kepada orang lain di media sosial. Tetapi, biarlah komen itu komen yang membangun dan bukannya memaki hamun. Pastikan kita ada hujah yang boleh membetulkan seseorang. Gunakan akal fikiran, dan bukannya emosi.

"Tinggalkan komen yang membina, bukannya menghina. Komen dalam bentuk mengajak dan bukannya mengejek. Komenlah dengan mesra, bukannya dengan marah-marah.

"Usahalah untuk menyampaikan tentang kebenaran, saling mengingatkan dalam kesabaran, dan saling menasihati dengan penuh kasih sayang," tambah Ustaz Ahmad Dahri.

SETIAP PERKATAAN DIREKOD

Dalam surah al-Qaaf, Allah swt telah berfirman, mafhumnya:

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (50:18)

Bicara ustaz:

"Berhati-hatilah kerana setiap perkataan kita akan direkodkan oleh Allah swt melalui dua orang malaikat iaitu Raqib dan Atid.

"Malaikat Raqib bertanggungjawab untuk merekodkan segala perkataan baik yang keluar dari mulut kita. Manakala, malaikat Atid pula mencatatkan perkataan buruk yang terhasil daripada ungkapan kita.

"Hal ini bermakna, tiada satu huruf pun akan terlepas daripada dicatat oleh malaikat. Semuanya akan direkod dan kita bakal dipertanggungjawabkan atas ucapan yang telah kita zahirkan."

NASIHAT JANGAN SAMPAI MEMALUKAN

"Untuk menegur seseorang, pertama sekali kita harus faham bahawa tiada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan.

"Kalau ternyata dia salah, maka betulkan dengan kalimah yang sopan. Tujuan teguran bukan untuk menyalahkan perbuatan atau menjatuhkan air mukanya, tetapi kita ingin memperbetulkan kesilapan yang dilakukan.

"Sebelum menegur orang, pastikan niat kita adalah baik. Nasihat, usah sampai memalukan orang lain," kata Ustaz lagi.

Ustaz Ahmad Dahri menukil seperti kata Iman Syafie:

"Sesiapa menasihati saudaranya secara rahsia, maka dia benar-benar menasihatinya dan memuliakannya, manakala sesiapa menasihatinya secara terang-terangan, maka dia menghina dan memalukannya."

Ustaz Ahmad Dahri terus berpesan:

"Satu kalimah yang anda ucapkan, sangat besar kesannya kepada orang lain. Jika kata-kata itu berbentuk celaan, maka perkataan itu akan terus teringat di benak orang yang mendengarnya."

"Seandainya kata-kata itu merupakan motivasi, maka ia mungkin boleh mengubah hidup seseorang menjadi lebih sempurna. Oleh itu, fikir dahulu sebelum berkata-kata."


“Hendaklah kita berusaha mengeluarkan perkataan yang baik dan bermanfaat. Jadikan perkataan yang dikeluarkan itu sebagai satu tauladan kepada orang lain. Keluarkan perkataan yang perlu sahaja. Sekiranya tidak perlu, jangan memperkatakan sesuatu yang tidak diingini. Zahirkan perkataan yang benar, tegas, dan bukannya ucapan yang berdolak balik. Selain itu, ucapkan perkataan dengan nada yang lembut. Walaupun niat baik, namun intonasinya agak kasar, maka secara automatik, perkataan tersebut menjadi tidak baik. Dalam Islam, tiada istilah niat baik, tetapi perkataannya kurang baik. Seharusnya, perkataan itu selari dengan hati. Jika kita punya hati yang baik, maka perkataannya juga akan menjadi baik.”
– Ustaz Ahmad Dahri.


  • Drs Ahmad Dahri, 61 tahun, seorang penceramah bebas. Beliau berkelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Sumatera Utara, Indonesia, dan melanjutkan pengajian di Darul Ulum Makkah di Arab Saudi dalam Bahasa Arab.Beliau juga memiliki ijazah dari Universiti Al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi, juga dalam bidang Syariah. Beliau mendalami ilmunya dengan mengikuti kursus ijazah sarjana Universitas Al Washliyah (Univa) Sumatera Utara, Indonesia.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian