Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Makmurkan masjid: adakah ia amalan musiman sahaja?

RAMADAN lalu, umat Islam di Singapura, khususnya, bergembira dapat menunaikan solat, baik fardu mahupun sunat, di masjid dalam saf yang rapat, bahu ke bahu.
May 27, 2022 | 05:30 AM



RAMADAN lalu, umat Islam di Singapura, khususnya, bergembira dapat menunaikan solat, baik fardu mahupun sunat, di masjid dalam saf yang rapat, bahu ke bahu.



Ramai yang meluahkan rasa syukur masjid-masjid kembali makmur setelah dua tahun melalui pelbagai sekatan pandemik.



Namun kini, bilangan jemaah yang datang mengisi saf untuk bersolat lima waktu di masjid kelihatan berkurang.



Hal ini diperhatikan Ustaz Muhammad Aiman Abdul Khalid, seorang pensyarah bebas, dalam perkongsiannya dengan Berita Harian.



"Pada pemerhatian saya sendiri sebagai mantan pegawai masjid dan pembimbing kuliah di masjid-masjid di Singapura, keadaan masyarakat kita dalam menghidupkan rumah Allah hanya mengikut musim-musim yang tertentu sahaja.



"Baru beberapa bulan yang lalu kita bersedih, sehingga ada yang meluahkan rasa marah kerana tidak dapat memasuki masjid, tetapi semangat itu terlihat pudar apabila Ramadan berlalu pergi.



"Adakah kita ini menjadi masyarakat yang menghidupkan masjid secara musiman sahaja?



"Atau kita ini menjadi seseorang yang disebutkan oleh Rasulullah saw dalam hadis Baginda yang bermaksud: "tujuh golongan yang akan berada di bawah naungan Allah di mana tiada naungan (lain) selain naungan-Nya (di antaranya ialah) seseorang yang hatinya senantiasa terpaut kepada masjid"," jelas Ustaz Muhammad Aiman ketika memetik hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.



APA NILAI DALAM RAMADAN YANG KITA TERUSKAN?



Menyambung penjelasannya, beliau, yang memiliki ijazah Sarjana Muda, Syariah Islamiah daripada Universitas Islam Negara Sumatera Utara, Indonesia, berkata kita sudah berada di penghujung Syawal dan hampir sebulan Ramadan telah meninggalkan kita.



"Tanya kepada diri kita sendiri: Apakah nilai atau amalan dalam Ramadan yang masih lagi kita teruskan?



"Dua tahun yang lalu, kita semua bersedih kerana tidak dapat menyambut Ramadan seperti biasa. Dengan penutupan semua masjid disebabkan penularan wabak Covid- 19, kita terpaksa menyesuaikan diri dengan beriftar, bertarawih dan tadarus di rumah sahaja.



"Tahun lalu, ada dalam kalangan kita merungut walaupun boleh melakukan solat tarawih di masjid, ada banyak sekatan dan tempahan tempat yang sedikit disediakan.



"Alhamdulillah Ramadan pada tahun ini, kita dapat sedikit sebanyak menghidupkan kembali suasana Ramadan sebelum pandemik di masjid, seperti tidak ada jarak antara saf lagi dalam solat dan diteruskan kembali tadarus secara beramai-ramai."



Menurut pemerhatian beliau, perlahan-perlahan, nikmat mengimarahkan rumah Allah swt telah kembali.



Ustaz Muhammad Aiman menambah, dalam hal memakmurkan masjid, hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah swt akan merasai kegembiraan dalam hatinya.



Beliau memetik firman Allah swt dalam surah At-Tawbah, ayat 18: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang- orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat- sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."



"Ramadan sebenarnya adalah bulan latihan bagi kita menguatkan diri kita untuk beribadah dan berusaha menjadikan kita seorang insan yang berbakti kepada masyarakat dan agama.



"Selesai Ramadan, di situlah bermulanya tugas dan amanah sebagai orang yang telah berjaya dalam latihan.



"Jangan jadikan bulan selepas Ramadan sebagai ruang mengumpul kembali dosa-dosa baru dan berharap kita dapat bertemu kembali Ramadan akan datang untuk menghapuskannya, kerana kita semua tidak dijamin bertemu Ramadan sekali lagi," tambah Ustaz Muhammad Aiman lagi.



SARANAN DALAM USAHA MEMAKMURKAN MASJID



Beliau berkongsi beberapa saranan supaya masyarakat Islam setempat boleh terus memakmurkan masjid.



  • Usaha untuk melakukan solat berjemaah sekurang-kurangnya satu waktu di masjid pada setiap hari.

Nabi saw, ujar Ustaz Muhammad Aiman, pernah berpesan: "barangsiapa melaksanakan solat isyak berjemaah, maka dia mendapat pahala solat setengah malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjemaah, maka dia mendapatkan pahala solat sepanjang malam". (HR Imam Tirmidzi).



  • Teruskan semangat memberi dan menderma kepada masjid dan manfaatkan kemudahan yang ada seperti menghulurkan derma secara dalam talian atau PayNow.

Menghulurkan sumbangan dan derma kepada masjid ini sesuai dengan makna memakmurkan masjid iaitu melaksanakan ibadah di dalamnya, misalnya melakukan solat, berzikir, mempelajari ilmu agama dan termasuk juga membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya.



  • Hadiri kuliah-kuliah anjuran masjid sekurang-kurangnya seminggu sekali bersama keluarga di masjid.

Jika berhalangan, boleh menghadiri di dalam talian (Facebook, YouTube) dan bantu untuk kongsikan video itu (Like & Share) kepada teman-teman yang lain agar mereka juga boleh mengambil manfaat.



KESIMPULAN



"Sebagai orang yang beriman, kita perlu sedar bahawa masjid sebagai rumah Allah swt tidak pernah memerlukan diri kita untuk ia tegak berdiri, tetapi sebenarnya kita yang memerlukan masjid bagi memenuhi keperluan diri, khususnya keperluan rohani.



"Tanpa masjid, hati kita akan kosong menyepi, jauh dari rahmat Ilahi.



"Sebagai penutup, renungkanlah pepatah Arab yang masyhur: Jadilah hamba kepada Tuhan, jangan jadi hamba kepada Ramadan," ujar Ustaz Muhammad Aiman mengakhiri perkongsiannya.




SIAPA GOLONGAN YANG MEMAKMURKAN MASJID?



"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."
- Surah At-Tawbah, ayat 18:




TANPA MASJID, HATI KOSONG MENYEPI, JAUH DARI RAHMAT ILAHI



"Sebagai orang yang beriman, kita perlu sedar bahawa masjid sebagai rumah Allah swt tidak pernah memerlukan diri kita untuk ia tegak berdiri, tetapi sebenarnya kita yang memerlukan masjid bagi memenuhi keperluan diri, khususnya keperluan rohani. Tanpa masjid, hati kita akan kosong menyepi, jauh dari rahmat Ilahi."
- Ustaz Ustaz Muhammad Aiman Abdul Khalid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >