Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

'Andainya aku berniat buat dosa?...'

Ustaz Khairul Zaman ajak masyarakat agar tidak berputus asa pada rahmat dan pengampunan Allah
Sep 23, 2022 | 05:30 AM



LUMRAH manusia mempunyai pelbagai kehendak dan keinginan. Ada yang mahu melakukan kebaikan, mencapai kejayaan dan membantu sesama insan. Ada pula yang digoda nafsunya sehingga dia ingin menyakiti orang lain.



Mungkin kita pernah tertanya, mengapakah Allah swt menciptakan nafsu dan syahwat sebagai sebahagian daripada dalam diri manusia dan pada masa yang sama menegah kita daripada menuruti keinginan tersebut?



CIPTAAN NAFSU DAN TABIAT MANUSIA



"Sebenarnya nafsu adalah sebahagian daripada penciptaan semula jadi manusia," terang Ustaz Khairul Zaman Rahmat, seorang guru dan penceramah bebas bagi program dan ceramah melibatkan belia.



"Kita tidak mungkin hidup tanpa nafsu kerana keinginan berumah tangga dan makan serta minum berasal daripada kewujudan nafsu syahwat dalam diri kita.



"Maka agama Islam tidak pernah menyuruh kita menghapuskan nafsu, tetapi Allah swt hanya memberikan kita tanggunjawab mengawal nafsu itu dan menyalurkannya ke jalan yang ditetapkan agama."



Namun, Ustaz Khairul Zaman, yang memilik ijazah sarjana muda dalam Teologi Islam daripada Universiti Yarmouk, Jordan, dan kini mengejar ijazah kedua dalam pengajian Hadis di Universiti Madinah, Arab Saudi, menambah bahawa terdapat juga keinginan dalam diri manusia untuk melakukan sesuatu yang ditegah dalam agama.



"Ini semua memang satu hakikat dalam kehidupan manusia kerana tidak ada seorang insan yang tidak terlepas daripada terlintas dalam mindahnya untuk melakukan kesilapan dan dosa.



"Yang membezakan adalah apa yang kita lakukan dengan lintasan fikiran tersebut," sambung beliau.



DOSAKAH AKU JIKA PERASAAN MELAKUKAN DOSA HADIR DALAM HATI?



Bagi menjawab soalan cepumas ini, beliau mengemukakan soalan.



"Maaf, tanyalah diri anda sendiri, pernahkah terlintas dalam benak anda untuk membuat sesuatu perkara yang ditegah, tetapi kemudian sedar dan menyesal serta tidak jadi melakukannya?



"Sebahagian daripada kita mungkin pernah tertanya, berdosakah kita jika terlintas dalam hati kita untuk melaksanakan sesuatu yang dilarang agama?" tanya beliau.



Memberikan penerangan bagi persoalan ini, Ustaz Khairul Zaman, yang mempunyai minat mendalam dalam bidang falsafah, berkata ulama kita telah membahagikan niat seseorang melakukan sesuatu kepada beberapa tingkat, iaitu:



  • Al Khatir: Lintasan fikiran yang timbul dalam minda

  • Al Hamm: Keinginan melayani lintasan fikiran tersebut

  • Al Azam: Tekad melakukannya

"Kategori yang pertama tidak dianggap sebagai satu dosa kerana Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla memaafkan untuk umatku terhadap apa yang terlintas dalam hati mereka, selagi mereka tidak melakukan atau mengucapkannya." (HR Muslim).



"Adapun kategori yang kedua, maka hukumnya sama seperti yang pertama, selagi mana keinginan dan perasaan tersebut tidak berubah menjadi azam untuk melakukannya.



"Rasulullah saw bersabda: "Apabila hamba-Ku berkeinginan melakukan kejahatan, maka janganlah kamu (malaikat) menulis dosa ke atasnya, tapi jika dia melakukannya, tulislah satu dosa ke atasnya." (HR Muslim).



"Adapun kategori yang ketiga, iaitu azam yang bersungguh-sungguh untuk melakukan maksiat, maka ia dikira sebagai dosa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat, sekalipun dia tidak melaksanakan apa yang diniatkan itu," jelas Ustaz Khairul Zaman.



Menurut beliau lagi, seseorang yang mempunyai azam yang bersungguh-sungguh membuat maksiat juga akan mendapat pahala jika dia meninggalkan azamnya kerana Allah swt.



Beliau memberi contoh seorang yang berazam berzina, yang sudah menggerakkan tubuh badannya ke tempat melakukan maksiat, dan hanya dapat dihentikan jika ada halangan luaran yang mencegah perjalanannya.



Qadhi Abu Bakar Ibnu Thayyib mengatakan: "Adapun keinginan yang tidak ditulis padanya dosa atau pahala ialah lintasan hati yang jiwa tidak kekal padanya, dan dia tidak menyertakan niat atau keazaman untuk melakukannya."



"Oleh itu, cubalah sedaya upaya tidak melayani lintasan fikiran yang negatif dengan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyumbang kepadanya," pesan Ustaz Khairul Zaman.



ANDAINYA TERGELINCIR PADA KEMAKSIATAN



Beliau menambah lagi bahawa seorang manusia juga bukanlah sama seperti malaikat yang bersih daripada dosa.



Katanya: "Kadangkala kita dikalahkan godaan nafsu dan bisikan syaitan, sehingga kita tergelincir kepada perbuatan yang dilarang agama.



"Sebagai seorang yang beriman, terjatuhnya kita bukan bermaksud bahawa kita tidak mempunyai harapan memperbaiki diri.



"Bahkan, Allah swt mengalu-alukan hamba-Nya supaya sentiasa bertaubat daripada dosanya kerana Dia mengetahui bahawa hamba-hamba-Nya tidak mungkin sempurna dan sentiasa mendambakan rahmat dan pengampunan-Nya."



Pintu taubat, sambung Ustaz Khairul Zaman, akan dibuka untuk mereka yang sedar akan kesilapan mereka.



"Kesedaran itu sewajarnya menjadi azam bagi kita agar tidak kembali kepada perbuatan tersebut serta mendorong kita menjadi insan yang lebih baik daripada yang silam.



"Begitulah cara bertaubat dalam agama Islam, dengan kita mengaku kesilapan yang dilakukan, berazam tidak mengulanginya lagi dan memperbaiki diri kita dengan menambah amalan soleh kita," ujar beliau.



KEMBALI KE PANGKAL JALAN



Kadangkala pula, seseorang individu berasakan bahawa dosanya terlalu banyak untuk diampuni Allah.



Jika perasaan sedemikian datang, Ustaz Khairul Zaman menasihatkan kita supaya sentiasa mengingati firman Allah swt:



"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"." (Surah Az-Zumar: 53).



KESIMPULAN



Akhir kalam, Ustaz Khairul Zaman mengajak masyarakat sama-sama menanam azam kembali kepada Allah swt dengan memperbaiki diri sebaik mungkin.



"Setiap kali kita tergelincir, teruskan perjalanan dengan bertaubat dan bersangka baik kepada rahmat dan pertolongan Allah.



"Perjalanan untuk mengawal nafsu dan memperbaiki diri bukanlah mudah, tetapi ingatlah, usaha itu akan menjadi lebih ringan jika kita percaya bahawa Allah swt bersama kita dan sentiasa ingin membantu hamba-hamba-Nya dalam perjuangan melawan godaan syaitan yang direjam dan bisikan hawa nafsu," kata beliau.




LINTASAN DALAM HATI TIDAK DIKIRA DOSA SELAGI...



"Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla memaafkan untuk umatku terhadap apa yang terlintas dalam hati mereka, selagi mereka tidak melakukan atau mengucapkannya."
- Rasulullah saw bersabda lagi yang bermaksud: "Apabila hamba-Ku berkeinginan melakukan kejahatan, maka janganlah kamu (malaikat) menulis dosa ke atasnya, tapi jika dia melakukannya, tulislah satu dosa ke atasnya." (HR Muslim).




SEKILAS BIODATA



Ustaz Khairul Zaman Rahmat, seorang guru dan penceramah bebas bagi program dan ceramah melibatkan belia. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam Teologi Islam daripada Universiti Yarmouk Jordan, dan kini mengejar ijazah kedua dalam pengajian Hadis di Universiti Madinah, Arab Saudi. Beliau juga diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >